Isteri Ustaz TM Fouzy meninggal dunia
Isteri Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat telah meninggal dunia, kurang sehari selepas suaminya berangkat ke Arab Saudi dengan sekumpulan jemaah haji.
Ustazah Latifah Harun meninggal dunia pada pagi Selasa (30 Julai), menurut pos di laman Facebook Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas)
Menurut pos itu, Ustazah Latifah ialah seorang bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
“Pergas ingin menyampaikan rasa simpati dan takziah kepada keluarga beliau,” kata Pergas dalam pos itu.
Beberapa pengikut pasangan asatizah itu, serta warga Internet juga menerbitkan ucapan takziah di Facebook.
Difahami, jenazah akan dibawa dari hospital ke rumahnya di Lorong Chuan, sebelum dibawa ke Masjid Sultan untuk solat jenazah sekitar waktu Zuhur.
Ustaz Fouzy, yang lebih dikenali sebagai Ustaz TM Fouzy, antara tokoh agama yang paling dikenali di Singapura. Beliau juga memiliki syarikat TM Fouzy Travel & Tours yang menawarkan pakej haji dan umrah.