Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Huraian bekalan kereta sewa privet perlu pertimbangan teliti

Oct 01, 2023 | 05:32 AM



Sudah 30 minit Cik Nadia Azman menunggu.

Waktu di jam tangannya menunjukkan 9.25 pagi dan Cik Nadia, 30 tahun, hanya mempunyai masa sekitar setengah jam untuk sampai ke pejabatnya bagi mesyuarat yang akan bermula pada 10 pagi.

Sejak 9 pagi, beliau sudah cuba menempah khidmat kereta sewa privet (PHV) melalui aplikasi platform, namun malangnya belum berhasil.

Cik Nadia tahu beliau pasti lewat ke pejabat pada hari itu.

Ramai yang mungkin pernah menghadapi situasi seperti yang dialami Cik Nadia.

Bahkan, beberapa individu berkongsi dengan Berita Minggu (BM) bahawa mereka kadangkala sukar mendapatkan khidmat PHV, tidak kira pada waktu sibuk pagi mahupun di luar waktu sibuk.


Baru-baru ini, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkongsi perangkaan bahawa jumlah perjalanan setiap hari secara purata – merangkumi kedua-dua khidmat teksi dan kereta sewa privet lain – telah meningkat sebanyak 18.6 peratus daripada 517,000 pada 2020 kepada 613,000 pada Julai 2023.

Ini bermakna permintaan bagi teksi dan khidmat PHV sudah bertambah, terutama dengan lebih ramai orang kembali ke pejabat dan melakukan kegiatan harian seperti biasa selepas pandemik Covid-19.

Namun, timbul persoalan sama ada situasi ini menunjukkan bekalan pemandu PHV di jalan raya tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan penumpang yang meningkat, atau terdapat sebab-sebab tertentu pemandu ‘lesap’ di jalan raya.

PELBAGAI FAKTOR SUKAR DAPAT PHV

Untuk mencari jawapan, BM telah mendekati beberapa pemandu PHV untuk lebih memahami keadaan dan cabaran mereka ketika bekerja.

Cik Radiah Sumadi, pemandu PHV dengan Grab, berkongsi bahawa tidak semua individu bekerja sebagai pemandu PHV sepenuh masa dan terdapat ramai yang melakukan pekerjaan ekonomi gig itu secara sambilan.

“Ada yang hanya memandu bagi platform khidmat PHV di hujung hari setelah selesai pekerjaan sepenuh masa mereka pada siang hari dan ada yang memandu pada hujung minggu apabila mereka tidak bekerja,” kata Cik Radiah, 34 tahun.

Namun, rata-rata pemandu menonjolkan satu isu yang menjadi rungutan – harga tambang terlalu rendah yang membuat mereka bersikap lebih memilih menerima tugasan.

Encik Isham Salim, 51 tahun, pemandu dengan TADA, berkata harga tambang yang terlalu rendah telah membuat beberapa pemandu mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Pemandu tidak akan mengambil tempahan yang tambangnya terlalu rendah… Masalahnya sekarang terdapat banyak pengendali PHV dalam pasaran. Wadah masing-masing mahu menarik lebih ramai pelanggan untuk menggunakan aplikasi mereka, jadi mereka turunkan harga tambang. Mereka berjaya menarik pelanggan, tetapi pemandu terjejas,” ujar beliau.

Presiden Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), Encik Azan Salleh, berkata harga tambang yang rendah adalah isu keprihatinan yang sering diutarakan para pemandu.

“Sekarang ada lebih banyak syarikat platform tetapi harga tambang semakin rendah dan ini satu keprihatinan semua pemandu kerana harga tambang dikawal oleh syarikat platform,” kata beliau.

Profesor Madya Walter Theseira, pakar ekonomi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata masalah asasnya adalah pendapatan keseluruhan tidak cukup tinggi untuk mendorong penyediaan bekalan PHV yang lebih besar pada waktu sibuk.

Beliau berkata bekalan teksi dan PHV di jalan raya mungkin meningkat jika tambang semasa waktu sibuk naik lebih tinggi, tetapi kemungkinan besar, bekalan kenderaan tersebut sudah pun berada di tahap tinggi semasa waktu sibuk, terutamanya untuk pemandu profesional.

“Saya rasa masalahnya lebih kepada bagaimana memastikan pendapatan keseluruhan pemandu cukup baik untuk mendorong lebih banyak bekalan, yang bermakna tambang dan pendapatan di luar waktu sibuk juga perlu meningkat,” kata beliau.

“Meskipun penumpang mungkin marah, mereka harus ingat bahawa jika mereka bekerja sebagai peniaga bebas, contohnya memilih kontrak atau projek, mereka akan pilih berdasarkan harga.

“Oleh itu, jika mereka mahu menggalak lebih ramai pemandu meredah trafik waktu sibuk, pastikan mereka bekerja semasa waktu sibuk dan sebagainya, harga tambang perlu menyokongnya,” tambah beliau.

Penganalisis pengangkutan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Penolong Profesor Dr Terence Fan, pula berkata dengan perkhidmatan kereta sewa privet, pemandu tidak diwajibkan menyediakan khidmat sepanjang masa.

Sesebuah syarikat platform itu boleh mendaftarkan tambahan 10 pemandu, namun mungkin tiada satu pun yang boleh menyediakan perkhidmatan semasa waktu sibuk, kata beliau.

“Oleh itu, adalah lebih sukar untuk menyelaraskan bekalan pemandu secara masa nyata dalam industri sewa privet dengan permintaan berbanding teksi.

“Jika kita boleh dapatkan 10 pemandu menjadi pemandu teksi sepenuh masa, kami pasti boleh dapatkan sekurang-kurangnya separuh daripada mereka, katakan lima orang, untuk memandu sebahagian waktu sibuk,” kata beliau, sambil menambah terdapat kemerosotan ketara dalam bekalan teksi sejak beberapa tahun lalu.

Perangkaan LTA menunjukkan terdapat sekitar 63,000 pemandu yang aktif dalam sektor perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) dalam separuh pertama 2023 – 15 peratus lebih tinggi berbanding suku terakhir 2022.

Jumlah pemandu teksi yang aktif kekal mantap pada 21,000 pemandu, manakala jumlah pemandu PHV telah naik lebih 15 peratus kepada sekitar 42,000 orang.

Namun, jumlah perjalanan setiap hari secara purata dalam sektor itu juga telah meningkat daripada sekitar 582,000 perjalanan setiap hari pada 2022 kepada 613,000 pada Julai 2023, yang menunjukkan terdapat permintaan lebih tinggi daripada pengguna.

APA YANG DILAKUKAN SYARIKAT PLATFORM

Sedang kegiatan harian kembali seperti biasa selepas Covid-19, jurucakap TADA berkata bekalan dalam sektor P2P juga akan bertambah baik dengan masa.

“Dengan permintaan yang merosot bagi perkhidmatan P2P semasa pandemik Covid-19, sesetengah pemandu mungkin telah memilih untuk meninggalkan industri.

“Bagaimanapun, dengan pelancong kembali ke sini dan kegiatan ekonomi kembali selepas Covid-19, ia dijangkakan bahawa dengan masa, bekalan akan secara perlahan-lahan menjadi selaras dengan permintaan untuk perkhidmatan P2P,” kata beliau.

Dalam usaha menangani isu kekurangan pemandu, Grab telah mengambil beberapa langkah, termasuk merekrut lebih ramai pemandu dan memperkenalkan ciri-ciri baru supaya pemandu dapat memanfaatkan masa dengan terbaik ketika di jalan raya, kata jurucakapnya.

Ini termasuk ciri navigasi ‘hotspot’ yang memaklumkan pemandu tentang kawasan dengan permintaan tinggi berdasarkan data masa nyata.

Terdapat juga ciri ‘zon’, iaitu kawasan geografi ditentukan di mana pemandu boleh memilih untuk bekerja dalam tempoh masa yang tetap agar mereka boleh melakukan lebih banyak perjalanan setiap jam dengan jarak perjalanan lebih pendek.

“Usaha mempertingkat produktiviti pemandu adalah tumpuan utama kami tahun ini, dan kami telah melabur dalam teknologi dan sumber untuk menyediakan alat-alat kepada pemandu kami yang membantu mereka mempertingkat peluang meraih pendapatan dan mengurangkan masa terbiar ketika mereka aktif,” kata jurucakap Grab.

Gojek pula berkata mereka mempunyai pelbagai inisiatif untuk menyokong dan menggalak pemandu menyertai dan kekal bersama platform mereka, sementara menyediakan pendapatan stabil dan berdaya saing yang kurang bergantung pada insentif.

Ini termasuk melanjutkan ‘Bayaran Pemandu’ sehingga 30 Jun 2024 dan mempertingkat ganjaran yang diberi melalui GoalBetter, iaitu program yang memberi faedah kepada pemandu mereka.

Jurucakap Gojek menambah pihaknya juga sedang bekerjasama dengan pemerintah dan pihak berkepentingan untuk meneroka peluang memperluas kumpulan pemandu sedia ada dan mengurangkan halangan kepada kemasukan untuk mereka yang ingin memohon bagi Lesen Vokasional Kereta Sewa Privet (PDVL).

Ini seperti menggalak pihak berkepentingan mempertimbang langkah memperkenalkan kategori Sijil Hak Memiliki (COE) Kenderaan baru dan melanjutkan kriteria kelayakan bagi pemegang PDVL.

HARUS ADA PERATURAN ATAU TIDAK?

Baru-baru ini, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan ia sedang menyemak cara pengendali teksi dan khidmat kereta sewa privet menjalankan perniagaan, termasuk ketersediaan kenderaan.

Para penganalisis berkata industri khidmat kereta sewa privet pada dasarnya adalah ekonomi gig yang menawarkan fleksibiliti kepada individu yang bekerja sendiri untuk menentukan sendiri cara mereka bekerja.

Dr Theseira berkata dasar-dasar harus menerima hakikat bahawa pemandu khidmat PHV adalah pekerja bebas dan mereka tidak terikat kepada waktu kerja yang ditetapkan dan peraturan yang dikenakan majikan seperti seorang pekerja biasa.

Beliau menambah bahawa huraian yang mengenakan standard perkhidmatan minimum ke atas industri pada asasnya tidak adil kepada pemandu kerana ia serupa memaksa kerja buruh ke atas pemandu tanpa pampasan adil.

“Huraian sedemikian boleh dijalankan jika pemandu adalah pekerja seperti pemandu bas, tetapi ia tidak masuk akal dalam konteks di mana pemandu adalah pekerja bebas.

“Sebaliknya, penting untuk memahami jika pendapatan keseluruhan adalah mencukupi untuk menarik lebih banyak bekalan ke dalam industri, dan sama ada pendapatan semasa waktu sibuk khususnya cukup baik untuk mengimbangi kos tambahan dan risiko memandu semasa waktu sibuk,” kata beliau.

Cik Yeo Wan Ling, penasihat Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA) dan NPHVA, dalam satu kenyataan berkata para pemandu telah mengimbangi peningkatan berterusan dalam kos perniagaan, terutama dengan kenaikan bahan api dan sewa kenderaan, dan melakukan waktu memandu yang lebih lama selepas pandemik untuk mata pencarian mereka.

Selain itu, beberapa anjakan dalam sektor P2P, seperti profil pemandu yang semakin menua, dan penyatuan model perniagaan khidmat sewa privet dan menahan teksi di tepi jalan, memerlukan tinjauan semula ke dalam pembangunan jangka panjang sektor itu.

“NTA dan NPHVA berharap dapat bekerja rapat dengan rakan tiga pihak dalam menyemak struktur industri P2P dan rangka kerja kawal selia untuk memberi jaminan kepada mata pencarian dan kesejahteraan pemandu kami sementara memastikan keseimbangan ketersediaan, daya tahan dan keterangkuman khidmat teksi dan kenderaan sewa privet,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >