Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Geran diperkenal bagi galak penghasilan karya bahasa Melayu

Oct 29, 2023 | 02:38 PM



Dalam usaha menambah bilangan bahan bacaan bahasa Melayu bagi golongan remaja, geran khusus telah diperkenal bagi menggalak karyawan dan penulis menghasilkan karya bermutu dan menarik berdasarkan konteks Singapura.

Geran tersebut merangkumi dana untuk membiayai kos penerbitan, pencetakan dan penghantaran buku ke sekolah-sekolah, dan nilai geran akan ditentukan berdasarkan keperluan karya yang terpilih, menurut Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Panggilan Khas untuk Kertas Cadangan bagi projek Penerbitan Buku Cerita itu telah diumumkan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman pada Sabtu.

Menurut MLLPC, ia mengalu-alukan semua sumbangan karya yang relevan dari individu mahupun pertubuhan sebelum tarikh penutup permohonan bagi geran tersebut iaitu pada 15 Disember.

Idea yang diterima bagi karya tersebut akan dinilai MLLPC dan geran akan diberikan kepada karya yang terpilih, berdasarkan dana yang diperlukan.

Ini merupakan kali pertama MLLPC memperkenal projek penerbitan dengan ‘panggilan terbuka’ bagi penulis menyumbang karya mereka.

Geran tersebut diumumkan semasa pelancaran Projek Orang Singapura – yang merupakan usaha MLLPC menghasilkan kompilasi lagu-lagu ciptaan tokoh muzik negara, Allahyarham Zubir Said – di Hab Acara Paya Lebar Quarter (PLQ) pada Sabtu.

Sebanyak 10 lagu ciptaannya, termasuk Singapura Permai, Pantun, Kata Berlawan, Budi Yang Baik dan Semoga Bahagia, dimuatkan dalam kompilasi pertama yang dinamakan “Orang Singapura” dan diberikan nafas baru oleh bakat muda tempatan.

Barisan bakat muda yang telah menyumbangkan suara bagi projek tersebut terdiri daripada Hanie Bella, Reyza Hamizan, Syah Riszuan dan Suryana Norddin.

Semasa memberikan ucapannya semasa pelancaran rasmi projek tersebut, Dr Maliki berkata usaha tersebut penting demi memastikan karya-karya Pak Zubir dapat dinikmati semua terutama sekali generasi muda.

“Karya-karya Zubir Said sememangnya mempunyai keistimewaan yang tersendiri.  

“Lagu-lagu beliau sarat dengan nasihat, semangat cinta akan negara, nilai murni dan aspirasi sesuatu bangsa. 

“Hasil-hasil kerja beliau yang tidak ternilai harus diuar-uarkan supaya sentiasa malar segar, dihargai setiap generasi masyarakat Melayu dan Singapura,” kata Dr Maliki.

Selain mengetengahkan bakat muda, susunan muzik lagu-lagu ciptaan Pak Zubir juga diolah dengan menggabungkan unsur kontemporari dan tradisional agar menepati cita rasa hari ini, menurut anggota sekretariat MLLPC, Cik Zurianee Zainal, yang menerajui usaha tersebut.

Cik Zurianee menambah, terdapat rancangan untuk meneruskan usaha melestarikan lagu-lagu ciptaan Pak Zubir yang lain dalam masa akan datang.


Selaras dengan tema Projek Orang Singapura itu juga, karyawan dan penulis juga digalak menyumbang karya serta cerita-cerita yang diinspirasikan daripada lagu-lagu Pak Zubir berlatarkan konteks dan budaya Singapura.


Karya-karya bahasa Melayu bermutu yang mengandungi konteks dan budaya Singapura berkurangan dan geran tersebut diharap dapat menggalak lebih ramai menyumbang karya, menurut anggota sekretariat MLLPC, Encik Suhaimi Sahmat.

Selain tema-tema yang terkandung dalam lagu-lagu Pak Zubir, penulis juga mempunyai pilihan untuk menerapkan tema lain, tambah Encik Suhaimi.


Butiran lanjut mengenai geran tersebut boleh didapati di laman web MLLPC.

Dalam menutup ucapannya semasa acara itu, Dr Maliki berkata: “Saya mengalu-alukan para karyawan dan penulis tempatan kita agar mengambil peluang ini untuk menghasilkan karya-karya baru yang berkualiti. 

“Diharapkan agar usaha-usaha MLLPC ini dapat terus menggalakkan penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu. Semoga generasi muda Singapura dapat meraih manfaat daripadanya dan lebih yakin menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >