Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

CHATBOT KECERDASAN BUATAN (AI) bawa manfaat atau...

'Guna ChatGPT dengan betul, dengan cara beretika'

Chatbot kecerdasan buatan (AI) generatif seperti ChatGPT kian banyak dimanfaatkan di tempat-tempat kerja ataupun sekolah dengan orang ramai menggunakan teknologi pintar ini dalam melakukan tugasan yang sukar dan yang memerlukan ketelitian, seperti menulis salinan pemasaran. Bahkan, ia boleh menulis jenaka, kod komputer yang berfungsi, tulisan karangan serta lain-lain lagi. BERITA HARIAN mendapatkan pandangan mereka yang pernah menggunakannya dan mencuba sendiri keberkesanan ChatGPT dalam menulis sebuah puisi dan cerpen.
Mar 20, 2023 | 05:30 AM



Karyawan dari pelbagai bidang kongsi kegunaan, manfaat serta 'bahaya' chatbot AI



DARIPADA persekitaran korporat hingga ke industri kreatif dan sekolah, landskap kehidupan dunia tidak lagi sama seperti dahulu dengan adanya ChatGPT.



Tidak dapat dinafikan alat kecerdasan buatan (AI) generatif ini - yang dihasilkan syarikat OpenAI - kian mengubah cara kita bekerja dan belajar di masa hadapan.



Ramai yang telah pun mengambil langkah mendakap dan memanfaatkan teknologi baru ini bagi kegunaan pekerjaan mereka.



Namun di sebalik kecekapan ChatGPT ini dalam menjana dan menghasilkan sebuah tulisan atau karya, masih terdapat kekurangan yang hanya dapat diperhalusi dengan sentuhan manusia.



Demikian pendapat beberapa karyawan dalam bidang-bidang berbeza yang dihubungi Berita Harian (BH).



Mereka berkata walaupun kehidupan harian kita dengan teknologi tidak dapat dipisahkan, perlu juga ada kesedaran tentang akibat menggunakan chatbot AI ini.



Profesor Madya Perhubungan Dan Media Baru di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Elmie Nekmat, berkata wadah seperti ChatGPT boleh menjadi satu alat yang amat berguna dalam meningkatkan produktiviti serta pembelajaran jika ia "digunakan dengan betul dan dengan cara yang beretika".



"Pada pendapat saya, ia pasti akan mengubah cara pendidik menilai tugasan pelajar dan membuat rancangan pengajaran serta hasil pembelajaran mereka.



"Mereka perlu akur dengan ketersediaan luas platform AI sedemikian di Internet, membincangkan tentang penggunaan platform tersebut dengan cara yang betul dan beretika, dan membuat rancangan pengajaran yang menekankan pengetahuan dan kemahiran berfikir pada peringkat yang lebih tinggi," kata beliau yang juga merupakan anggota Majlis Kecelikan Media.



Sehubungan itu, Dr Elmie menekankan bahawa para pendidik juga harus membangunkan cara baru untuk menilai pelajar selain dapat membezakan kerja dan pemikiran asli yang dihasilkan oleh pelajar itu sendiri bagi tugasan sekolah yang diberikan.



Program ChatGPT yang dihasilkan syarikat OpenAI berupaya menulis esei serta menjawab soalan yang agak rumit dan memberi nasihat.



Mereka yang pernah menggunakannya rata-rata berkata mereka kagum dengan 'kebolehan' ChatGPT ini.



Pemilik bersama syarikat khidmat digital, ISGN Ventures Pte Ltd, Encik Fadzuli Wahab, berkata ia telah memudahkan pekerjaannya dalam menjana laporan yang kemudian boleh digunakan untuk mengembangkan sesebuah idea.



Bagaimanapun, beliau merasakan ia masih memerlukan 'input' manusia.



"Sebaik sahaja mereka menjana artikel atau ucapan, anda perlu terus memperhalusi dan membuat sedikit perubahan supaya ia mempunyai sentuhan emosi manusia.



"Namun ia masih merupakan alat yang berguna untuk perniagaan sedang dunia kini bergerak ke arah teknologi yang berdasarkan AI," ujar Encik Fadzuli.



Seperti Encik Fadzuli, ramai pengamal industri kreatif di sini juga tidak ketinggalan dalam mengikuti arus perkembangan semasa ini.



Ada di kalangan mereka yang cuba menggubah lagu dengan menggunakan ChatGPT ini.



"Saya pernah cuba-cuba sahaja… saya menggunakannya untuk panduan saya mengenai bunyi apa yang menarik perhatian pendengar pada masa kini.



"Saya juga menggunakannya untuk memberitahu saya tentang algoritma media sosial pendengar muzik yang kemudian saya gunakan untuk mengumpul idea tentang topik tertentu lagu yang saya tulis.



"Daripada hasil input ChatGPT ini, saya akan menggunakannya untuk membandingkan dengan idea saya sendiri.



"Dengan cara ini, ia dapat membantu saya menghasilkan idea yang lebih besar dan lebih hebat apabila saya menulis lagu sebenar nanti.



"Pengalaman menggunakan ChatGPT ini sangat mengagumkan, menjadikan kerja saya lebih produktif, lebih pantas dan lebih mudah," kata seorang penerbit lagu setempat yang meminta nama tidak didedahkan.



Dengan potensi yang amat luas yang ditunjukkan ChatGPT ini, Dr Elmie menegaskan perlu adanya dasar dan garis panduan konkrit untuk menentukan penggunaan alat AI yang boleh diterima dan beretika dalam kalangan pihak pengurusan, pekerja serta pelajar.



Beliau berkata: "Ini akan membolehkan teknologi sedemikian disesuaikan dengan cara yang selamat dan produktif.



"Lebih banyak pendidikan dan kesedaran mengenai penggunaan negatif teknologi sedemikian, seperti penipuan dan penciptaan maklumat yang tidak tepat misalnya, harus dilakukan bagi melindungi golongan yang terdedah dalam masyarakat dan mewujudkan persekitaran yang lebih dipercayai dalam talian."




 " Lebih banyak pendidikan dan kesedaran mengenai penggunaan negatif teknologi sedemikian, seperti penipuan dan penciptaan maklumat yang tidak tepat misalnya, harus dilakukan bagi melindungi golongan yang terdedah dalam masyarakat dan mewujudkan persekitaran yang lebih dipercayai dalam talian."



- Profesor Madya Perhubungan Dan Media Baru di NUS, Dr Elmie Nekmat.




FAKTA MENARIK TENTANG CHATGPT



  • ChatGPT boleh mencipta kandungan dalam masa yang pantas

Ia dibangunkan dan 'dilatih' berdasarkan set data transkrip perbualan antara manusia dan telah diperhalusi secara khusus untuk menjana respons dalam konteks 'chatbot' yang secara amnya relevan dan sesuai untuk perbualan.



  • ChatGPT adalah antara alat penulisan yang didayakan kecerdasan buatan (AI)

Terdapat semakin banyak program bahasa yang serupa dengan ChatGPT dan boleh menyokong proses penulisan.



  • ChatGPT percuma untuk digunakan buat masa ini

Oleh kerana ChatGPT dibangunkan dan digunakan oleh syarikat OpenAI, ia percuma untuk digunakan. Pengguna perlu membuat log masuk untuk mengakses program tersebut di mana-mana dan pada bila-bila masa.



  • ChatGPT 'belajar' daripada interaksinya dengan pengguna

Apabila ChatGPT digunakan dalam aplikasi 'chatbot', ia boleh terus belajar daripada interaksi dengan para pengguna.



  • ChatGPT tidak selalu betul

Seperti platform Internet, kebenaran dan fakta tidak selalu diberikan atau mudah diperoleh dan ChatGPT juga mampu membuat kesilapan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >