DARUL Arqam kini dipimpin presiden baru, Encik Foo Eng Yoong, Adam, yang mengambil alih jawatan itu daripada mantan presiden, Encik Muhammad Imran Kuna, selepas pelaksanaan mesyuarat agung persatuan itu pada 29 Mei lalu.
Encik Foo sebelum ini menyandang jawatan timbalan presiden Darul Arqam.
Encik Imran telah berkhidmat sebagai presiden persatuan itu sepanjang tiga tahun.
Satu podcast kendalian laman mualaf UntoIslam.com menyatakan bahawa Encik Foo berasal dari Teluk Intan, Perak, Malaysia, berusia 47 tahun dan memeluk Islam pada 2012.
Darul Arqam, yang ditubuhkan pada 1980, berasal daripada Kumpulan Saudara Baru, dibangunkan pada tahun 70-an dengan tujuan menawarkan bimbingan, pendidikan dan penjagaan kebajikan individu yang baru memeluk Islam.
Anggota lain majlis Darul Arqam kini terdiri daripada Encik Sharukh Abdullah sebagai timbalan presiden; dan Encik Ariff Sultan Yousoff Sultan sebagai naib presiden.
Majlis Darul Arqam terbahagi kepada lima divisyen iaitu Divisyen Perkhidmatan Sosial dan Jagaan Mualaf, Divisyen Pendidikan, Divisyen Dakwah, Divisyen Ehwal Korporat dan Divisyen Kewangan.