Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

OMBAK GELORA bukan halangan

Ibu muda cekal semangat walau mulanya dapat tentangan keluarga

Sep 16, 2019 | 05:30 AM



Seramai 60 pelajar cemerlang telah menerima biasiswa maritim bernilai $2.3 juta, yang dianugerahkan oleh Biasisiswa MaritimeOne dan Biasiswa Maritim Tiga Pihak (TMSS) dalam satu majlis khas baru-baru ini. Biasiswa itu disampaikan oleh Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA), perniagaan maritime, kesatuan sekerja setempat dan Politeknik Singapura (SP). Wartawan ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg) telah mewawancara dua penerima biasiswa ini. Ikuti laporan berikut.



APABILA Cik Ainul Fasha Amran mendaftar untuk belajar dalam kursus kejuruteraan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), hasratnya mendapat tentangan hebat daripada keluarganya.



Ini kerana keluarganya berpandangan kaum Hawa tidak sesuai bekerja dalam bidang teknikal atau kejuruteraan.



Tetapi ini tidak mematahkan semangat Cik Ainul, 27 tahun, untuk mencapai impiannya menjadi seorang jurutera marin walaupun laluan yang dipilihnya lebih lama dan tidak konvensional.



Apabila kelulusan Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'A' beliau tidak cukup untuk menyertai sebarang kursus kejuruteraan di universiti, beiau memasuki kursus sambilan Higher Nitec dalam Rekaan Kejuruteraan Marin dan Teknologi Lepas Pantai.



Beliau kemudian melanjutkan pengajiannya ke Politeknik Ngee Ann dalam kursus diploma dalam kejuruteraan (marin).



Segala pengorbanannya akhirnya membuahkan hasil - kini pelajar tahun kedua dalam jurusan kejuruteraan dalam reka bentuk kapal, di bawah Institut Teknologi Singapura (SIT)-Universiti Newcastle itu dipilih menjadi antara penerima biasiswa Sembcorp Marine - MaritimeONE.



Menceritakan lebih lanjut, ibu seorang anak itu berkata:



"Sebenarnya saya tidak pernah terlintas menceburi bidang kejuruteraan. Saya lebih cenderung kepada bidang perbankan, perniagaan atau perakaunan sebab saya suka matematik.



"Namun selepas mendapat keputusan GCE 'A' dan saya tidak boleh memasuki kursus dalam bidang-bidang itu, saya bertugas di sebuah syarikat kejuruteraan.



"Apabila mula terdedah dengan industri ini, saya menjadi sangat tertarik dan ini mendorong minat saya untuk menerokai bidang kejuruteraan."



Oleh kerana Cik Ainul perlu terus bekerja pada masa itu, maka beliau memutuskan memohon masuk ke program kejuruteraan sambilan Higher Nitec.



Sedang beliau melihat ia satu peluang yang baik untuk memulakan pengajiannya dalam bidang itu, keluarganya berpandangan sebaliknya.



"Keluarga saya menentang apabila saya beritahu mereka saya bercadang hendak belajar di ITE.



"Mereka masih agak konservatif dan berkata kejuruteraan tidak sesuai untuk orang perempuan dan tidak boleh terima saya masuk ITE sedangkan saya pelajar peringkat GCE 'A'.



"Mereka agak marah dan kecewa hingga tidak berbual dengan saya.



"Hanya apabila saya menjalani program diploma sambilan dan mencapai keputusan yang baik, baru mereka mula menyokong cita-cita saya," ceritanya, yang pernah menerima Biasiswa Lee Kuan Yew bagi Menggalak Peningkatan tahun lalu di politeknik.



Perjalanan yang direntasi tentunya tidak mudah, apatah lagi perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai seorang pekerja semasa belajar sambilan, seorang isteri dan juga ibu.



Cik Ainul yang hanya berhenti kerja selepas memasuki universiti berkata apa yang membakar semangatnya hari ini adalah anak perempuannya.



"Saya mahu menjadi inspirasi kepada anak saya dan membuktikan bahawa pembelajaran itu tidak perlu berhenti, walaupun anda gagal dalam sesuatu, ia bukanlah pengakhirnya.



"Ada banyak cara untuk kita belajar dan mencapai impian kita," tegas beliau.



Cik Ainul yang minat dalam reka bentuk kapal, amat optimis tentang prospek industri maritim.



"Sektor maritim di Singapura dibina sejak berdekad lalu hingga kita menjadi hab yang dikenali dan lebih banyak lagi perkembangan menarik boleh dijangkakan pada masa depan.



"Dengan cabaran seperti teknologi dan pasaran lain, ia bermakna kita harus terus kekalkan daya saing kita sekali gus menjadikan ia sektor yang rancak sekali," tambahnya.




Saya mahu menjadi inspirasi kepada anak saya dan membuktikan bahawa pembelajaran itu tidak perlu berhenti, walaupun anda gagal dalam sesuatu, ia bukanlah pengakhirnya. Ada banyak cara untuk kita belajar dan mencapai impian kita.
- Cik Ainul Fasha Amran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >