Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FairPrice ikrar derma $1.2 juta bantu keluarga berpendapatan rendah

Jan 29, 2022 | 05:30 AM



SYARIKAT FairPrice telah berikrar untuk menderma $1.2 juta kepada 600 keluarga sepanjang tempoh tiga tahun untuk membantu keluarga berpendapatan rendah menangani kos sara hidup yang lebih tinggi.



Benefisiari yang akan meraih manfaat daripada sumbangan itu termasuk keluarga di bawah program Meals with Love Palang Merah Singapura (SRC)-FairPrice, yang menawarkan baucar FairPrice kepada keluarga yang mudah terjejas.



Ini termasuk keluarga berpendapatan rendah dan isi rumah dengan ibu bapa tunggal.



Jumlah yang akan diterima setiap isi rumah bergantung pada jumlah anggotanya.



Sebagai contoh, keluarga yang mempunyai empat anggota akan mendapat $250 sebulan secara purata.



Relawan akan menjalankan semakan dan penilaian setiap enam bulan untuk memantau peningkatan dalam keadaan keluarga itu, dengan jumlah derma akan disesuaikan sewajarnya.



Sementara SRC telah menjalankan program tersebut sejak 2013, ini merupakan kali pertama FairPrice Group menyertai program itu sebagai penaja.



Antara benefisiari program itu ialah Encik Ng Kok Peng, 46 tahun, yang merupakan seorang penolong gerai makanan.



Encik Ng diberhentikan kerja sebagai pengurus projek ubah elok pada Januari tahun lalu akibat kesan pandemik Covid-19.



Meskipun beliau berjaya mendapatkan pekerjaan lain selepas itu, gajinya adalah $1,000 lebih rendah kini berbanding dahulu.



Encik Ng yang juga seorang bapa tunggal merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarganya.



Beliau mempunyai dua anak yang berusia enam dan tujuh tahun. Beliau juga menjaga ibunya yang kini berusia 76 tahun.



Ketua Eksekutif SRC, Encik Benjamin William, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FairPrice Group, Encik Seah Kian Peng, hadir menyampaikan baucar FairPrice bernilai $250 kelmarin.



"Dengan baucar ini, saya boleh menggunakannya bagi perbelanjaan anak saya tanpa perlu bimbang sama ada saya mampu keperluan harian atau tidak," ujar Encik Ng.



Orang ramai boleh menyumbang kepada usaha ini dengan menderma kepada benefisiari program itu menerusi laman web SRC atau dengan berbakti sebagai relawan untuk mendapatkan dan menyampaikan baucar makanan itu serta mendampingi keluarga yang dibantu ini.



Sejauh ini, lebih 30 kakitangan FairPrice Group telah mendaftar untuk menjadi pendamping.



Menarik perhatian pentingnya usaha mendampingi keluarga itu, Encik William berkata:



"Selain keperluan fizikal mereka, ramai daripada keluarga ini juga memerlukan teman untuk bercakap.



"Adalah penting kita mendekati mereka dengan... sentuhan manusia apabila kita berinteraksi dengan golongan yang memerlukan ini."



Encik Seah berkata usaha membantu keluarga menangani kos sara hidup adalah penting bagi FairPrice Group.



"Kami telah bekerjasama dengan SRC selama bertahun-tahun tapi program ini lebih bermakna.



"Ini amat relevan buat kami dan... kami boleh menjalankan lebih banyak usaha, lebih-lebih lagi dalam tempoh sekarang, dengan Covid-19 menjejas teruk ramai warga Singapura," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >