Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PEMBUKAAN SEMULA SEMPADAN SG-M’SIA

Gembira bersama keluarga di M'sia walau perlu bertolak seawal 4 pagi

Apr 20, 2022 | 05:30 AM



PERJALANANNYA menuju ke tempat kerja bermula sekitar empat pagi hampir setiap hari sejak kebelakangan ini.



Setelah bertolak dari rumah, Encik Mohd Farhan Ayob akan berjalan kaki sekitar 20 minit dari tambak Johor ke kastam Singapura.



Disebabkan perlu tiba lebih awal di tempat kerja, Encik Mohd Farhan, yang bertugas sebagai operator kilang, tidak sempat menunggu khidmat bas ulang-alik antara Singapura dan Johor yang hanya mula beroperasi sekitar enam pagi.



Meskipun letih, Encik Mohd Farhan dan ramai warga Malaysia lain yang mencari rezeki di seberang tambak melihat pengorbanan tersebut sebagai 'rezeki' yang diharap tidak lagi ditarik balik pada masa akan datang.



Sejak sempadan antara Malaysia dan Singapura dibuka semula sejak 1 April, ramai memutuskan untuk teruskan rutin harian pra-pandemik mereka dengan bertolak awal pagi ke Singapura dan pulang ke pangkuan keluarga setelah tamat waktu kerja, menurut beberapa pekerja yang dihubungi Berita Harian (BH).



"Memang biasanya bagi kami yang menaiki bas, terpaksa redah 'queue' panjang untuk naik bas ulang-alik. Tapi ini perkara kecil dan dah jadi kebiasaan, kerana sebelum pandemik pun begitu juga," kata Encik Mohd Farhan, 25 tahun, yang mula bekerja di Singapura sejak tiga tahun lalu.



Beliau menambah, yang lebih mencabar adalah untuk meredah hujan lebat yang turun semasa beliau dan pekerja lain menyeberang tambak.



Sepanjang tempoh sempadan ditutup sekitar dua tahun lalu, Encik Farhan hanya mampu pulang sekali ke rumah untuk menjenguk isterinya yang pada masa itu sarat mengandung.



Beliau memanjatkan rasa bersyukur kerana dapat teruskan hidup seperti dulu dan melihat anaknya membesar di depan mata.



Sementara itu, perjalanan ulang alik bagi penunggang motosikal dan pemandu pula lebih lancar sejak sempadan dibuka dan mengambil masa yang lebih singkat berbanding tempoh sebelum pandemik.



Proses tersebut hanya mengambil sekitar 10 hingga 20 minit sebaik tiba di kastam.



Ini mungkin disebabkan ada motosikal atau kereta dari Malaysia yang masih menanti kelulusan untuk memasuki Singapura, menurut warga Malaysia yang ditemu ramah.



Encik Ahmad Syahir Mohd Rosli yang bertugas sebagai seorang doktor kecemasan di salah sebuah hospital Singapura, berkongsi rasa senang hati melihat keadaan lalu lintas sekarang.



"Keadaan ulang alik Malaysia- Singapura buat masa ini sangat baik, dan saya lihat kastam kededua negara juga cukup cekap dalam melaksanakan tugas.



"Cuma kadang keadaan sesak jika ada lori yang potong jalan dan halang laluan motor atau kereta," katanya, dan menggesa agar keadaan tersebut dikawal dengan lebih baik untuk memastikan keadaan jalan raya kekal lancar.



Encik Ahmad Syahir, yang sudah bekerja lebih 10 tahun di Singapura, berkongsi bahawa beliau terpaksa kuarantin di hotel selama dua minggu di Malaysia untuk berjumpa keluarga dan dua minggu lagi di Singapura sekembalinya ke sana untuk teruskan tugas semasa tempoh tutupnya sempadan kededua negara.



"Ini makan belanja yang besar, umpama boleh beli sebiji motor baru di Malaysia," katanya, sambil menambah ketiga anak-anaknya yang kecil cukup gembira kini lebih kerap dapat bertemu ayah mereka sejak sempadan kembali 'bernyawa'.



Lalu lintas yang lebih lancar sekarang membantu seorang lagi warga Malaysia, Encik Muhammad Fariz Fazil Mohd Zaki untuk hanya memperuntukkan sekitar 30 hingga 40 minit bagi perjalanan ke tempat kerja dan pulang dengan menaiki motosikal.



Jika tiada masalah dengan proses pengesahan cap jari atau semakan Permit Masuk Kenderaan (VEP) di kastam, beliau hanya memerlukan 10 hingga 15 minit untuk 'lepas', katanya.



"Setakat ini memang tak ada sebarang cabaran teruk jika dibandingkan kesesakan jalan raya dulu, yang biasanya akan ambil masa lebih sejam.



"Tapi ini sekarang, bulan depan tiada siapa yang tahu," ujar Encik Muhammad Fariz, 25 tahun, yang sudah hampir lima tahun bekerja sebagai teknisyen di Singapura.



Meskipun motosikalnya masih belum mendapat pengesahan untuk memasuki Singapura buat masa kini, ini tidak melemahkan semangat Cik Siti Fatimah Latif, 38 tahun, ulang alik antara tempat kerjanya di salah sebuah kondominium di Singapura dan rumah abangnya di Johor, meskipun perlu bergantung pada pengangkutan awam.



Asal warga Perak, Cik Siti Fatimah menumpang di rumah abangnya di Ulu Tiram, Johor, sejak mula bekerja sebagai pekerja pembersihan di Singapura enam tahun lalu.



Sebelum sempadan dibuka beliau menetap bersama rakan sekerjanya di Geylang dalam apartmen yang disewa syarikatnya.



"Setelah dua tahun kami langsung tak dapat pulang, kami begitu gembira apabila sempadan dibuka dan boleh bersua muka dengan ibu bapa dan keluarga, kalau tak 'video call' saja hari-hari," katanya.



Melihat wajah anggota keluarga setelah sehari suntuk bekerja, membuat tidurnya lebih lena, kata pekerja bank, Cik Subashini Hari Krishnan, 37 tahun.



Namun, beliau akui bas ulang alik yang hanya mula beroperasi pada enam pagi menyukarkan keadaan pekerja sepertinya.



Cik Subashini, yang mula bekerja di Singapura sejak 10 tahun lalu berkata: "Kami sekarang nak minta agar khidmat bas ulang alik ini dimulakan di Tuas Second Link juga sama seperti di CIQ Woodlands, ini boleh mudahkan pekerja supaya kami tak perlu menunggu dalam barisan begitu lama."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >