Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Derma kepada badan Melayu secara digital terus kukuh

May 22, 2023 | 05:30 AM



SUMBANGAN derma melalui kaedah dalam talian terus mendapat sokongan kukuh dalam kalangan masyarakat menurut beberapa pertubuhan Melayu/Islam yang dihubungi Berita Harian (BH).



Ini meskipun sekatan Covid-19 yang dilonggar bermakna acara dan kegiatan mengumpul dana secara fizikal boleh diadakan semula sejak pertengahan Februari lalu.



Sumbangan derma dalam talian bagi AMP Singapura, misalnya, melonjak daripada $614,400 pada 2019 kepada $2,070,000 pada 2022.



Bahkan, mereka juga melihat peningkatan derma dalam talian pada Februari hingga akhir Mac 2023.



Ini mungkin disebabkan tempoh itu bertepatan dengan Ramadan di mana ramai yang secara lazimnya tampil untuk menderma, kata Cik Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, pengurus, pengumpulan dana dan kerjasama, AMP Singapura.



"Secara umum, pandemik Covid19 telah mempercepatkan proses pendigitalan seluruh negara dan menyediakan kebolehan membuat transaksi kewangan dalam talian. Ini memudahkan lagi proses pendermaan dalam talian bagi orang ramai.



"Sebagai contoh, pembayaran PayNow di Singapura memberi kemudahan bagi para penderma membuat sumbangan tanpa perlu menulis cek ataupun keluar rumah untuk mengirimkan wang secara fizikal," kata beliau.



Encik Zhofry Hamid, pengurus, komunikasi korporat dan sumber di Persatuan Muhammadiyah, pula berkongsi derma melalui dalam talian bagi badan itu kekal mantap sejak pandemik.



Badan itu menerima derma dalam talian sekitar 15 peratus lebih tinggi pada 2022 berbanding 2021.



"Kami menyaksikan peningkatan derma dalam talian, terutamanya sejak pandemik. Alhamdulillah, ia telah meningkat sedikit sepanjang beberapa tahun lalu, yang juga disebabkan usaha dan kehadiran dipertingkat kami di dalam talian dan media sosial," kata beliau.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Tuminah Sapawi, pula berkata sejak Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon) di Singapura bertukar kepada hijau pada 13 Februari 2023, badan itu telah melihat kenaikan dalam jumlah penderma celik teknologi yang lebih suka menyumbang secara dalam talian.



Malah, sesetengah warga emas kini menderma melalui PayNow.



"Terdapat sokongan berterusan untuk derma dalam talian di PPIS disebabkan kemudahan dan masa yang dijimatkan. Derma dalam talian juga mempunyai jejak digital, di mana penderma dengan segera dapat melihat bahawa sumbangan mereka telah dibuat kepada PPIS dalam masa nyata.



"Ketelusan dan keterbukaan ini sering kali menjadi dorongan lebih besar bagi orang ramai lebih suka memberi secara dalam talian," kata beliau.



Bagaimanapun, pada masa yang sama, derma secara digital bagi masjid-masjid menunjukkan kemerosotan sejak orang ramai boleh menderma kepada tabung masjid secara fizikal setelah masjid dibuka semula sepenuhnya, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menjawab pertanyaan BH.



Menurut jurucakap Muis, sumbangan melalui laman OurMasjid.SG turun daripada sekitar $1.5 juta setiap suku tahun pada 2020 kepada sekitar $500,000 dalam suku pertama 2023.



Laman OurMasjid.SG dibentuk pada 2020 untuk menjadi saluran derma dalam talian utama bagi semua masjid di tengah-tengah Covid-19.



Meskipun jumlah derma secara digital telah berkurangan, Muis terus menekankan bahawa laman itu kekal sebagai wadah derma digital utama bagi masjid dan akan meneroka cara untuk menjadikan ia lebih menarik untuk jemaah.



Baru-baru ini, Muis telah merintis penggunaan SalamSG Pay, iaitu kios layan diri terletak di masjid, di 16 masjid bagi jemaah menderma secara digital dengan mudah melalui OurMasjid.SG menggunakan kad debit atau kredit mereka.



"Dengan pembukaan semula masjid-masjid, derma yang dilakukan secara fizikal oleh jemaah kini kembali dan merupakan sumber pendapatan yang mantap untuk sektor ini.



"Muis menyedari tentang tabiat derma ini dan akan melengkapi tabiat ini dengan pendidikan awam berterusan di media cetak aliran utama dan media sosial untuk menggalak masyarakat agar terus menyumbang secara digital.



"Muis juga sedang meneroka keberkesanan kios layan diri itu dan akan mempertimbangkan rancangan melancarkan kios itu di lebih banyak masjid untuk memperluaskan pendekatan derma secara digital kepada semua masjid demi manfaat masyarakat kita," kata jurucakapnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >