PILIHAN RAYA PRESIDEN: INDIVIDU YANG INGIN TANDING

Farid mahu guna pengalaman untuk 'berkhidmat pada negara, warga'

PADA usia 62 tahun, Encik Farid Khan Kaim Khan, pengerusi syarikat perkhidmatan marin Bourbon Offshore Asia Pacific boleh memilih untuk bersara setelah melihat syarikatnya mantap.

Apatah lagi beliau telah melalui pembinaan kerjaya yang beliau sifatkan sebagai penuh berliku dan mencabar sejak berusia belasan tahun.

Namun, bapa dua anak itu memilih mahu terus berkhidmat kepada masyarakat.

"Selama 48 tahun saya bekerja keras untuk negara, untuk masyarakat. Pada usia 62 tahun, saya boleh melakukan dua perkara... bersara dan hidup selesa atau menggunakan pengalaman sepanjang 48 tahun untuk berkhidmat kepada negara, dan itulah yang ingin saya lakukan," kata usahawan itu dalam satu sidang akhbar Selasa lalu bagi mengumumkan hasratnya bertanding dalam pilihan raya presiden September ini.

Walaupun berketurunan Pakistan, Encik Farid berkata beliau menganggap dirinya Melayu kerana dibesarkan dalam budaya dan bahasa Melayu sejak kecil.

"Awak nak saya berpantun ke nanti di sidang media? Kalau nak ajak lawan pantun pun okay," seloroh Encik Farid kepada wartawan apabila ditanya tentang sejauh mana "Melayu"nya.

Dilahirkan pada 1955 di Geylang Serai, anak kedua dalam kalangan 10 adik-beradik itu memikul tugas sebagai 'ketua keluarga' selepas bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia 13 tahun.

Dalam satu pertemuan dengan Berita Harian, Encik Farid mendedahkan mengapa beliau bertekad meninggalkan alam persekolahan ketika menuntut di menengah dua di Sekolah Menengah Bartley.

"Saya terlalu sedih melihat ibu saya bekerja membanting tulang sebagai buruh kasar di jalan. Masa itu umurnya 33 tahun. Ibu saya tak perasan saya dari jauh memerhatikannya bekerja... hati saya remuk... saya rasakan seorang ibu tak seharusnya dibiarkan bekerja teruk untuk menyara anak.

"Itu yang membuat saya bertekad buat apa saja, biar jadi pencuci kereta, kerja kilang... sehari ambil dua kerja, asalkan dapat bantu ringankan beban ibu saya," ujar beliau, sebak.

Bahkan, "rasa terharu" melihat "masih ramai warga senja, termasuk wanita, bekerja" ketika beliau menemani isterinya, Cik Naeemah Shaik Abu Bakar, ke pasar, membulatkan tekad beliau menyahut saranan rakannya agar beliau bertanding dalam EP kali ini, tambah Encik Farid.

Cik Naeemah, 62 tahun, suri rumah tetapi aktif dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa sepanjang persekolahan anaknya.

"Selama ini, tanpa dikenali, tanpa jawatan presiden pun, saya telah pun membuat kerja kebajikan. Saya fikir, tentu banyak lagi yang boleh saya lakukan jika diberi peluang menjadi ketua negara," ujar Encik Farid, merujuk kepada sumbangannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengemudi Kerjaya@Maritime, satu inisiatif oleh Mendaki Sense, selain sumbangannya bagi projek belia dan bekas banduan bersama Masjid Tentera Diraja.

Dalam bidang perkapalan, Encik Farid bermula sebagai pelayan kepada kapten kapal selama lebih setahun. Tugasnya kemudian berkembang daripada setakat pengisi minyak hingga dilantik sebagai jurutera rendah pada 1983 selepas mengikuti kursus kejuruteraan marin di Politeknik Singapura.

Setelah mantap sebagai jurutera, beliau menyertai beberapa firma luar pesisir, termasuk ditugaskan di pangkalan di Jakarta selama lapan tahun.

Hari ini, Encik Farid menerajui Bourbon Offshore Asia Pacific di pejabat Singapura sejak lebih 10 tahun. Firma itu, yang mempunyai lebih 800 pekerja di rantau ini, sebahagian daripada syarikat Perancis, Bourbon, yang mempunyai 10,000 pekerja.

Beliau juga pengarah beberapa syarikat, termasuk Greenship Holdings, juga dalam sektor marin.

Greenship Holdings pernah dilaporkan mempunyai ekuiti pemegang saham bernilai AS$200 juta (S$277 juta), sementara Bourbon Offshore Asia Pacific mempunyai AS$300 juta.

Selain itu, beliau merintis Bumi Subsea, syarikat yang memberi khidmat bantuan operasi kerja dasar laut.

Dalam ucapannya dalam sidang akhbar itu, Encik Farid berkata beliau prihatin tentang perkembangan ancaman ideologi radikal.

"Jika terpilih, saya akan bekerja rapat dengan pemerintah dan pelbagai pertubuhan untuk mencari huraian isu ini," ujarnya.

Beliau juga mahu mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di Singapura.

"Marilah kita pertingkatkan usaha membantu golongan memerlukan, belia bermasalah, demi mengukuh ikatan sosial kita. Dan juga tingkatkan kesejahteraan kita dengan menyediakan lebih banyak peluang, pekerjaan dari sektor maritim kepada sektor lain dalam ekonomi."

Encik Farid berkata beliau akan menghantar borang permohonannya di Jabatan Pilihan Raya minggu depan.


Fakta berkaitan pilihan raya presiden

  • Pilihan raya presiden yang dijadual berlangsung pada September ini dikhaskan bagi calon Melayu.
  • Calon yang ingin bertanding perlu membuat permohonan kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden bagi Sijil Kelayakan, dan Jawatankuasa Masyarakat bagi Sijil Masyarakat Melayu.

Presiden perlu memohon dua sijil yang diwajibkan - Sijil Kelayakan dan Sijil Masyarakat (pengesahan sebagai orang Melayu).

  • Tempoh permohonan untuk bertanding dibuka dari 1 Jun lalu hingga hari kelima selepas Writ Pilihan Raya diumumkan Perdana Menteri. Writ ini dijangka diumum bulan depan.
  • Mengikut undang-undang, Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) dan Jawatankuasa Masyarakat mempunyai sekurang-kurangnya 10 hari selepas Writ dikeluarkan untuk menilai pemohon. Pemohon akan diberitahu tentang hasil permohonan mereka sebelum Hari Penamaan Calon.
  • Tempoh berkempen bermula selepas Hari Penamaan Calon. Ia berakhir sehari sebelum Hari Bertenang - di mana kegiatan berkempen dilarang sepanjang 24 jam sebelum Hari Mengundi.
  • Hari Mengundi pada September.

Galeri Foto