Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jaya genggam ijazah walau belajar di koridor flat sewa

Guru prasekolah tekad ubah nasib diri, gapai kehidupan lebih baik buat keluarga
Oct 22, 2023 | 05:30 AM



Selama empat tahun, koridor flat sewa Cik Nur Friday di Punggol menjadi tempat beliau mengulang kaji pelajarannya semasa menuntut di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Flat sewa dua bilik yang didiami beliau bersama ibu dan empat adik-beradiknya tidak kondusif untuk beliau belajar. Beliau, ibu dan dua adik-beradik perempuannya berkongsi bilik tidur, sementara dua adik-beradik lelakinya tidur di ruang tamu.

“Kami hanya mempunyai sebuah meja kecil dan lampu kecil di dalam bilik. Saya dan kakak saya gunakannya secara bergilir-gilir apabila kami perlu belajar.

“Kadangkala, kami bergaduh kerana berebut meja itu,” cerita Cik Nur Friday, 30 tahun.

Dek keadaan serba kekurangan itu dan tiada tempat lain, beliau kerap terpaksa belajar di koridor.

Cik Nur Friday pernah menikmati kehidupan lebih baik, di flat HDB lima bilik dan bukan di flat sewa awam.

Nasib keluarganya mula berubah setelah ayahnya meninggal dunia pada 2000, ketika Cik Nur Friday berusia tujuh tahun. Ibunya terpaksa menjual flat lima bilik itu dan berpindah ke sebuah flat tiga bilik.

Bak sudah jatuh ditimpa tangga, keluarganya terpaksa berpindah pula ke flat sewa pada 2018 dek hutang rumah bertimbun dan tidak dapat dilunaskan.


“Pada masa itu, keadaan kewangan keluarga kami amat terjejas. Ibu saya lewat membayar hutang rumah dan faedah semakin meningkat. Ibu saya tidak mampu membayar.

“Dahulu, ayah yang menguruskan semua aspek kewangan rumah kami. Pemergian ayah meninggalkan kesan yang besar ke atas ibu dan beliau tidak tahu siapa yang boleh membantu. Oleh itu, kami memutuskan untuk berpindah ke flat sewa,” kata Cik Nur Friday.

Berbekalkan semangat hendak mengubah nasib dan menggapai kehidupan lebih baik buat keluarganya, Cik Nur Friday memutuskan melanjutkan pelajaran untuk mendapatkan ijazah pendidikan prasekolah di SUSS. Sebelum itu beliau menjadi guru prasekolah sambilan.

“Saya masih ingat masa itu. Saya baru sahaja mula universiti. Semasa kami pindah ke flat sewa, saya memohon biasiswa agar pembelajaran saya dapat dibiayai.

“Ibu sentiasa menggalak kami melanjutkan pelajaran kerana beliau berasa menerusi pendidikan, kami boleh memperkasakan diri dan keluar daripada jerat kemiskinan,” katanya.

Cik Nur Friday berjaya mendapat biasiswa Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) yang membiayai kos pembelajaran sepenuhnya. Beliau juga mendapat elaun bulanan dan geran bagi membeli laptop untuk mengikuti kursus tersebut.

Ketika ditanya Berita Harian mengapa beliau memilih SUSS, Cik Nur Friday berkata universiti itu memberinya pengalaman yang unik.


“Ia mempunyai konsep pembelajaran yang terbuka. Saya bukan sekadar duduk dan mendengar, tetapi juga dapat berbincang, bertanya dan mendapatkan pandangan daripada rakan sekelas saya.

“Kami juga dapat belajar modul lain di luar bidang kami, seperti kecerdasan buatan (AI), yang banyak membantu saya dalam menyiapkan tugasan saya sebagai seorang guru,” kata Cik Nur Friday.

Dek yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, Cik Nur Friday bekerja keras dan berkorban memburu ijazah demi mempertingkat diri dan keluarganya.


Berkat usaha lebih empat tahun itu, beliau menggenggam ijazah SUSS semasa konvokesyennya pada 10 Oktober.

Malah, sebelum ijazah di tangan, pada Mac beliau mendapat pekerjaan baru sebagai guru prasekolah sepenuh masa bersama Etonhouse.

Kini, keluarga Cik Nur Friday tidak lagi tinggal di flat sewa. Pada 2022, mereka berpindah ke flat HDB yang dibeli di bawah skim Jualan Baki Flat (SBF).

Pada tahun itu juga, beliau mendirikan rumah tangga dan kini tinggal bersama keluarga suaminya, Encik Hilsaan Yong, yang banyak memberinya dorongan.

Encik Yong, 28 tahun, seorang jurutera reka bentuk berkata: “Sebelum kami berkahwin, saya sudah melihat ketabahannya. Saya selalu mengingatkan bahawa beliau boleh mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

“Meskipun hidup dalam keadaan susah ketika itu, beliau kini dapat berada di tempat yang lebih baik. Saya berasa bertuah kerana dapat belajar daripada ketabahannya dan menyaksikan pertumbuhannya.”

Meskipun dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, Cik Nur Friday berkata beliau tidak akan lupa akan kehidupan silamnya dan ingin menabur bakti kepada masyarakat demi membantu keluarga yang menghuni flat sewa bangkit lebih kukuh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >