Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DPM Heng: S'pura boleh jadi antara peneraju perubahan dunia

Dec 01, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA boleh menjadi 'penunjuk jalan' bersama negara yang sehaluan untuk memangkin perubahan di peringkat global, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.



Ini kerana secara individu, negara kecil seperti Singapura mungkin tidak boleh mengubah haluan tindakan global, tetapi dengan bekerjasama dengan negara lain, negara ini boleh membina asas bagi perubahan bermakna.



"Negara yang sehaluan harus bersatu untuk mempercepat rentak bagi kata sepakat mengenai langkah ke hadapan.



"Tujuannya bukanlah untuk membentuk kumpulan eksklusif bagi bersaing dengan kumpulan atau kuasa lain, tetapi menjadi penunjuk jalan bagi perubahan global," ujar Encik Heng.



Beliau memberi contoh usaha Singapura berganding bahu dengan New Zealand, Brunei dan Chile untuk memulakan Kerjasama Ekonomi Strategik Rentas Pasifik, sekali gus menubuhkan P4.



Ini kemudian berubah menjadi Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP), yang disertai lebih banyak negara.



"P4 ialah contoh jelas bagaimana negara kecil boleh mempunyai kuasa kolektif, bukan sahaja dalam menegaskan kepentingan mereka sendiri, bahkan dengan cara yang mempunyai kesan berganda," kata Encik Heng.



Beliau berkata demikian semasa berucap di Ceramah S Rajaratnam anjuran Kementerian Ehwal Luar (MFA) semalam.



Dinamakan sempena Menteri Ehwal Luar pertama Singapura Encik S Rajaratnam, ceramah itu mengundang tokoh untuk berucap tentang topik berkaitan dengan diplomasi dan hubungan antarabangsa.



Dalam ucapannya itu, Encik Heng membentangkan tiga contoh yang boleh dilakukan Singapura untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan global.



Selain bekerjasama dengan negara sehaluan, Encik Heng berkata Singapura boleh bekerjasama dengan jirannya untuk merealisasi potensi pertumbuhan rantau ini.



Bagi Asean untuk kekal stabil dan maju, rantau ini mesti kekal terbuka, inklusif dan memandang ke luar, kepada kededua Amerika Syarikat dan China, serta mana-mana negara yang ingin bekerjasama, kata Encik Heng.



Tambahnya, Amerika juga perlu terus mendekati rantau ini dari segi ekonomi, "jika tidak menerusi CPTPP, ia mesti mempunyai alternatif yang sama meluas".



Justeru, Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik yang diumumkan Presiden Joe Biden itu dialu-alukan, dan butirannya dinantikan, kata Encik Heng.



Di samping itu, Singapura harus memastikan globalisasi memberi manfaat kepada warganya.



Dengan globalisasi yang meningkat, rakyat prihatin terhadap persaingan dari luar negara dan gangguan kepada mata pencarian mereka.



Untuk terus meningkatkan kehidupan rakyat, Singapura perlu kekal berguna dan relevan kepada dunia, serta terus mengubah syarikat dan meningkatkan kemahiran pekerja, kata Encik Heng.



"Sebuah dunia yang global bukan sahaja merupakan apa yang diperlukan Singapura untuk menakat dan maju, bahkan ia mencerminkan apa yang kita dukung sebagai sebuah masyarakat.



"Sebagai masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, menerima kepelbagaian dan mengembangkan apa yang dikongsi sama telah menjadi, dan harus kekal menjadi, gaya hidup kita," ujar Encik Heng.



Mengulas tentang hubungan Amerika dan China pula, Encik Heng berkata kededua negara itu harus mencapai keseimbangan yang baru.



Tidak seperti suasana semasa Perang Dingin, Amerika dan China kini bersaing dalam sistem ekonomi yang saling berhubung dan bergantung pada satu sama lain.



"Kos penyahgandingan akan menjadi tinggi. Perbuatan itu akan membawa kepada penghapusan nilai ekonomi bagi kededua pihak," kata Encik Heng.



Ia akan mengambil masa untuk mencapai keseimbangan yang baru, tetapi Amerika dan China tidak harus membiarkan ketidakpercayaan strategik untuk menjejas peluang yang boleh memberi manfaat kepada kededua negara.



Sedang mereka bersaing, mereka juga perlu bekerjasama untuk mengatasi cabaran yang dihadapi bersama, dengan memanfaatkan sumber meluas mereka dari segi bakat, modal dan inovasi.



Ini akan membolehkan dunia mengatasi krisis iklim dengan lebih baik, dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang 2030, kata Encik Heng.




JADI PENUNJUK JALAN



"Negara yang sehaluan harus bersatu untuk mempercepat rentak bagi kata sepakat mengenai langkah ke hadapan. Tujuannya bukanlah untuk membentuk kumpulan eksklusif bagi bersaing dengan kumpulan atau kuasa lain, tetapi menjadi penunjuk jalan bagi perubahan global."



TERIMA KEPELBAGAIAN



"Sebuah dunia yang global bukan sahaja merupakan apa yang diperlukan Singapura untuk menakat dan maju, bahkan ia mencerminkan apa yang kita dukung sebagai sebuah masyarakat. Sebagai masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, menerima kepelbagaian dan mengembangkan apa yang dikongsi sama telah menjadi, dan harus kekal menjadi, gaya hidup kita."



- Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >