Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Gigih tingkat diri walau bermula sebagai pekerja pembersihan

Imej industri perlu dirombak untuk hilangkan stigma, sama seperti sektor keselamatan
Jun 12, 2021 | 05:30 AM



PADA 1988 apabila Encik Ramli Mohd Hussin mula memasuki alam pekerjaan sebagai pekerja pembersihan yang memerlukannya membersihkan tandas, gajinya sekadar $380 sebulan.



Tiga bulan kemudian, gajinya naik sedikit kepada $420.



Waktu itu, Encik Ramli baru berusia 16 tahun dan beliau merupakan pelajar tercicir dari Lembaga Latihan Kejuruan dan Perusahaan (VITB) kerana tiada lagi minat bersekolah.



"Waktu itu saya masih budak, masih muda lagi. Mak pun bising sebab saya tak sekolah, tak buat apa-apa di rumah. Jadi, saya pun lakukan kerja pembersihan sebab pelajaran pun tak ada," kata beliau.



Tahun demi tahun, Encik Ramli, yang kini berusia 48 tahun, bekerja dalam industri itu tetapi kenaikan gaji yang diterimanya tidak begitu lumayan dan beliau tidak melihat sebarang kemajuan dalam kerjayanya.



Justeru, beliau memutuskan untuk menyertai kursus peningkatan kemahiran dan ilmu pada sekitar 2005 supaya peluangnya mara dalam pekerjaan lebih baik.



"Saya pun terfikir juga, sampai bila saya nak kerja sebagai cleaner, pegang sapu dan mop? Takkan saya tak ada cita-cita nak gaji besar, jadi penyelia, jadi pengurus? Disebabkan itu, saya kejar cita-cita saya dan ini yang terbaik untuk saya," ujar bapa empat anak itu.



Encik Ramli bermula dengan menyertai kursus kemahiran khidmat daya kerja atas dorongan seorang rakan, dan beliau tidak setakat berhenti di situ.



Beliau terus menerus mengambil kursus satu per satu, daripada kursus peringkat operasi hingga ke peringkat penyelia, peringkat pengurus dan diploma dalam kepimpinan pengurusan kakitangan.



Kerja kerasnya itu berbaloi.



Kini, Encik Ramli merupakan seorang pengurus operasi kanan di syarikat khidmat persekitaran Goodman Environmental yang bertanggungjawab menjaga sekitar 19 tapak kerja dengan kira-kira 100 kakitangan pembersihan dan gaji yang dibawa pulangnya ialah $3,500.



Bahkan, pada Disember tahun lalu, Encik Ramli baru saja menggenggam diploma dalam pembangunan pekerjaan yang ditawarkan bersama oleh Institut Kepimpinan Buruh Ong Teng Cheong dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).



Beliau juga memiliki Sijil Lanjutan dalam Latihan dan Penilaian (ACTA) dan pernah mengikuti kursus penyelaras keselamatan.



Tidak seperti hari ini di mana terdapat struktur tangga peningkatan gaji dan kemahiran di bawah Model Gaji Progresif (PWM) bagi pekerja pembersihan, Encik Ramli berkata keadaan dahulu berbeza dan peningkatan kemahiran bukan sesuatu yang ditekankan.



Malah, apabila beliau cuba mencari peluang kerja baru selepas melalui kursus kemahiran khidmat daya kerja pada 2005, sijilnya tidak diiktiraf ramai majikan yang tidak pernah mendengar tentang kursus itu.



Namun, beliau tidak berputus asa dan terus mempertingkat kemahirannya dengan harapan dapat mendapat gaji lebih baik dan pangkat pekerjaan lebih tinggi.



Oleh itu, Encik Ramli mengalu-alukan PWM bagi industri pembersihan yang dilaksanakan sejak 2014 kerana ia menyediakan tangga peningkatan kerjaya yang jelas buat pekerja.



Baru-baru ini, Kelompok Tiga Pihak bagi Pekerja Pembersihan (TCC) dalam laporannya menyarankan kenaikan gaji asas setiap tahun dari 2023 hingga 2028, dan keperluan latihan dipertingkat, bagi industri itu di bawah PWM.



Kenaikan gaji asas itu akan menyaksikan pekerja pembersihan am misalnya menikmati kenaikan gaji kumulatif sebanyak 85 peratus sepanjang enam tahun itu, iaitu daripada $1,312 pada 2022 kepada $2,420 pada 2028.



"Dengan adanya PWM, mereka tahu jika mereka masuk, ada juga peningkatan - boleh jadi penyelia, boleh jadi eksekutif operasi dan sebagainya. Ia juga lebih mudah bagi saya galak rakan pekerja pembersihan untuk jalani latihan," kata beliau.



Meskipun banyak perubahan positif telah berlaku dalam industri pembersihan, Encik Ramli berkata masih lagi ada stigma dalam kalangan masyarakat terhadap pekerja pembersihan walaupun ia "tidak seteruk dahulu".



Justeru, untuk terus menaik taraf industri pembersihan, beliau menyarankan agar imej industri itu diberikan pembaharuan serupa dengan apa yang telah dilakukan industri keselamatan.



"Industri keselamatan dan pembersihan macam adik-beradik. Dulu, orang selalu kata 'Kalau kau tak nak belajar, nanti dah besar jadi 'jaga' atau cleaner'.



"Tetapi, selepas industri keselamatan memperbaharui imej mereka, tidak lagi ada stigma dan kita lihat industri itu sekarang ada ramai orang muda.



"Sama juga dengan industri pembersihan. Imejnya perlu dirombak dan ditukar untuk jadi lebih baik.



"Dari situ, stigmanya akan hilang secara perlahan-lahan… Tetapi Alhamdulillah, sekarang kita lihat masyarakat sudah sedar bahawa kami pekerja penting di Singapura dan tanpa kami, Singapura tidak sebersih yang kita lihat sekarang" kata beliau, yang juga penolong setiausaha agung kedua Kesatuan Pekerja Binaan Bangunan dan Perusahaan Balak (Batu).




WAKTU MUDA



"Waktu itu saya masih budak, masih muda lagi. Mak pun bising sebab saya tak sekolah, tak buat apa-apa di rumah. Jadi, saya pun lakukan kerja pembersihan sebab pelajaran pun tak ada...



TIMBUL KESEDARAN



"Saya pun terfikir juga, sampai bila saya nak kerja sebagai cleaner, pegang sapu dan mop? Takkan saya tak ada cita-cita nak gaji besar, jadi penyelia, jadi pengurus? Disebabkan itu, saya kejar cita-cita saya dan ini yang terbaik untuk saya...



ALU-ALU PENINGKATAN KERJAYA



"Dengan adanya PWM (Model Gaji Progresif), mereka tahu jika mereka masuk, ada juga peningkatan - boleh jadi penyelia, boleh jadi eksekutif operasi dan sebagainya. Ia juga lebih mudah bagi saya galak rakan pekerja pembersihan untuk jalani latihan."
- Encik Ramli Mohd Hussin, pekerja pembersihan yang kini menyandang jawatan selaku pengurus operasi kanan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >