Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Ikhtiar lindungi rakan penduduk dari jangkitan Covid-19

Gembleng tenaga relawan sama-sama bersihkan taman permainan kanak-kanak, tempat duduk awam semasa tahap awal pandemik dua tahun lalu; usaha diiktiraf PM Lee di Rapat Hari Kebangsaan
Aug 26, 2022 | 05:30 AM



TATKALA pandemik Covid-19 mula melanda Singapura pada 2020, ramai yang rasa bimbang dan takut akan keselamatan dan kesihatan mereka, lebih-lebih lagi kerana tidak banyak yang diketahui mengenai virus itu pada ketika itu.



Namun, perkara ini tidak sedikit pun menggoyahkan semangat Encik Muhammad Razali Puasa yang telah mengambil inisiatif untuk melindungi jiran tetangganya dengan membersihkan sendiri taman permainan dan tempat interaksi umum di bloknya, seperti kerusi dan meja di kolong blok.



"Pada waktu itu, kami tidak begitu pasti betapa teruk pandemik yang melanda kerana masih lagi dalam tahap awal. Singapura pada ketika itu juga belum ada langkah pengurusan keselamatan, dan tempat umum seperti taman permainan dan tempat duduk tidak ditutup.



"Jiran tetangga saya semua bimbang tentang kebersihan dan keselamatan. Oleh itu, saya memutuskan untuk membersihkan tempat awam yang digunakan jiran tetangga supaya kami semua rasa selamat dan tidak perlu bimbang dijangkiti Covid-19.



"Ia satu langkah berjaga-jaga demi memastikan keselamatan," kata guru sekolah menengah berusia 41 tahun yang tinggal di Toa Payoh itu.



Usaha murni Encik Razali itu diketengahkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, semasa Rapat Hari Kebangsaan baru-baru ini.



Encik Razali, yang merupakan anggota Rangkaian Penduduk (RN) Toa Payoh East Zon 4 dan Majlis Integrasi Persatuan Rakyat (PA), menceritakan bahawa usaha itu dimulakan bersama sekumpulan rakan relawan, dan ia kemudian berkembang menjadi projek yang melibatkan tiga hingga empat RN lain dan juga lebih ramai penduduk.



Pada mulanya, mereka menggunakan wang sendiri untuk membeli peralatan seperti kain lap dan bahan pembersihan, namun kemudian mendapat sokongan dari kelab masyarakat yang membantu membiayai projek tersebut.



Encik Razali berkata biasanya kawasan umum di mana penduduk berinteraksi biasanya dibersihkan oleh pekerja pembersihan Majlis Bandaran, namun disebabkan Covid-19, tugas harian pembersihan mereka semakin bertambah dan ini membuat pekerja tersebut rasa lebih letih.



Dengan menggembleng tenaga relawan dan penduduk, Encik Razali berkata mereka sama-sama dapat memikul tanggungjawab dalam menjaga keselamatan masyarakat di samping menghidupkan semangat gotong-royong.



"Kami ada juga rasa takut tetapi sekurang-kurangnya, dengan membersihkan kawasan umum di mana penduduk kerap berkumpul, kami dapat lakukan sedikit intervensi dan mengurangkan risiko virus menular.



"Kami juga letakkan sanitiser di dalam lif. Kami tidak begitu pasti apa yang seharusnya dilakukan pada ketika itu, namun kami cuba sedaya upaya untuk mengurangkan penularan virus," kata bapa tiga anak itu.



Dalam Rapat Hari Kebangsaan baru-baru ini, Encik Lee mengumumkan Pingat Ketahanan Covid-19 yang akan dianugerahkan kepada kedua-duanya individu serta pasukan yang telah berusaha untuk memerangi wabak itu.



Ini sebagai usaha untuk mengiktirafkan pengorbanan dan semangat awam yang terlibat secara langsung dalam usaha negara memerangi Covid-19.



Encik Razali berkata anugerah itu satu langkah baik untuk mengiktiraf individu yang telah memainkan peranan mereka untuk menyumbang tenaga dan usaha dalam memerangi pandemik itu.



"Saya mengalu-alukan anugerah ini, namun pada akhirnya, apa yang penting adalah semangat warga Singapura yang bersatu padu untuk memerangi Covid-19 dan melalui masa sukar ini bersama," kata beliau.




PERBUATAN YANG BAWA PERBEZAAN KEPADA PENDUDUK LAIN DAPAT PUJIAN PM LEE



"Taman permainan dekat blok beliau amat popular dengan kanak-kanak. Namun, beliau melihat bahawa semua orang takutkan Covid-19. Oleh itu, beliau memutuskan untuk mengelap dan menyahjangkit taman permainan itu untuk meyakinkan keluarga bahawa ia bersih dan selamat untuk anak-anak mereka bermain. Ia satu perbuatan mudah, yang membuat perbezaan kepada masyarakat."



- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang memuji usaha penduduk Toa Payoh, Encik Muhammad Razali Puasa, dalam Rapat Hari Kebangsaan baru-baru ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >