Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Covid-19: Nasib kediaman warga SG di JB dan Batam

Terus merunsingkan pemilik bila 'sekatan sempadan' berpanjangan
Jun 25, 2021 | 05:30 AM



Warga Singapura yang mempunyai hartanah di negara jiran, terpaksa reda dengan pergerakan rentas yang masih disekat walaupun sudah lebih setahun berlalu. Tidak mahu keadaan rumah yang terus tidak terurus dan berpenghuni, ada yang mencari jalan penyelesaian sendiri, dan ada juga yang sanggup menggajikan tetangga untuk membersihkan kawasan rumah mereka. Ikuti kisah dua warga setempat yang sudi berkongsi kebimbingan mereka tentang hartanah yang dimiliki atau disewa. BERITA HARIAN melaporkan.



Pasangan terpisah dek pandemik, suami jaga rumah di SG, isteri di JB



SEDANG keluarga lain boleh meluangkan masa bersama keluarga tersayang, berbeza pula dengan nasib Encik Abdul Rahmat Ab Mulok.



Dek Covid-19 serta sekatan perjalanan dan disertai pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau hidup 'terpisah' daripada isterinya Cik Johana Ahmad Tarju, 58 tahun, hampir setahun lamanya.



Sebelum ini, Encik Abdul Rahmat yang lebih senang dipanggil 'Dol', berulang-alik menaiki kereta antara Nusa Jaya dengan Singapura setiap hari.



Encik Dol, 58 tahun, telah membeli hartanah privet di sana sejak tahun 2017 - sebuah rumah teres dua tingkat berharga RM1.4 juta ($455,000).



Selain itu, Encik Dol juga mempunyai flat empat bilik yang dibeli di kawasan Ang Mo Kio Avenue 1.



Encik Dol memberitahu Berita Harian (BH), isterinya mempunyai pilihan untuk tinggal bersamanya di sini.



Namun kerana risaukan keadaan rumah, kenderaan serta kucing peliharaan yang banyak dibela, isterinya memutuskan untuk terus menetap sahaja di rumah mereka di Johor Bahru (JB) seorang diri.



Cik Johana, seorang suri rumah merupakan warga Malaysia, namun mempunyai status Penduduk Tetap Singapura dan mempunyai ramai adik-beradik lain yang tinggal berdekatan rumahnya.



Namun pada Mac hingga awal Mei lalu, Cik Johana telah ke Singapura selama hampir tiga bulan bagi mendapatkan dua dos vaksin selain menyambut Lebaran bersama keluarganya.



"Selama hampir setahun, saya tidak berjumpa isteri dan kami hanya bersua melalui panggilan video setiap hari.



"Banyak cabarannya tinggal seorang diri terutamanya bagi kaum Hawa.



"Sebagai suami, saya memang terlalu bimbing akan keselamatan dan kesejahteraan isteri saya. Walaupun isteri saya seorang wanita yang cekal, dan mempunyai adik-beradik lain di JB, malah kawasan rumah kami juga berpagar dan dilengkapi dengan kamera litar, namun ia tetap tidak sama.



"Antara kebimbingan saya, jika terjadi sesuatu, contohnya jika isteri jatuh sakit, siapa yang akan menjaga beliau nanti?



"Ini kerana untuk ke JB, kita juga perlu menjalani ujian swab dan kuarantin wajib walaupun kita telah disuntik dengan vaksin Covid-19 ini," jelas pemilik sekolah muzik Percussive Arts & Music School itu dengan terus terang.



Ketika isterinya berada di Singapura, rumah dan kesemua kucing peliharaan Encik Dol telah dijaga oleh tetangga terdekat yang dipercayainya.



Beliau berterima kasih kerana walaupun tiga bulan agak cepat, namun baginya, malang tidak berbau.



Beliau juga bersyukur, kerana segala keperluan haiwan peliharaan dan persekitaran rumahnya dijaga baik oleh jirannya.



"Semasa isteri datang ke Singapura baru-baru ini, rumah kami dijaga sepenuhnya oleh jiran yang sudi membantu dan turut menjaga tujuh ekor kucing peliharaan kami dengan baik.



"Untuk memasuki Singapura, isteri juga perlu menjalani pelbagai ujian termasuk di kuarantin di sebuah hotel, dan perbelanjaan menelan sehingga $2,500. Bayarannya boleh dianggap tinggi untuk seorang.



"Saya amat berharap dan berdoa agar keadaan akan segera pulih seperti sediakala, dan bagi keluarga yang terpisah, kerana mencari rezeki, semoga dapat bersama semula dengan keluarga masing-masing," tambah datuk seorang cucu berusia dua tahun itu.




Pemilik syarikat pengangkutan terus bayar sewa walau tidak dapat jenguk rumah



SEBELUM Covid-19 melanda rantau ini, Cik Roswati Kasani dan keluarganya tidak akan pernah melepaskan peluang untuk 'balik kampung' setiap minggu.



Beliau dan keluarga sama ada akan ke Johor Bahru (JB) Malaysia atau ke Batam, Indonesia.



Namun sejak sekatan perjalanan ke luar negara berkuat kuasa, semua kegiatan keluarga itu ikut terhambat sejak tahun lalu.



Cik Roswati, ibu lima orang anak berkata, sejak sekian lamanya, beliau dan keluarga sudah menyewa hartanah di kededua negara tersebut.



Di JB, beliau mempunyai rumah di Bukit Indah, manakala di Batam pula, rumah yang disewa di kawasan Perumahan Pasir Putih, Bengkong Sadai.



Walaupun di tengah pandemik ini, Cik Roswati, 46 tahun, perlu terus membayar sewa kesemua hartanah privet itu dengan harga RM3,000 ($974) dan $270 setiap bulan.



Bagi Cik Roswati, menyewa hartanah di luar negara merupakan satu keperluan, kerana beliau dan suami mempunyai syarikat pengangkutan dan ia mempermudah tugasan mereka.



"Syarikat kami menyediakan khidmat pengangkutan ke Malaysia dan juga ke Batam. Jadi, menyewa hartanah di sana merupakan satu kemestian dan juga sebagai persinggahan, agar kami boleh berehat selepas menjalankan tugas. Pada hujung minggu pula, kami akan ke sana sekeluarga untuk berehat bak 'cuti pendek'.



"Namun sejak Covid-19 melanda, segalanya telah berubah dengan sekelip mata.



"Saya ibarat terperangkap, sama ada untuk terus menyewa rumah-rumah tersebut atau memulangkan sahaja ia kembali kepada pemilik asalnya.



"Tetapi, jika saya memulangkan hartanah tersebut, saya juga mempunyai barangan lain seperti perabot-perabot, dan keperluan rumah yang lain yang perlu dibawa pulang ke Singapura, jika kami melepaskan rumah tersebut.



"Langkah menghantar balik barangan ini juga pastinya akan memberikan cabaran lain kepada kami nanti, seperti memerlukan tempat penyimpanan yang besar.



"Jadi, cara terbaik pada waktu ini adalah dengan terus membayar sewa rumah bagi kededua rumah ini, walaupun kami tidak boleh menjenguknya lagi," kata Cik Roswati.



Menurut Cik Roswati, beliau mempunyai kenalan yang membantu 'melihat-lihat' hartanahnya dari luar.



Namun keadaan di dalam rumah, tidak dapat dipastikan lagi.



Apabila ditanya, apakah jangkaan dan situasi atau keadaan sebenar di dalam rumah beliau, beliau menambah:



"Wallahuaklam. Oleh kerana kami tak dapat balik ke sana langsung, jadi kami benar-benar tak dapat nak pastikan situasi rumah kami di sana buat masa ini.



"Apa yang kami tahu, persekitaran air kolam renang di rumah kami berdanau, dan kami telah meminta air kolam tersebut disalirkan keluar.



"Oleh kerana kami suami isteri merupakan warga Singapura, jadi agak payah untuk mendapat kebenaran ke seberang Tambak atau ke Batam pada waktu ini.



"Harapan saya, agar keadaan akan kembali normal seperti pra-Covid-19 dan kami dapat menjenguk kembali rumah-rumah yang telah kami tinggalkan sejak sekian lama ini," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >