Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Huda Ali muncul pelajar terbaik dan kini bergelar cef

Masuk senarai pengerusi khusus bagi 5 peratus pelajar terbaik dalam kohort dan jadi valediktorian
Dec 27, 2022 | 05:30 AM



BELIAU masih teringat lagi bagaimana peritnya semasa diarah ketua cef untuk membersihkan daging itik.



Bak satu babak 'jenayah' dengan itik berlumuran darah, selebriti Huda Ali perlu menyiang itik itu dengan mengeluarkan segala isi perutnya.



Tetapi ini bukan satu babak drama atau rancangan televisyen yang perlu dilakukan jelitawan itu.



Sebaliknya ia merupakan antara pengalamannya sebagai seorang pelajar diploma dalam bidang seni kulinari di Pusat Latihan dan Pendidikan Persatuan Hotel Singapura (Shatec).



Meskipun perlu melalui pelbagai rintangan mengikuti program itu sepenuh masa sepanjang dua tahun lalu ketika negara dilanda wabak Covid-19, penghujungnya kelihatan begitu manis bagi ibu dua anak ini.



Awal bulan ini, Huda telah menamatkan pengajian dengan meraih dua anugerah berprestij iaitu Anugerah bagi Pelajar Terbaik dan anugerah masuk senarai pengerusi, khusus bagi 5 peratus pelajar terbaik dalam kohort.



Yang lebih membanggakan, Huda yang kini digelar cef, juga merupakan valediktorian dan menyampaikan ucapan semasa majlis penyampaian sijil.



Melahirkan rasa kesyukurannya semasa satu rakaman podcast #NoTapis baru-baru ini, Huda berkata beliau tidak menyangka dapat meraih anugerah pelajar cemerlang dalam kursus itu.



"Semasa di sekolah dulu, tak pernah dapat anugerah jadi tak sangka kali ini saya dapat dua anugerah dan valediktorian lagi!" katanya gembira.



Ini merupakan diploma ketiga Huda pada usia 36 tahun.



Diploma pertamanya adalah diploma antarabangsa dalam pengkomputeran - kursus selama enam bulan - dari institut Informatics.



Satu lagi ialah diploma dalam perhubungan visual di Politeknik Temasek dari 2004 hingga 2007.



Beliau terpanggil untuk mengikuti pengajian di Shatec selepas menjadi hos bagi satu program Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) semasa tempoh pemutus litar.



Perbincangan yang banyak menjurus ke arah mempertingkat diri membulatkan semangat beliau untuk mengikuti kursus tersebut.



Huda atau nama sebenarnya Nurhuda Mohamed Ali yang mula dikenali ramai selepas memenangi rancangan realiti Anugerah Skrin 2006 berkata memang bukan mudah untuk mengikuti pengajian sepenuh masa sambil mengimbangi tugasan kerja dan keluarga.



"Bayangkan pelajar lain semua jauh lebih muda, masih single dan lepasan menengah.



"Jadi daripada segi kesediaan mentaliti, mereka lebih bersedia berbanding dengan saya yang mempunyai banyak tanggungjawab. Tetapi alhamdulillah kalau kita betulkan niat, insya-Allah segalanya dipermudahkan," katanya.



Menurut Huda antara perkara yang paling mencabar sepanjang proses pengajiannya ialah apabila perlu mengangkat periuk besi tuang (cast iron pan) untuk memasak.



"Kuali tu berat sangat sehingga saya perlu menggunakan dua tangan. Sampai mengiggil-gigil nak angkat!" katanya sambil tertawa.



Ada juga masa apabila beliau perlu menjalani sesi bekerja sambil belajar di sebuah restoran Michelin tiga bintang, dan perlu berdiri sepanjang 12 jam lamanya.



Lebih daripada itu, beliau juga pernah mendapati sajian makanan yang perlu disiapkannya tidak memenuhi kehendak ketua cef sehingga makanan itu perlu dibuang dan digantikan dengan yang baru.



"Memang sedih juga apabila kerja keras gitu selama beberapa jam berdiri membuat croustades (sejenis kerak pai) dianggap tidak sempurna dan perlu dibuang.



"Tapi inilah realitinya terutama apabila bekerja di restoran Michelin tiga bintang yang menitikberatkan soal mutu.



"Namun alhamdulillah, lama-kelamaan saya mula belajar dan lebih teliti sehinggakan saya digelarkan sebagai 'Ratu Croustades'!" katanya.



Ditanya sama ada beliau akan memanfaatkan kemahiran barunya itu, Huda berkata buat masa terdekat ini beliau tidak mempunyai pelan untuk membuka tempat makan atau kafenya sendiri.



"Dengan keadaan ekonomi tidak menentu serta kesukaran mencari tenaga kerja, saya akan menangguhkan rancangan itu buat masa ini.



"Tetapi insya-Allah dalam masa terdekat jika ada peluang untuk membuat gerai pop-up, siapa tahu mungkin saya akan sediakan sesuatu," tambahnya.



Memberikan nasihat kepada kaum ibu yang mahu meningkatkan kemahiran, Huda berkata:



"Pasangkan niat, berdoa agar diberikan petunjuk. Insya-Allah dengan kerja keras, kita akan dapat mencapai apa yang kita inginkan."




"Semasa di sekolah dulu, tak pernah dapat anugerah jadi tak sangka kali ini saya dapat dua anugerah dan valediktorian lagi!
Pasangkan niat, berdoa agar diberikan petunjuk. Insya-Allah dengan kerja keras, kita akan dapat mencapai apa yang kita inginkan."
- Huda Ali, penerima Anugerah bagi Pelajar Terbaik dan masuk senarai pengerusi, khusus bagi 5 peratus pelajar terbaik dalam kohort.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >