Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Cucuk tang sini, baik tang sana... Lebih ramai Melayu dapatkan rawatan perubatan tradisional Cina

Aug 20, 2023 | 05:30 AM



Lebih ramai orang Melayu kini terbuka mencuba rawatan perubatan tradisional Cina (TCM) bagi menangani masalah kesihatan dan kesejahteraan yang dialami.

Beberapa individu yang dihubungi Berita Minggu (BM) berkongsi bahawa mereka memilih rawatan TCM kerana mendapati ia lebih mujarab dalam menangani masalah kesihatan mereka untuk jangka panjang, keengganan bergantung pada ubat-ubatan moden untuk tempoh lama dan keinginan mendapatkan rawatan semula jadi dan selamat tanpa kesan sampingan.


TCM, yang diamalkan di China sejak lebih 2,000 tahun lalu, adalah sistem perubatan yang mengenal pasti, merawat dan mengelakkan penyakit berasaskan konsep bahawa tenaga, atau dipanggil Qi, mengalir di seluruh badan dan sebarang ketidakseimbangan tenaga boleh mencetuskan penyakit.


Ia menggunakan beberapa kaedah untuk merawat dan menghindar penyakit, seperti pengambilan ubat herba, akupunktur, moxibustion (terapi haba pada permukaan kulit), guasha (mengikis kulit dengan alat urut untuk memperbaiki peredaran darah) dan tuina (urutan).


Antara orang Melayu yang mendapatkan rawatan TCM ialah Encik Helmi Bahrom, 32 tahun, yang mengalami bronkitis dan sinus sejak dahulu lagi. Beliau mengambil ubat herba Cina bagi masalah bronkitisnya.

“Ibu saya selalu pergi ke klinik TCM untuk bantu dapatkan ubat herba dan bawa balik untuk merebusnya. Airnya kemudian saya minum.Tubuh saya lebih responsif kepada ubat herba berbanding ubat Barat.

“Ubat Barat biasanya ada kesan sampingan seperti rasa ngantuk. Tetapi ubat TCM tiada kesan sampingan, malah buat saya lebih sedar dan batuk saya juga berkurang dengan cepat. Kalau saya ada masalah sinus pula, saya akan lakukan akupunktur pada hidung kerana ia tolong membuka laluan pernafasan saya,” kata jurubank korporat itu.

Cik Nurani Esoof, 34 tahun, pula pergi ke klinik TCM untuk merawat penyakit seperti sakit belakang dan migrain secara langsung berbanding makan ubat.

“Rawatan TCM biasanya membawa kelegaan serta-merta atau akan menyelesaikan masalah saya sepenuhnya selepas beberapa lawatan,” kata penjawat awam itu.

Cik Affidah Abdul Rahim, eksekutif di sebuah hospital, yang pernah terkehel buku lali, juga mendapatkan rawatan TCM selepas ubat-ubatan moden tidak berupaya menghilangkan rasa sakit pada kakinya itu.

“Doktor beri saya panadol tetapi selepas dua, tiga hari, saya rasa tak baik juga. Ada rakan saya sarankan saya pergi klinik TCM. Saya pergi sana dan hanya selepas satu sesi rawatan, saya boleh berjalan seperti biasa tiga hari kemudian,” kata Cik Affidah, 37 tahun.

LIHAT LEBIH RAMAI PESAKIT BUKAN CINA

Pakar perubatan, Cik Aileen Chua, dari klinik Yi TCM berkongsi bahawa beliau dan rakan sekerjanya melihat lebih ramai orang Melayu mendapatkan rawatan TCM sejak beberapa tahun lalu.

Ini mungkin kerana maklumat mengenai TCM kini lebih mudah diperolehi dengan teknologi dan penggunaan media sosial yang berleluasa, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai perubatan dan rawatan alternatif itu.

Di klinik Yi TCM, sebahagian besar pesakit datang bagi isu kesuburan. Terdapat juga pesakit yang mengalami pelbagai masalah lain seperti penyakit kulit, masalah penghadaman, batuk kronik, masalah tidur atau kebimbangan.

“Bagi pesakit baru setiap bulan, kami terima tiga hingga empat orang Melayu. Saya rasa mungkin juga kerana pakar perubatan TCM hari ini boleh berbahasa Inggeris. Pada masa lalu, komunikasi mungkin satu isu. Di Yi TCM, pakar perubatan kami semua boleh berdwibahasa.

“Kami terima banyak maklum balas daripada pesakit Melayu yang mengatakan mereka kini dapat benar-benar faham konsep TCM dan mereka boleh menjelaskan keadaan mereka dengan lebih baik. Jadi, mereka rasa lebih selesa untuk datang jumpa kami,” katanya, sambil menambah beliau turut melihat lebih ramai pesakit India dan dari luar negara sejak kebelakangan ini.

Jurucakap Klinik EMW Physiotherapy and TCM pula berkata pesakit Melayu mereka kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun dan orang dewasa berusia 28 hingga 48 tahun.

“Sebab utama orang Melayu datang dapatkan rawatan TCM di klinik kami termasuk bagi isu kesihatan usus, kesihatan wanita, kesuburan, jangkitan saluran pernafasan dan lain-lain,” katanya.

Di Singapura, semua individu yang mengamalkan TCM, termasuk pakar perubatan dan pakar akupunktur, perlu berdaftar dengan Lembaga Pengamal TCM dan memiliki sijil amalan yang sah.

Menurut Persatuan Pakar Perubatan Cina Singapura, terdapat sekitar 3,320 pengamal TCM yang berdaftar di sini sehingga 2021.

Terdapat sekurang-kurangnya lima hospital awam yang menawarkan khidmat akupunktur – Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Hospital Universiti Nasional (NUH), Hospital Besar Singapura (SGH), Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) dan Hospital Besar Sengkang.

“Antara sebab orang Melayu mendapatkan akupunktur mungkin termasuk kerana minat lebih mendalam pesakit memilih rawatan semula jadi dan selamat dengan sedikit kesan sampingan, respons kurang baik terhadap rawatan konvensional dan untuk kurangkan kebergantungan pada ubat-ubatan,” kongsi Cik Jeraldine Seah, pakar akupunktur kanan dari Pusat Khidmat Akupunktur SGH.

Cik Melissa Ong, pakar akupunktur kanan dari Pusat Perubatan Sukan dan Senaman KTPH, pula berkata hospital tersebut telah menyaksikan jumlah stabil pesakit Melayu di klinik mereka yang dirujuk doktor sepanjang sedekad lalu.

“Mereka melakukan akupunktur sebagai melengkapi rawatan sedia ada mereka, seperti ubat-ubatan dan fisioterapi,” kata beliau.

PENUHI KEPERLUAN ORANG MELAYU

Dengan lebih ramai pesakit Melayu kini mendapatkan rawatan TCM, klinik-klinik di sini menawarkan ubat herba yang halal atau dibuat daripada tumbuh-tumbuhan.

Klinik seperti Yi TCM dan EMW Physiotherapy and TCM, misalnya, memberikan ubat herba dalam bentuk tablet dan kapsul yang disahkan halal dan herba yang berasaskan tumbuhan untuk memenuhi pilihan dan keperluan budaya dan agama.

“Pembekal utama herba bagi klinik kami sebenarnya telah disahkan halal, dan bagi pesakit Melayu, kami biasanya memberikan mereka herba yang berasaskan tumbuhan.

“Kami akan meminta mereka berkongsi sejarah perubatan demi memastikan mereka tidak ambil ubat Barat lain yang akan bercanggah dengan sesetengah herba yang kami berikan pada mereka,” kata Cik Chua.

Semua ubat proprietari Cina (CPM), iaitu produk ubat dalam bentuk dos siap seperti tablet, kapsul dan cecair, dikawal oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan mesti mematuhi kriteria keselamatan dan mutu sebelum dibenarkan dijual di Singapura.

Pengimport, peniaga borong dan pengilang CPM juga perlu mendapatkan lesen daripada HSA.

TCM BUKAN PENGGANTI RAWATAN MODEN

Meskipun ada pesakit yang mendapati rawatan TCM lebih berkesan atau mujarab bagi mereka, pakar perubatan menekankan bahawa rawatan alternatif itu tidak bertujuan menggantikan rawatan dan ubat konvensional.

Sebaliknya, ia lebih memainkan peranan sebagai penyokong ataupun pelengkap perubatan moden.

Cik Ong berkata adalah penting untuk mendapatkan diagnosis betul daripada seorang doktor perubatan supaya tidak terlepas amaran bahaya seperti barah atau keadaan mengancam nyawa yang lain.

“Pelbagai kaedah rawatan termasuk ubat moden dan TCM kemudian boleh digunakan mengikut pesakit dan keperluan yang berbeza.

“Kebanyakan penyakit kronik adalah satu perjalanan; sesetengah pesakit mungkin mendapati diri mereka memberi respons baik terhadap ubat moden, sementara yang lain pula mungkin meraih lebih manfaat daripada TCM,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >