Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dijel lebih 10 bulan kerana dera pembantu sehingga mangsa 'lari' dengan turun dari balkoni

Nov 18, 2020 | 04:25 PM



SEORANG wanita yang berulang kali mendera pembantu rumah Indonesia keluarganya sebelum pembantu tersebut menuruni 15 tingkat flat menerusi balkoni telah dihukum penjara 10 bulan dua minggu.



Akhbar The Straits Times melaporkan antara Januari dengan April 2018, Nuur Audadi Yusoff  mendera Cik Sulis Setyowati, 24 tahun, berkali-kali termasuk menampar muka dan menarik rambutnya.



Dalam menjatuhkan hukuman pada Rabu (18 November), Hakim Daerah Ronald Gwee berkata kesan penderaan fizikal dan mental yang dilakukan Nuur ke atas Cik Sulis dapat dilihat sendiri.



Beliau juga menyatakan Cik Sulis membahayakan nyawanya demi menyelamatkan dirinya daripada 'seksaan' tersebut. Menurut Hakim lagi, hukuman pencegahan perlu bagi memberi pesanan kepada ramai bahawa perbuatan kejam sebegitu tidak boleh diterima.



Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Nuur memberi Cik Sulis pampasan lebih $7,000 beberapa hari lalu.



Wanita Singapura berusia 31 tahun itu mengaku bersalah pada September lalu atas enam kesalahan mengugut. Sembilan tuduhan lain, kebanyakannya bagi kesalahan serupa, dipertimbangkan sewaktu mengenakan hukuman.



Sewaktu kesalahan dilakukan, Nuur adalah pekerja Singtel yang dikerahkan bagi menyokong pusat kontak Kementerian Tenaga Manusia (MOM).



Cik Sulis pula mula bekerja di rumah Nuur di Yishun pada Disember 2017. Sekitar selepas tengah malam, Nuur dikejutkan dengan suara tangisan anak perempuannya dan mendapat tahu bahawa Cik Sulis terlupa menyapu salap pada perut budak itu.



Nuur kemudian meludah pembantu rumah itu dan menampar mukanya dua kali. Penderaan itu berlanjutan pada Februari 2018 dengan Nuur mengheret pembantu rumah itu dengan menggenggam rambutnya.



Apabila Cik Sulis minta dipindahkan ke majikan lain, Nuur berjanji tidak akan memukulnya lagi. Namun, penderaan berlaku lagi pada 21 April tahun tersebut selepas Nuur memeriksa telefon bimbit Cik Sulis dan mendapati pembantu itu telah memuatnaikkan foto-foto anak-anak Nuur di Facebook.



"Tertuduh tak senang hati dengan foto-foto itu. Dia marah dan menampar mangsa di pipinya dengan menggunakan telefon bimbit mangsa sebelum menampar dengan tangannya beberapa kali dan seterusnya melempar telefon itu ke lantai sehingga ia retak.



"Muka mangsa berdarah dan terdapat kesan kemerah-merahan pada wajahnya. Dia menangis," jelas Timbalan Pendakwa Raya Chong Kee En.



Mahkamah diberitahu Nuur merampas telefon bimbit itu dan mengugut pembantu rumahnya hampir setiap hari bagi tempoh seminggu menyusuli kejadian itu.



Pada 29 April tahun tersebut, Cik Sulis berjaya mengambil semula telefon bimbitnya dan menyembunyikannya kerana beliau ingin menghubungi pihak agensi bagi meminta dirinya dipindahkan ke rumah majikan lain.



Apabila Nuur menyedari telefon itu hilang, dia berdepan dengan pembantu rumah itu yang menafikan dirinya mengambil kembali alat tersebut.



Nuur kemudian menggunakan sikat dan secara paksa mencucuk dahi Cik Sulis sehingga melebamkannya. Dia turut menampar Cik Sulis dan menarik rambutnya.



Pada malam itu, Nuur menyuruh Cik Sulis tidur di ruang tamu. Pintu bilik pembantu rumah itu dan pintu depan rumahnya kemudian dikunci bagi mengelakkan Cik Sulis daripada melarikan dirinya.



Keesokan harinya, Cik Sulis sedang duduk di lantai apabila Nuur datang dan menarik rambutnya serta menendang kepalanya beberapa kali sebelum pergi ke pejabat.



Apabila Nuur pulang ke rumah petang itu, dia memanggil Cik Sulis sebagai "pelacur".



Nuur juga bertanya kepada pembantu rumah itu sama ada dia mahu menggoda suaminya dan naik angin apabila pembantu yang tersilap mendengar soalannya berkata, "Ya, Puan."



Nuur kemudian menggunakan penyapu untuk memukul kepala dan belakang badan Cik Sulis berkali-kali.



Pembantu rumah itu mengambil keputusan untuk melarikan diri sekitar 2 pagi keesokan harinya dan melakukannya menerusi balkoni kerana pintu depan rumah itu dikunci.



Kata Timbalan Pendakwa Raya:



"Dia (Cik Sulis) menuruni 15 tingkat, memanjat balkoni demi balkoni, sebelum akhirnya sampai ke tingkat bawah. Itu sahaja mengambil masanya sepanjang dinihari itu."



Di atas nasihat ejennya, Cik Sulis membuat laporan polis petang itu, tambah Timbalan Pendakwa Raya.



Cik Sulis juga mengunjungi Hospital Khoo Teck Puat di mana lebam dan kesan lukanya dirawat.



Bagi setiap kesalahan mendera pembantu rumah, si pesalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan didenda sehingga $7,500



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >