Covid-19: Kru Singapore Airlines yang juga pemandu sambilan Grab satu-satunya kes masyarakat, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Covid-19: Kru Singapore Airlines yang juga pemandu sambilan Grab satu-satunya kes masyarakat

Dec 29, 2020 | 12:03 AM

SEORANG kru pesawat Singapore Airlines (SIA) yang juga pemandu sambilan kereta sewa privet Grab adalah antara lima kes jangkitan Covid-19 baru yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (28 Disember).

Lelaki berusia 48 tahun itu tidak menampakkan sebarang tanda jangkitan dan dikesan selepas menjalani dua ujian proaktif yang dikendalikan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) bagi kru pesawat yang pulang daripada penerbangan luar negara, jelas MOH dalam kenyataannya.

Beliau baru-baru ini mengembara ke Amerika Syarikat bagi tugasan antara 12 hingga 16 Disember lalu di bawah jadual perjalanan yang dikawal.

Beliau diuji pada 23 Disember lalu dengan hasil ujiannya tidak dapat diputuskan pada 25 Disember dan memerlukan satu lagi ujian. Pesakit ini duduk di rumah sahaja sambil menanti ujian lanjutan.

Sampel swab yang diperolehi daripadanya pada 27 Disember bagaimanapun menunjukkan dirinya positif Covid-19. Beliau digegaskan ke Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit dengan ambulan pada hari yang sama. 

Discover Malay Home Based Businesses

Ujian serologi (bagi mengesan antibodi dalam darah) yang dijalani juga didapati negatif, memberi gambaran wujudnya jangkitan Covid-19 kini.

Kesemua kru pesawat yang mengembara bersamanya dalam penerbangan ke Amerika Syarikat dengannya bagaimanapun tidak dijangkiti Covid-19.

MOH menambah, memandangkan jarak jauh antara kembaranya dengan ujian Covid-19 yang didapati positif itu, pihak kementerian meletakkan kes ini sebagai kes masyarakat sedang siasatan epidemiologi dijalankan.

Buat masa ini, semua kontak rapat kes ini termasuk anggota keluarga dan rakan sekerja telah diasingkan dan diletakkan dalam perintah kuarantin.

Sementara itu, dalam kalangan empat kes import yang dikesan MOH, tiga kes merupakan warga Singapura yang kembali dari India, Myanmar dan United Kingdom.

Baki satu kes pula adalah pemegang pas tanggungan yang memiliki sejarah kembara dari India.

Semua kes import ini sudah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan diasingkan setibanya di Singapura. Mereka diuji ketika menjalani SHN atau sewaktu diasingkan.

Sebanyak 16 kes sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat manakala 35 kes masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan mantap atau kian pulih.

Tiada kes dormitori dilaporkan. 

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map