Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dibuli, kehilangan ayah ketika remaja... ibu 5 anak jaya muncul pelajar terbaik SP

Nov 27, 2023 | 12:50 PM



Ketika di sekolah menengah, Cik Sazzuria Hashim kerap menjadi mangsa buli sehingga ia menjejas motivasinya untuk ke sekolah.

Namun apa yang lebih buruk sehingga seolah-olah memadamkan keinginannya untuk belajar ialah kehilangan besar penuh kejutan ketika menuntut di menengah lima.

Pada Hari Raya ketiga tahun beliau sepatutnya menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘O’, Cik Sazzuria kehilangan ayah tersayang secara mendadak akibat penyakit beguk atau mumps.


Menceritakan apa yang dilaluinya ketika itu, anak bongsu tiga beradik perempuan itu berkata:

“Ayah dan saya pernah berbincang tentang rancangan pendidikan saya. Saya nak buru diploma di luar negara... dan beliau berkata jangan risau pasal wang atau apa-apa, fokus belajar sahaja.

“Tetapi apabila kami kehilangannya, semua rancangan saya dan ayah tinggal begitu sahaja, saya tak melihat sebarang kemungkinan mencapai apa yang kami telah bincangkan bersama.”

Cik Sazzuria langsung kehilangan semangatnya untuk belajar – beliau kerap ponteng sekolah, pura-pura sakit agar tidak perlu ke sekolah dan ketika guru mengajar pun beliau akan termenung dan tidak beri perhatian.

Akibatnya, keputusan peperiksaan GCE ‘O’-nya tidak memuaskan.

Tidak ingin sambung sekolah ketika itu, beliau membuat keputusan terus bekerja. Pada usia 19 tahun, beliau berkahwin dan menerima cahaya mata sulungnya ketika berusia 21 tahun.

Namun perkahwinan pertamanya itu tidak berkekalan.

“Apa yang saya lalui sepanjang hidup saya membuat saya lebih bertekad dan saya mula fikir apa yang saya mahukan, ke mana saya mahu tuju? Adakah saya mahu jadi contoh yang baik bagi anak-anak saya?

“Saya pun ada hasrat nak maju dalam kerjaya... tetapi saya perlukan kelayakan kertas,” katanya.

Dari situ mula terdetik di fikirannya untuk mengejar diploma. Namun sebelum itu, Cik Sazzuria, kini 39 tahun dan ibu kepada lima anak, perlu melalui program Nitec terlebih dahulu sebelum boleh dipertimbangkan untuk memasuki politeknik.

“Saya masih ingat lagi, saya sedang hamil anak kelima ketika menduduki peperiksaan Nitec. Kawan-kawan ketika itu semua pegang perut saya, kononnya nakkan nasib yang baik!” cerita beliau sambil ketawa.

Berjaya menerima purata mata gred (GPA) sempurna 4.0 bagi Nitec, Cik Sazzuria pun memutuskan menyambung pendidikan di Politeknik Singapura (SP).

Beliau mendaftarkan diri ke dalam Diploma dalam Amalan Perniagaan: Pengurusan Perniagaan, namun apakan daya, pada semester pertamanya, pandemik Covid-19 melanda.

Semua kelas dipindahkan ke dalam talian dan beliau terpaksa belajar dari rumah, bersama lima anaknya.

Pada masa yang sama, beliau juga perlu bekerja dari rumah.

Sokongan suaminya, Encik Muhammad Firdaus Zainal Abidin, 39 tahun, merupakan sumber kekuatan Cik Sazzuria sepanjang tempoh sukar itu.

Ujarnya: “Beliaulah yang beritahu saya ‘awak boleh lakukannya, cuba sahaja’. Saya risau juga tentang keluarga, macam mana nak bantu anak-anak kalau mereka perlukan bantuan dengan kerja sekolah, risau tentang siapa nak jaga rumah dan sebagainya.

“Tapi beliau kata tak apa, jangan risaukan anak-anak. Saya fikir itu salah satu sebab yang memberi motivasi kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh.”

Selesai semester pertama, Cik Sazzuria mula merasakan pengurusan perniagaan bukan minatnya, lantas beliau membuat keputusan beralih kepada Diploma Amalan Perniagaan: Modal Insan.

“Setelah saya mulakan semester pertama, saya mula fikir tentang kemajuan kerjaya dan hala tuju saya. Dari situ saya sedar sebenarnya saya lebih berminat dalam modal insan.

“Saya sangat gembira pensyarah saya sangat menyokong keputusan saya itu dan beliau kata kalau itulah yang saya inginkan dalam kerjaya, saya harus beralih ke (Diploma Amalan Perniagaan: Modal Insan),” jelasnya.

Meskipun terpaksa mengorbankan banyak hujung minggu dan cuti bersama anak-anaknya, kerja keras dan ketabahannya sebagai isteri, ibu, pekerja dan pelajar membuahkan hasil apabila Cik Sazzuria muncul Valedictorian Kelas 2023 SP.

Diplomanya itu bukan sahaja bukti kesungguhannya, ia juga membolehkan beliau mengubah laluan kerjaya daripada dahulunya melakukan peranan setiausaha kepada kini menjadi sebahagian daripada jabatan pentadbiran pelajar Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Tidak habis di situ, Cik Sazzuria kini bertekad mahu meneruskan pendidikan ke menara gading pula dan telah mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian separuh masa dalam sumber manusia di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Lebih manisnya, beliau juga berjaya ‘menarik’ suaminya untuk sama-sama memburu sarjana muda.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >