Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: BANGKIT ATASI CABARAN

Deria kreatif terus menyinar

• Cacat pendengaran bukan penghalang Ammar 'Ameezy' buru minat dalam bidang seni
•  Dapat kepercayaan sebagai salah seorang pengarah kreatif bagi acara 'The Purple Parade' tahun ini
Oct 28, 2021 | 05:30 AM



CACAT pendengaran bukan penghalang bagi Encik Ammar 'Ameezy' terus menghidupkan 'deria' kreatifnya.



Meskipun kurang mendengar, beliau menyangkal pendapat yang menyatakan individu sepertinya tidak mampu menyumbang kepada bidang seni seperti muzik, tarian dan perfileman.



Encik Ammar 'Ameezy', atau nama sebenarnya Muhammad Ammar Nasrulhaq, akui bidang-bidang kegemarannya itu memang secara amnya banyak menggunakan deria mendengar.



"Tapi kalau kita minat sesuatu, kita mesti cari jalan terbaik untuk meneruskannya," kata Encik Ammar, 29 tahun.



Sejak berusia 17 tahun, beliau mula memasuki bidang tarian secara serius dan seterusnya memutuskan untuk meneroka minat sebagai jurugambar dan jurufilem dengan dorongan bapanya.



Perjalanannya dalam pelbagai aspek bidang seni kreatif ini membuatkan beliau sedar bagaimana manusia 'berkomunikasi' melalui gerak tubuh dan mimik muka - dan tidak hanya dengan kata-kata.



Kebolehannya dalam bidang tarian terus digilap dan kini Encik Ammar merupakan salah seorang anggota kru tarian Redeafination yang dianggotai individu cacat pendengaran dan telah diundang untuk membuat persembahan di beberapa acara luar negara termasuk di Norway.



Bakat yang dipaparkan dalam bidang visual kreatif turut dikenal pasti dan Encik Ammar dipilih bagi menjayakan acara The Purple Parade tahun ini.



The Purple Parade merupakan gerakan terbesar Singapura untuk menyokong penyertaan golongan kurang upaya dan meraikan kemampuan mereka dan diadakan dalam talian sejak tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19 ini.



Meskipun telah menyertai acara yang sama tahun lalu sebagai koreografer bagi video muzik Signing Hands yang dilancarkan semasa acara itu, tahun ini tanggungjawabnya bertambah.



Encik Ammar kini salah seorang pengarah kreatif acara tersebut secara keseluruhan, dan berharap pengalamannya dalam bidang visual dan perfileman dapat membantunya menjayakan acara itu.



Menurutnya, sebagai seorang yang kurang upaya atau PWD, beliau dapat memahami dengan lebih mendalam keperluan peserta acara itu yang terdiri daripada individu kurang upaya yang lain.



"Biasanya lebih banyak kerja yang perlu saya lakukan sebelum shooting untuk memastikan ia berjalan lancar dan selesa bagi semua.



"Bila semua keperluan peserta dapat dipenuhi, saya rasa lebih yakin untuk memegang peranan dan tanggungjawab ini," katanya.



Encik Ammar memastikan semua kru yang bekerja dengannya faham peserta memerlukan tempoh yang lebih lama untuk menyelesaikan adegan-adegan tertentu semasa rakaman dan masa yang diperuntukkan perlu fleksibel.



"Saya beritahu kru memang bila bekerja dengan individu kurang upaya akan ada banyak cut semasa rakaman, kadangkala mereka juga perlu berhenti sebentar, jadi banyak penyesuaian yang perlu dilakukan.



"Jadi selain sebagai pengarah kreatif, peranan saya juga adalah memahamkan mereka dan memastikan persekitaran kerja kekal inklusif," katanya.



Menurut Encik Ammar, antara insiden yang pernah berlaku adalah apabila salah seorang peserta yang mempunyai autisme tiba-tiba berhenti menyanyi dan panik dan perlu dipujuk oleh ibu bapanya serta orang di sekeliling.



Menyentuh mengenai golongan kurang upaya sepertinya, Encik Ammar berharap mereka dapat memperuntukkan masa untuk menilai kekuatan dan kelemahan masing-masing dan memanfaatkan pengetahuan tersebut demi kebaikan diri.



"Contohnya, saya sedar kekurangan saya tak dapat mendengar, tapi saya perlu cari cara untuk mengubah kekurangan itu, seperti dengan memanfaatkan bantuan orang di sekeliling untuk menjadi 'telinga' saya apabila bertugas.



"Kita perlukan masa untuk mengenali diri sendiri dan juga kekurangan kita dan kemudian memaksimumkan kelebihan yang ada," ujarnya.



Menyampaikan penghargaannya kepada semua yang terlibat, Encik Ammar turut melahirkan harapan supaya penonton dapat menikmati persembahan yang telah diusahakan pasukan The Purple Parade tahun ini.



"Apabila orang menonton video persembahan ini, saya ingin mereka berasa kagum, terutama sekali apabila mereka sedar ada orang kurang upaya di sebalik tabir," katanya.



"Saya ingin mereka sedar, kalau seseorang yang kurang upaya boleh hasilkan sesuatu sebaik ini, mengapa masih kurang keyakinan yang diberikan kepada individu seperti kami dalam melakukan tugas-tugas tertentu."




KATA-KATA PENUH INSPIRASI



Contohnya, saya sedar kekurangan saya tak dapat mendengar, tapi saya perlu cari cara untuk mengubah kekurangan itu, seperti dengan memanfaatkan bantuan orang di sekeliling untuk menjadi 'telinga' saya apabila bertugas. Kita perlukan masa untuk mengenali diri sendiri dan juga kekurangan kita dan kemudian memaksimumkan kelebihan yang ada."
- Encik Ammar 'Ameezy'.




SEKILAS 'THE PURPLE PARADE'S



  • Setiap tahun sejak 2013, perarakan The Purple Parade dianjurkan, acara terbesar Singapura untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap golongan berkeperluan khas dan meraikan kemampuan mereka

  • Ia mengetengahkan bakat individu kurang upaya termasuk dalam bidang muzik, tarian dan teater

  • Tahun ini dek pandemik Covid-19, konsert The Purple Parade akan diadakan secara hibrid dengan konsert 'live' akan disiarkan di Facebook The Purple Parade pada Sabtu, 30 Oktober dari 3-4.30 petang

  • Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, merupakan tetamu terhormat bagi acara tersebut

  • Butiran lanjut: https://www.purpleparade.sg/




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >