HANYA sebilangan kecil sahaja kes-kes mereka yang sudah mendapat dua dos suntikan Covid-19 menghidapi gejala Covid-19 yang berpanjangan, menurut Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID)
Dapatan itu disokong oleh perangkaan luar negara yang menunjukkan risiko mendapat kesan sampingan itu berkurangan sebanyak separuh bagi mereka yang sudah mendapat dua dos suntikan.
Kesan sampingan jangka panjang termasuk rasa lelah, kesukaran bernafas, sakit dada dan tulang yang boleh berlarutan selama empat minggu atau lebih, ujar Dr Barnaby Young, Ketua Rangkaian Penyelidikan Klinikal Penyakit Yang Berjangkit NCID kepada The Straits Times (ST).
"Ini merupakan keputusan yang menggalakkan dan saya rasa ia menunjukkan keberkesanan suntikan Covid-19 terhadap kesan sampingan panjang Covid19,'' ujarnya.
Meskipun terdapat kes mereka yang sudah mendapat suntikan tetapi menghidapi kesan berpanjangan itu, Dr Young berkata jumlahnya amat kecil.
Kesan yang teruk kurang didapati mereka yang sudah mendapat dua suntikan.
Namun, beliau menambah penyelidikan rapi harus dijalankan jika ia akan terus dilihat dalam jangka panjang.
Sebaliknya, satu daripada setiap 10 pesakit Covid-19 yang tidak menerima suntikan, akan mengalami kesan sampingan jangka panjang selama enam bulan selepas dijangkiti Covid-19, menurut satu kajian awal NCID.