Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Hanya pekerja divaksin penuh boleh ke pejabat mulai 1 Jan

Yang belum hanya boleh ke pejabat jika diuji negatif Covid-19
Oct 24, 2021 | 05:30 AM



MULAI 1 Januari tahun depan, kesemua pekerja yang kembali ke pejabat perlu memastikan diri mereka divaksinasi atau telah pulih daripada Covid-19 dalam masa 270 hari.



Langkah peluasan perbezaan vaksinasi ini bermakna mereka yang belum divaksinasi perlu diuji negatif bagi Covid-19 sebelum boleh kembali ke tempat kerja selain perlu bayar kos bagi ujian itu sendiri.



Mengumumkannya dalam satu sidang media semalam, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, berkata 96 peratus tenaga kerja Singapura telahpun divaksinasi.



Namun masih terdapat sekitar 113,000 pekerja yang belum divaksinasi, dengan lebih 10 peratus merupakan warga tua.



"Kami perlukan bantuan majikan menggalak pekerja mereka yang belum divaksinasi agar melakukan demikian, secepat mungkin," gesa Encik Gan.



Beliau semalam menggariskan langkah lain yang bertujuan menstabilkan keadaan Covid-19 di Singapura, dan ini termasuk menyertakan vaksin Sinovac ke dalam program vaksinasi negara, sejajar dengan vaksin mRNA lain seperti Pfizer-BioNTech dan Moderna.



Ini bagi memenuhi keperluan mereka yang tidak boleh divaksinasi dengan vaksin mRNA.



Mereka yang mengambil vaksin Sinovac juga perlu mengambil tiga dos sebelum disifatkan sebagai telah menjalani vaksinasi penuh.



Sinovac, tidak akan digunakan sebagai suntikan penggalak bagi mereka yang telah menerima dua dos vaksin mRNA.



Protokol jagaan kesihatan akan diubah bagi membenarkan wanita hamil jalani pemulihan di rumah, asalkan mereka sudah divaksinasi penuh, di bawah usia 35 tahun dan hamil kurang daripada 26 minggu.



Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) juga berkata, mereka yang tidak layak secara perubatan bagi sebarang vaksin Covid-19, akan diberi kelulusan khas untuk memasuki tempat yang memerlukan diri mereka divaksinasi seperti pusat beli-belah.



Namun bagi tempat kerja, mereka yang belum divaksinasi tidak akan diberi kebenaran khusus sedemikian.



Mereka masih tetap perlu mengambil ujian pra acara di tempat pembekal ujian yang diluluskan sebelum kembali ke tempat kerja. Ini termasuk mereka yang tidak layak secara perubatan dan wanita hamil.



Selain itu, Encik Gan turut berkata aktiviti kesejahteraan dan sosial bagi warga tua yang telah divaksinasi akan disambung semula dan ini akan dianjurkan oleh Persatuan Rakyat.



Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong turut menambah bahawa pemerintah akan membenarkan sehingga lima anggota keluarga daripada isi rumah yang sama makan bersama di luar dan sukan berpasukan disambung semula, jika kadar pertumbuhan jangkitan mingguan Covid-19 jatuh di bawah paras satu.



Tiga petanda akan ditinjau dalam memutuskan sama ada untuk memberi kelonggaran ataupun tidak.



Ini termasuk bilangan kenaikan kadar jangkitan setiap hari, bilangan mereka yang dijangkiti dan mengalami sakit teruk serta kadar kemasukan ke hospital terutama di unit jagaan rapi.



Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung turut memberi amaran kepada masyarakat supaya berhati-hati terhadap mesej tular WhatsApp mengelirukan yang mendakwa bahawa vaksin Covid-19 tidak berkesan.



Beliau merujuk kepada mesej yang mendakwa bilangan katil di ICU yang digunakan individu yang sudah divaksinasi adalah 40 peratus.



"Saya rasa pemilihan data dengan cara ini boleh mengelirukan dan merugikan masyarakat," katanya.



Beliau menambah MOH telah mendedahkan seberapa banyak data yang termampu agar masyarakat memahami manfaat vaksinasi.



Encik Ong turut mengongsi bahawa mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka akan dibenarkan memasuki atau singgah melalui Singapura.



Langkah bagi mereka yang datang dari negara seperti Malaysia dan Indonesia juga akan dilonggarkan.




SEKILAS



  • Hanya pekerja divaksinasi penuh atau telah pulih daripada Covid-19 sepanjang 270 hari lalu, boleh kembali ke tempat kerja mulai 1 Januari tahun depan.

  • Vaksin Sinovac-CoronaVac akan disertakan dalam Program Vaksinasi Negara.

  • Wanita hamil berusia bawah usia 35 tahun, divaksinasi dan hamil kurang 26 minggu, boleh jalani Program Pemulihan Rumah.

  • Singapura akan longgarkan sekatan bagi pelawat dari beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), sedang negara-negara itu akan diklasifikasi sebagai negara Kategori III mulai 11.59 malam 26 Oktober.

  • Kebenaran khas diberi kepada mereka yang tidak layak bagi vaksinasi di tempat yang perlukan mereka divaksinasi misalnya pusat beli-belah, jika mereka tidak layak secara perubatan bagi vaksin.


Laporan lanjut: Vaksin Sinovac kini dalam program vaksinasi negara




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >