TAMAN Haiwan Singapura, Night Safari dan River Safari merupakan antara tarikan di daerah Mandai yang akan menjadi kawasan pengecualian karbon menjelang 2024.
Mandai Park Holdings (MPH), syarikat induk pengendali taman Wildlife Reserves Singapore, sedang menerajui pelan untuk menjadikan Mandai hab eko-pelancongan dan telah berikrar untuk mendapatkan 100 peratus tenaga kawasan itu daripada sumber yang diperbaharui menjelang 2030, katanya dalam satu kenyataan.
Penggunaan elektrik merangkumi lebih daripada separuh profil pengeluaran karbon, kata MPH.
Strategi Kemampanan Sekitaran Mandai akan memberi tumpuan kepada langkah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan air serta memaksimumkan peluang bagi menjana tenaga diperbaharui.
Ia juga akan meninjau cara mengurangkan, mengitar dan menggunakan semula sisa yang dihasilkan selain menerapkan mesej hidup secara mampan dalam program pendidikan dan pendekatan, kata ketua kumpulan eksekutif MPH, Encik Mike Barclay.
Encik Barclay berkata: "Sebagai satu pertubuhan yang terlibat dalam usaha pemuliharaan kehidupan liar, kami dapat melihat sendiri bagaimana perubahan iklim yang disebabkan manusia menyumbang secara langsung kepada kehilangan biodiversiti.
"Justeru kami telah menetapkan sasaran agresif bagi mencapai pengecualian karbon, yang akan merintis jalan bagi kami mencapai sifar bersih dengan lebih pantas."