Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jambatan baru di Upper Bukit Timah Road jelang 2026

Bakal manfaat hidupan liar, pejalan kaki menyeberang antara Hutan Simpanan Bukit Timah dengan Kawasan Tadahan Air Barat melalui Taman Semula Jadi Bukit Batok
Jun 12, 2023 | 05:30 AM



SEBUAH jambatan baru akan dibina merentasi Upper Bukit Timah Road menjelang 2026, membolehkan kedua-dua hidupan liar dan pejalan kaki menyeberangi antara Hutan Simpanan Bukit Timah dengan Kawasan Tadahan Air Barat melalui Taman Semula Jadi Bukit Batok.

Jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan seluruh negara untuk menghubungkan ruang hijau di Singapura dengan empat koridor ekologi baru yang dikenal pasti, yang menghubungkan habitat utama negara ini antara satu sama lain.

Beberapa haiwan telah dikesan melintasi kawasan Upper Bukit Timah Road, hingga pernah mengakibatkan kemalangan dengan kenderaan, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) sebelum ini.

‘Jambatan eko-pejalan kaki’ ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kemalangan sebegini, sekali gus memudahkan pergerakan yang lebih selamat buat spesies asli di antara ruang hijau selain membolehkan mereka mengembangkan habitat mereka.

Jambatan baru ini telah diumumkan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, sewaktu Pesta Biodiversiti yang diadakan di Heartbeat@Bedok baru-baru ini.

Hutan Simpanan Bukit Timah dan Taman Semula Jadi Bukit Batok secara bersama menempatkan lebih 1,250 spesies tumbuhan dan lebih 1,800 spesies haiwan, kata Encik Lee.

Hutan Simpanan Bukit Timah menjadi tempat tinggal sebilangan besar spesies asli Singapura, termasuk 84 peratus daripada spesies amfibia negara ini, 59 peratus daripada spesies reptilia dan 56 peratus daripada spesies mamalia.

Jambatan baru itu akan dibina menyusuli kejayaan jambatan Penghubung Eko@BKE yang menghubungkan hutan alam semula jadi di Bukit Timah dan Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.

Siap dibina pada 2013, Penghubung Eko@BKE membolehkan hidupan liar menyeberangi antara dua hutan simpanan yang dipisahkan oleh pembinaan Ekspreswe Bukit Timah (BKE) pada 1986.

“Selama bertahun-tahun, Penghubung Eko@BKE telah menyediakan laluan selamat kepada sekitar 100 spesies fauna, termasuk spesies rama-rama terancam dan tenggiling Sunda yang terancam,” kata Encik Lee.

Jambatan itu sendiri juga telah menjadi habitat kepada banyak spesies yang menjadikan hutan tebal di kawasan itu sebagai tempat tinggal mereka, tambah beliau.

Pada 2022, Kumpulan Hidupan Liar Mandai berkata lebih daripada 70 spesies haiwan – termasuk rusa sambar yang jarang ditemui – telah dikesan menggunakan Jambatan Hidupan Liar Mandai, yang telah siap pada 2019 untuk membolehkan hidupan liar menyeberangi laluan Mandai Lake Road dengan selamat.

Encik Lee berkata bahawa satu penyelidikan seluruh negara telah dilakukan tahun lalu bagi membantu memahami dengan lebih mendalam profil ekologi ruang hijau di sini dan peranan mereka dalam mengukuhkan ketersambungan alam semula jadi.

“Penemuan itu membantu kami mewujudkan koridor ekologi baru di antara ruang ini, yang seterusnya menyediakan batu loncatan tambahan untuk alam semula jadi merentasi negara kami,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa langkah-langkah seperti jambatan bertali aerial dan pembetung bawah tanah – struktur yang membolehkan air mengalir di bawah jalan raya, landasan kereta api atau denai – telah diperkenalkan, menghubungkan habitat utama di sekitar Taman Semula Jadi Thomson dan Taman Semula Jadi Rifle Range.

Di kawasan di mana agak sukar untuk memudahkan lintasan hidupan liar seperti Penghubung Eko@BKE, NParks telah memperkenalkan langkah seperti memasang pagar atau memagari kawasan dengan pohon kecil atau hedge planting untuk mengalihkan hidupan liar dari jalan raya, kata Encik Lee.


Pada April lalu, kebanyakan kerja memasang pagar telah disiapkan di sepanjang jalan keluar Mandai Road di BKE, di mana haiwan seperti tenggiling Sunda dan babi hutan telah dilihat melintas jalan untuk ke hutan berhampiran.

Pohon kecil akan ditanam sepanjang pagar tersebut yang berfungsi sebagai penghalang visual semula jadi bagi mencegah hidupan liar menjejak ke jalan raya, kata NParks.

Menerusi kerjasama dengan badan-badan setempat seperti Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres), Conservational International, Persatuan Herpetologi Singapura, Institusi Jane Goodall, Mandai Wildlife Group, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Persatuan Alam Semula Jadi (Singapura), lima lagi tempat yang sering digunakan spesies setempat ini untuk menyeberangi jalan raya telah dikenal pasti.

Kawasan ini adalah susur keluar Bukit Panjang dan Dairy Farm Road di BKE, dan kawasan di Upper Bukit Timah Road, Old Mandai Road dan Sembawang Road.

“NParks akan memantau keberkesanan langkah-langkah mitigasi ini di susur keluar Mandai Road dan menggunakan penemuan itu sebagai panduan bagi pelancaran di lima tempat lain yang sering digunakan selain melaraskan serta menambah baik langkah-langkah yang perlu,” kata NParks.

Ia juga bekerjasama rapat dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk memasang papan tanda bagi mengingatkan pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan dan berwaspada terhadap haiwan yang melintas.

“Langkah-langkah ini membantu memastikan keselamatan pemandu dan hidupan liar kita,” kata Encik Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >