Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Dulu ahli muzik, kini 'Doktor Trompet'

Jalani kursus di Wales untuk jadi tukang baiki bertauliah
Nov 06, 2022 | 05:30 AM



BAK seorang doktor, Encik Nahli Zakaria akan terlebih dahulu mengenal pasti simptom yang dialami "pesakit" sebelum "diagnosis" diberikan.



Malah, jika terdapat keperluan, beliau juga akan memasukkan kamera kecil seperti alat skop ke dalam "pesakit" untuk meneliti punca masalah itu.



Namun, "pesakit" yang dimaksudkan bukanlah manusia tetapi sebaliknya alat instrumen muzik!



Encik Nahli, yang merupakan seorang tukang baiki instrumen muzik, lebih dikenali ramai sebagai Doktor 'Trumpet'.



Ini ekoran kemahirannya memperbaiki instrumen bras seperti antaranya trompet, hon Perancis dan trombon.



"Ada kalanya instrumen yang dihantar kepada kami mengalami kerosakan, sama ada tiada bunyi yang keluar selepas ditiup atau keretakan pada instrumen tersebut.



"Jadi tugas saya ialah mengenal pasti masalah dan cuba sedaya upaya untuk memperbaikinya sebaik mungkin," katanya.



Sejak lima tahun lalu, beliau telah bekerja sebagai tukang baiki dengan syarikat Music Elements, sebuah kedai muzik sehenti di Sims Drive, yang menawarkan produk muzik terkini selain khidmat memperbaiki alat muzik sama ada yang rosak atau yang perlu diservis.



Selain klien peribadi, antara klien lain yang sering menghantar alat muzik untuk diperbaiki termasuk daripada pasukan pancaragam sekolah-sekolah merata Singapura dan kumpulan orkestra setempat.



Bagaimanapun, untuk menjadi seorang tukang baiki bertauliah, Encik Nahli, 62 tahun, sanggup ke Wales, United Kingdom (UK) untuk menjalani kursus bagi mendapatkan pensijilan khusus dalam bidang tersebut.



Menurut laman web syarikat itu, setiap juruteknik mereka berkelayakan selain pernah menjalani latihan khusus dengan syarikat pembuat instrumen seperti Rath Trombones (UK).



Meski ketika itu usianya sekitar 57 tahun, ia sedikit pun tidak menghambat Encik Nahli untuk mendalami kemahiran baru.



"Di Singapura tiada kursus khusus sedemikian, jadi saya terfikir mengapa tidak meningkatkan kemahiran dan, secara tidak langsung, membuka peluang pekerjaan baru bagi saya," kata bapa tiga anak dan datuk kepada empat cucu ini.



Dua anak lelakinya juga merupakan anggota kumpulan band setempat, Merah.



Sebelum ini, Encik Nahli, yang sudah mula bermain dengan alat muzik bras sejak di bangku sekolah, tahu serba sedikit tentang cara membaiki alat tersebut kerana mempelajarinya sendiri.



Sepanjang kerjayanya, beliau juga telah bermain dalam beberapa band terkenal tempatan seperti Back2Back, Bandidos dan Shaggies.



Bahkan, beliau juga pernah ke negara sejauh Eropah untuk membuat pertunjukan selain mengikuti penyanyi tanahair seperti Rahimah Rahim bagi jelajah Asia.



Yang terkini, Encik Nahli turut terlibat dalam konsert Sanisah Huri yang baru sahaja berlangsung di Esplanade awal bulan ini selaku pemain trompetnya.



Menceritakan tentang jenis-jenis kerosakan yang pernah diperbaikinya, Encik Nahli berkata pernah beberapa kali beliau terjumpa "harta karun" yang tersumbat dalam instrumen muzik, menjadikan alat tersebut tidak dapat mengeluarkan bunyi meskipun sudah ditiup.



Yang lazim dijumpainya termasuk kain dan minyak pelincir injap.



"Tapi pernah sekali tu yang agak menggelikan, entah bagaimana dalam trompet itu, meski sudah dicuci dan diservis, masih tidak boleh berbunyi. Rupanya selepas diperiksa, barulah saya dapat tahu terdapat cicak yang sudah mati dan kering melekat di dalamnya," katanya sambil tertawa.



Encik Nahli, yang juga masih mengajar bermain trompet kepada sekolah-sekolah dan beberapa murid secara peribadi, menasihati warga muda agar lebih menghargai alat instrumen yang dibeli.



Menurutnya, ada yang akan menghumban instrumen itu jika didapatinya rosak ataupun tidak menjaganya dengan baik.



"Trompet yang saya beli pada tahun 1976 masih lagi saya simpan. Mungkin apabila kita muda kita sukar menghargai sesuatu barang meskipun ia amat berharga. Tetapi percayalah, apabila kita mula menghargai barang yang kita sayangi, ia menunjukkan keperibadian kita yang sebenar," ujarnya lagi.




TINGKAT KEMAHIRAN



"Di Singapura tiada kursus khusus sedemikian, jadi saya terfikir mengapa tidak meningkatkan kemahiran dan, secara tidak langsung, membuka peluang pekerjaan baru bagi saya."



HARGAI ALAT INSTRUMEN



"Trompet yang saya beli pada tahun 1976 masih lagi saya simpan. Mungkin apabila kita muda kita sukar menghargai sesuatu barang meskipun ia amat berharga. Tetapi percayalah, apabila kita mula menghargai barang yang kita sayangi, ia menunjukkan keperibadian kita yang sebenar."



- Encik Nahli Zakaria.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >