Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:28
Maghrib
7:14
Isyak
8:25

'Hati-hati agar tidak terlalu amal dasar perlindungan'

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

'Hati-hati agar tidak terlalu amal dasar perlindungan'

PM Lee beri amaran kesan yang boleh bawa kepada pemecahan ekonomi lebih besar ketika berucap dalam Mesyuarat Chogm
Jun 26, 2022 | 05:30 AM

PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, memberi amaran risiko langkah perlindungan dan dasar ekonomi yang boleh membawa kepada pemecahan lebih besar sekiranya negara-negara sedunia hanya mengutamakan keperluan negara atau sekutu sendiri.

Menurut beliau, pandemik Covid-19 telah mendedahkan kelemahan rantaian bekalan sejagat serta menggoyahkan keyakinan terhadap globalisasi.

Berucap di Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (Chogm) berhubung pemulihan pasca-Covid-19, yang diadakan di Kigali, Rwanda kelmarin, beliau berkata buat sementara waktu, bekalan barangan seperti peralatan perlindungan diri, ujian Covid-19 dan juga vaksin telah terganggu.

Disebabkan ini, beberapa pemerintah dan kerajaan telah campur tangan untuk mengatasi kontrak swasta dan operasi biasa pasaran bebas apabila berhadapan dengan kecemasan, tambahnya.

Ini bermakna pembekal tidak dapat memenuhi penghantaran yang dijanjikan - satu pengalaman yang menurut Encik Lee, telah "menggoyahkan keyakinan negara terhadap globalisasi".

"Negara-negara kini lebih menitikberatkan keperluan diri sendiri, beralih dari pengeluaran yang tepat pada masanya kepada langkah berjaga-jaga sekiranya apa-apa berlaku," ujar beliau.

"Tindak balas seumpama itu boleh difahami tetapi kita mesti berhati-hati agar tidak bertindak keterlaluan atau akhirnya mengamalkan dasar perlindungan.

"Ia mustahil bagi mana-mana negara untuk menghasilkan sendiri apa saja yang diperlukannya, dalam apa cara sekalipun."

Encik Lee turut memberi amaran, langkah keterlaluan dalam memindahkan semula perniagaan ke dalam negeri atau ke negara sekutu boleh mengakibatkan perpecahan ekonomi yang kian meningkat.

"Kita tidak seharusnya meninggalkan usaha mencapai kerjasama ekonomi di mana negara dapat meraih manfaat bersama dan saling bergantung. Sebaliknya, kita mesti berusaha ke arah membentuk globalisasi yang lebih berdaya tahan," katanya lagi.

Pada sidang kemuncak dihadiri lebih 50 negara kelmarin, PM Lee juga berkata terdapat keperluan mendesak bagi masyarakat antarabangsa memperdalam kerjasama menjelang pandemik seterusnya.

Ini termasuk bekerjasama untuk meningkatkan kesediaan kesihatan awam dan keupayaan tindak balas di peringkat negara.

Beliau merujuk bagaimana Covid-19 telah menonjolkan jurang dalam cara dunia membri tindak balas terhadap cabaran kesihatan global sedemikian, daripada menjejaki penularan virus itu kepada memberikan sokongan kepada dunia membangun.

"Masih banyak lagi yang perlu kita lakukan bersama untuk meningkatkan kesiapsiagaan pandemik kita, termasuk menyusun semula Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) - antara lain, untuk membangunkan sistem pemantauan antarabangsa yang berkesan untuk mengesan kemunculan serta penularan patogen dan virus baru," katanya.

Encik Lee juga menekankan, penduduk di kebanyakan negara membangun belum divaksin secukupnya terhadap Covid-19.

"Kekangan logistik dan cabaran dalam tindak balas kesihatan awam telah menyukarkan negara-negara ini untuk benar-benar memberikan suntikan ini," tambah beliau.

Encik Lee juga akur bahawa menyelesaikan isu-isu seperti ini mengambil masa bertahun-tahun, tetapi menekankan bahawa kerja harus dimulakan sekarang.

"Oleh itu kita perlu bermula sekarang, untuk membina kapasiti, dan mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk menghadapi pandemik seterusnya. Ini adalah bidang penting untuk kerjasama antarabangsa," ujarnya.

Ini merupakan kali pertama dalam empat tahun Chogm - biasanya sebuah acara dua tahun sekali - dapat diadakan.

Acara itu ditangguh dua kali sebelum ini disebabkan Covid-19 dan kali terakhir diadakan di London pada 2018, yang turut dihadiri Encik Lee.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3