Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Indonesia tinjau kemungkinan bangun ladang di Batam untuk eksport ayam segar ke S'pura

Jul 21, 2022 | 04:54 PM



SEBUAH ladang baru bagi membekalkan ayam segar kepada Singapura mungkin akan beroperasi di Batam jika permintaan bagi bekalan ayam beku dari Singapura menggalakkan.



Duta Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo, menjelaskan demikian pada pagi Khamis (21 Julai), di kemudahan Leong Hup Distributan di Fishery Port Road, di mana bekalan pertama ayam beku dari Indonesia tiba Ahad lalu.



Encik Suryo menambah beliau menjangkakan sejumlah 1,000 tan ayam dijadualkan tiba di Singapura menjelang penghujung tahun.



Merujuk pada bekalan pertama yang dikirimkan, Encik Suryo berkata: "Ini adalah konsainan yang datang dari Jakarta dan kita harus lihat (saiz) permintaan dari Singapura.



"Saya telah pun berbincang dengan beberapa penternak di Indonesia dan mereka merancang membangunkan ladang di Batam."



Beliau juga menambah syarikat Indonesia berharap dapat mengenal pasti permintaannya menjelang tahun depan agar mereka dapat menentukan saiz ladang di Batam itu.



"Jika kita dapat membangunkan ladang di Batam, takkan makan masa lama untuk membekal ayam hidup ke Singapura," katanya.



Ketua pengarah penternakan haiwan dan kesihatan di Kementerian Pertanian Indonesia, Dr Nasrullah, memberitahu akhbar The Straits Times bulan lalu bahawa pasukan daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) telah ke Indonesia pada 14 Jun untuk meninjau beberapa ladang, pusat penyembelihan, kemudahan memproses dan aspek relevan lain.



Sebelum ini, Indonesia cuma mengeksport telur asin sejumlah 50,000 biji setiap bulan.



Akhbar The Straits Times difahamkan bahawa kumpulan pertama ayam beku telah pun habis dijual, dengan gerai nasi ayam merupakan pelanggan utamanya.



Bekalan selanjutnya dijadualkan tiba pada minggu-minggu mendatang.



Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, yang berada di kemudahan Leong Hup Distribution, berkata pihak berkuasa sedang memantau permintaan bagi ayam beku dari Indonesia dan akan menambah bekalan yang diimport jika permintaannya positif.



Pengarah perolehan di Leong Hup Distribution, Encik Alfred Leek, berkata ayam beku dari Indonesia berbeza daripada ayam yang pihaknya perolehi dari Amerika Syarikat, Thailand, Brazil dan Argentina.



Menurut Encik Leek, ayam beku dari Indonesia mempunyai berat sekitar 2 hingga 2.3 kilogram manakala ayam dari negara lain itu seberat sekitar 1.5 hingga 1.6 kilogram.



Beliau juga menambah ia mengambil masa antara 30 hingga 60 hari untuk daging ayam ini sampai dari Amerika Syarikat, Brazil dan Argentina manakala ayam dari Indonesia mengambil masa hanya tiga hari untuk sampai ke sini.



"Ini adalah kali pertama kami membawa masuk ayam dengan kepala dan kakinya masih ada. Justeru, industri ini kini mempunyai pilihan baru. Ia juga memberi pelanggan satu lagi pilihan seandainya ada gangguan bekalan.



"Daripada sentimen orang ramai yang kami perolehi sejauh ini, kami benar-benar yakin ayam beku dari Indonesia akan diterima dengan baik," jelas Encik Leek.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >