Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Contohi sikap rendah hati Habib Hassan pupuk keharmonian di S'pura

Oct 17, 2019 | 05:30 AM



SPONTAN dan tidak dirancang, namun langkah yang dilakukan penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2019 pada majlis penyampaian anugerah itu baru-baru ini menyentuh hati hadirin.



Awal dalam ucapan beliau pada majlis tersebut, Imam Masjid Ba'alwie, Syed Hassan Al-Attas, memberi penghormatan kepada pemimpin silang agama lain atas sumbangan mereka turut memperjuang keharmonian agama di sini.



Lebih daripada sekadar menyebut mereka dalam ucapannya, Habib Hassan mengundang pemimpin berbilang agama yang hadir naik ke pentas untuk berkongsi pengiktirafan itu bersamanya.



Apabila seorang demi seorang melangkah naik ke pentas malam itu, beliau menyambut mereka dengan senyuman, salaman dan pelukan cukup mesra.



Mereka termasuk anggota majlis Pertubuhan Antara Agama (IRO) seperti Sister Theresa Seow, Biskop Terry Kee dan Encik Harpal Singh; rakan dan jirannya, paderi Katolik Father Adrian Anthony; serta Ustaz Pasuni Maulan.



Habib Hassan diiktiraf bagi pengorbanan dan sumbangan besarnya kepada masyarakat dan dialog antara agama serta usaha memupuk keharmonian sosial di Singapura.



Disampaikan oleh Berita Harian buat tahun ke-21 sejak 1999, anugerah itu bertujuan mengiktiraf pencapaian dan sumbangan cemerlang individu atau pertubuhan Melayu/Islam dalam bidang masing-masing.



Namun bagi Habib Hassan, anugerah yang diterimanya itu juga mengiktiraf usaha serta sumbangan semua pihak dan individu yang bekerja di sebalik tabir demi memperjuang keharmonian sosial di sini.



"Tiada siapa yang mampu berjaya dalam apa bidang pun tanpa sokongan dan bimbingan pelbagai pihak.



"Oleh itu, anugerah ini bukan bagi saya sahaja tapi untuk mereka semua (pemimpin silang agama lain)," katanya.



Bagi tetamu yang menghadiri majlis di One Farrer Hotel itu, mereka menyaksikan secara langsung sikap rendah hati Habib Hassan, seorang tokoh agama dan pemimpin silang agama yang dihormati.



Sikap itulah yang perlu sentiasa dipupuk dan diamalkan generasi hari ini dan akan datang.



Sikap tidak mementingkan diri sendiri, komitmen teguh dan kesediaan individu seperti Habib Hassan telah banyak menyumbang kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati warga hari ini.



Kini, usaha memupuk persahabatan serta rasa saling percaya antara masyarakat berbilang bangsa dan agama menjadi lebih penting, lebih-lebih lagi dalam dunia yang berpecah belah ini.



Oleh itu, golongan muda yang merupakan generasi pelapis mempunyai peranan penting menyambung usaha memastikan Singapura dapat terus menikmati keharmonian yang lebih kukuh dan berdaya tahan pada masa akan datang.



Dan sikap rendah hati penting dalam usaha ini kerana ia akan mengingatkan warga bahawa usaha ini tidak boleh dilakukan sendiri.



Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk menggerakkan seluruh negara supaya turut menyertainya, tanpa mengira bangsa ataupun agama.



Warga juga harus mengetepikan rasa lebih hebat daripada masyarakat lain dan merendah diri bagi mencapai matlamat bersama.



Usaha ini juga perlu berasaskan persefahaman kukuh antara agama dan sikap inklusif yang kuat, lebih daripada sekadar menghormati satu sama lain.



Seperti yang dikatakan Habib Hassan, agama merupakan kunci menyatukan hati insan.



Jika kita berjaya melakukan demikian, kemungkinan besar tiada apa yang akan menghalang kita daripada membangunkan Singapura yang lebih baik dan harmoni pada masa akan datang.



Kita hanya berharap generasi hari ini dan akan datang dapat mencontohi sikap rendah hati pemimpin masyarakat seperti Habib Hassan.



Dan seperti beliau dan ramai lagi individu yang bekerja keras di sebalik tabir - secara diam-diam dan dengan cara tersendiri - agar memelihara keharmonian yang kadangkala dipandang ringan, diharapkan kita juga dapat meraikan kepelbagaian kita serta terus memperkukuh ikatan antara masyarakat berlainan kaum dan agama.



Barulah Singapura dapat kekal bersatu padu menghadapi apa jua cabaran yang mungkin timbul pada masa akan datang dan mengatasinya bersama dengan berkesan.




"Habib Hassan telah menyumbang bakti yang saya rasa tidak terkira dalam masyarakat majmuk Singapura. Kerja silang agama amat penting sekali untuk Singapura, terutama sekali dalam masyarakat majmuk, berbilang kaum dan agama di sini. Usaha seseorang seperti Habib Hassan yang menitikberatkan pentingnya silang agama dan kepercayaan dalam masyarakat itu memainkan peranan penting sebagai satu landasan bagi masyarakat mempertingkat diri mereka untuk mencapai matlamat lain."
– Encik Saktiandi Supaat, Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh.



"Habib Hassan wajar diberikan Anugerah Jauhari Berita Harian... bagi usaha cemerlang yang dijalankannya untuk membina ikatan antara masyarakat berbilang agama. Ini lebih-lebih lagi tepat pada masanya, dengan pelbagai konflik serta keganasan yang dilakukan dengan memperguna agama di serata dunia kini. Anugerah ini juga memberi isyarat kuat bahawa tunggak kekuatan dalam masyarakat kita yang telah bekerja keras di sebalik tabir selama ini turut diiktiraf."
– Encik Esa Masood, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



"Habib Hassan bersungguhsungguh menggalak kehidupan berbilang agama di negara kita dan beliau merupakan peneraju, jadi wajarlah beliau dapat anugerah ini. Bagi saya, beliau merupakan pemangkin yang membolehkan masyarakat berbilang agama bekerjasama dan menjadikan Singapura lebih makmur dan damai. Kita memerlukan tenaga muda yang dapat menyumbang seperti beliau."
– Ustaz Pasuni Maulan, tokoh agama tanah air.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >