Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

CDC Central S’pura tawar 7 peruntukan sokongan baru untuk penduduk

Sep 25, 2023 | 06:44 PM



Tujuh peruntukan sokongan baru termasuk geran subsidi tambang bas sekolah, skim pekerjaan setempat dan SkillsFuture bagi Keluarga akan diperkenalkan dalam fasa pertama inisiatif tiga tahun oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapura.

Tawaran ini disasarkan untuk menangani lima perkembangan penting di daerah Central, kata Mayor CDC Central Singapura, Cik Denise Phua.

Dalam ucapannya sempena Majlis Pelantikan Anggota Majlis CDC Central Singapura ke-11 pada Isnin, Cik Phua berkata CDC Central Singapura akan menambah tujuh tawaran baru di atas inisiatif sedia ada.

Ini termasuk skim subsidi tambang bas sekolah yang akan menyediakan bantuan kewangan bagi keluarga berpendapatan rendah yang terjejas oleh kenaikan tambang bas sekolah; dana bantuan keluarga ComLink untuk membantu keluarga dengan anak-anak yang tinggal di flat sewa; dan skim pekerjaan setempat untuk mencipta pekerjaan dalam estet kejiranan bagi penduduk yang mencari kerja.

Selain itu, ada juga tawaran SkillsFuture bagi warga muda dan belia demi membangunkan kemahiran digital, kejuruan dan insaniah untuk menyediakan golongan muda bagi masa depan; SkillsFuture bagi keluarga untuk meningkatkan kebolehan keluarga mengharungi pelbagai cabaran, merebut peluang dan memupuk daya tahan keluarga dalam dunia yang berubah dengan pantas; Chess @ Central untuk membina kemahiran strategik dan perancangan, penumpuan dan menggalakkan interaksi sosial dalam masyarakat; serta Purple Hearts @ Central untuk memulakan rangkaian sokongan di peringkat setempat bagi membantu keluarga yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas.

Tawaran-tawaran ini akan dilaksanakan dengan memanfaatkan dana $10 juta baru yang diumumkan Cik Phua di majlis yang sama.

Dalam ucapannya, beliau turut menggariskan lima perkembangan penting melibatkan penduduk daerah Central – masyarakat semakin tua; kepesatan kemajuan teknologi; kenaikan kos sara hidup; perubahan dalam struktur keluarga; dan cabaran yang dihadapi golongan tertentu.

Menurutnya, kepesatan kemajuan teknologi menekankan kepentingan membangunkan kemahiran agar penduduk tidak ketinggalan.

Beliau juga menambah, di daerah Central, terdapat lebih banyak isi rumah ibu atau ayah tunggal, keluarga yang mempunyai anggota bukan warga Singapura serta golongan belia yang berdepan dengan halangan unik.

Terdapat juga penduduk dengan cabaran tersendiri seperti mereka yang kurang upaya, penjaga individu kurang upaya serta mereka yang berada dalam generasi terapit, atau ‘sandwich generation’, katanya.

“Perkembangan ini menekankan perlunya ada penyesuaian berterusan dan penyelesaian yang tepat pada masanya serta kreatif untuk menangani keperluan masyarakat kita yang semakin berkembang,” ujar Cik Phua.

Beliau turut mengumumkan daya usaha baru CDC Central Singapura sempena memperingati 100 tahun kelahiran Perdana Menteri Singapura yang pertama, mendiang Encik Lee Kuan Yew (LKY100), iaitu 100 Tawaran Masyarakat.

Tujuh peruntukan baru yang tersebut sebelum ini merupakan sebahagian 100 tawaran masyarakat itu.

“Terdapat 23 divisyen dalam Daerah Central, daripada Jalan Kayu di bahagian utara hinggalah Radin Mas di bahagian selatan. Setiap daripada 23 divisyen ini mempunyai keperluan dan tahap kesediaan yang berbeza.

“Misalnya, GRC Jalan Besar dan SMC Radin Mas mempunyai lebih banyak flat sewa HDB serta penduduk warga emas. Divisyen Moulmein-Cairnhill pula mempunyai penduduk lebih muda dan yang tinggal di rumah privet.

“‘Menu’ Tawaran Masyarakat akan membolehkan rakan kongsi dan penduduk kami menikmati kelonggaran untuk memilih daripada pelbagai tawaran yang direka bagi mencipta kehidupan yang lebih baik bagi semua di daerah Central,” tambah Cik Phua.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >