MAHKAMAH keluarga telah mengarahkan Pejabat Penjaga Awam (OPG) untuk melantik seorang pakar perubatan bagi memeriksa tahap kesihatan mental seorang janda kaya.
Ini bagi membantu mahkamah membuat keputusan sekiranya janda kaya itu, Cik Chung Khin Chun, 87 tahun, mempunyai keupayaan untuk membatalkan Surat Kuasa Wakil Kekal (LPA) yang diberikan kepada Encik Yang Yin, seorang bekas pemandu pelancong di China pada 2012.
Arahan itu merupakan perkembangan terkini tentang kes yang melibatkan Encik Yang dan Cik Hedy Mok, anak saudara Cik Chung.
Encik Yang, 40 tahun, dan isterinya, Cik Weng Yandan, didakwa mengabaikan tugas mereka untuk menjaga Cik Chung setelah Encik Yang diberikan kuasa ke atas aset Cik Chung yang bernilai kira-kira $40 juta.
Encik Yang yang berkawan dengan Cik Chung dan bertindak sebagai pemandu pelancong peribadinya ketika beliau melancong ke Beijing pada 2008, telah tinggal bersamanya pada 2009 di banglo beliau yang terletak di Yio Chu Kang Road dan bernilai $30 juta.
Isteri Encik Yang dan kedua-dua anaknya, yang berumur dua tahun dan lapan tahun, berpindah ke banglo tersebut tahun lalu.
Jumaat lalu, Mahkamah Keluarga telah menggantung buat sementara kuasa sah Encik Yang di bawah LPA yang diberikan kepadanya pada 2012 oleh janda itu.