PERKHIDMATAN rel antara stesen Punggol dengan Serangoon di Laluan Timur Laut (NEL), telah tergendala sepanjang tiga jam pada pagi semalam akibat gangguan tenaga pada sistem katenari atas.
Sistem tersebut menyediakan tenaga kepada kereta api dan ia terletak di siling terowong rel kereta api.
Perkhidmatan di stesen-stesen tersebut dimulakan semula pada sekitar 9.50 pagi, lapor The Straits Times (ST).
Melalui satu kenyataan di Twitter, pengendali rel SBS Transit berkata pada 9.53 pagi semalam bahawa perkhidmatan bas biasa yang percuma serta perkhidmatan bas bagi menghubungkan kawasan terjejas akan diteruskan sehingga diumumkan kelak.
Pada 10.18 pagi pula, SBS Transit mengumumkan bahawa perkhidmatan bas tersebut di beberapa perhentian bas tertentu telah dihentikan.
Menyusuli kerosakan pada sistem katerani itu, SBS berkata:
"Sebahagian (sistem itu) di stesen Buangkok mengalami kerosakan dan jurutera kami sudah berada di tempat kejadian untuk memperbaikinya, yang dijangka mengambil sekitar tiga jam."
Ia menambah, gangguan tenaga itu berlaku pada sekitar 7 pagi semalam. SBS Transit telah meminta maaf di atas kerosakan itu.