Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jaya pimpin Dewan, bantu peniaga hadapi cabaran pandemik

Selepas empat tahun, Farid Khan bakal undur diri sebagai Presiden DPPMS
May 24, 2023 | 05:24 PM



DEWAN Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) perlu terus berazam untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam (MMO) dan masyarakat Islam secara lebih meluas dalam usaha untuk meneroka potensi yang lebih besar dalam dunia perniagaan dan perusahaan.

Presiden DPPMS, Encik Farid Khan, dalam temu bual eksklusif dengan Berita Harian (BH) menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Dewan tersebut, menyatakan masih terdapat keperluan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam membangunkan ekonomi masyarakat Melayu/Islam di Singapura.


“Selain mengekalkan hubungan baik dengan pemerintah, kami melihat keperluan untuk memperluas jaringan kerjasama kami ke badan-badan Melayu/Islam dan masyarakat Islam secara lebih luas. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk membangunkan perniagaan dan perusahaan Melayu/Islam di Singapura,” kata Encik Farid.

Inisiatif ini ditujukan untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan dan sumber, membantu dalam pengembangan peluang perniagaan baru dan secara umumnya membina keupayaan komuniti Melayu/Islam dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Strategi ini, menurut Encik Farid, akan memungkinkan DPPMS dan komuniti Melayu/Islam di Singapura untuk meraih manfaat yang lebih besar daripada peluang yang ada dan masa depan yang berpotensi.

“Sangat penting bagi kami untuk berada di hadapan dalam meneroka peluang baru dan memperkasa ekonomi masyarakat Melayu/Islam. Kami percaya bahawa dengan kerjasama yang lebih erat dengan badan-badan Melayu/Islam dan masyarakat Islam, kami akan mampu mencapai matlamat ini,” tambah Encik Farid.

Presiden DPPMS itu juga menambah bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan DPPMS untuk memajukan perniagaan dan perusahaan Melayu/Islam di Singapura dan berharap bahawa ini akan membuka pintu kepada peluang baru dan menggalakkan perkembangan yang lebih luas dalam komuniti tersebut.

Bahkan, katanya, seandainya beliau mempunyai lebih banyak masa berkhidmat dalam Dewan, itulah yang akan dilakukannya.

“Badan-badan Islam lain, misalnya masyarakat Muslim Cina, Muslim Bangladesh, Muslim Myanmar – kami mahu dekati mereka.

“Ada di antara mereka merupakan peniaga, tetapi mereka selalu bersendirian, jadi kami mahu dekati mereka dan lihat bagaimana kami dapat membantu termasuk memberitahu tentang geran pemerintah yang ada.

“Selain itu, ia juga dapat meluaskan dasar komersial kita.

“Ini sesuatu yang belum dapat saya lakukan sepenuhnya dan saya rasa itulah yang patut diberi tumpuan oleh pasukan seterusnya,” ujar Encik Farid.

PASUKAN SETERUSNYA

Encik Farid, 68 tahun, yang juga pengerusi serantau syarikat perkapalan, Bourbon Offshore Asia, telah berkhidmat sebagai presiden DPPMS selama empat tahun.

Beliau memutuskan untuk mengundur diri selepas penggal perkhidmatannya berakhir hujung Mei ini.

AGM DPPMS ke-64 bakal berlangsung pada 1 Jun 2023 dan jawatan presiden dijangka disandang oleh Timbalan Presiden DPPMS sedia ada, Encik Abu Bakar Mohd Nor.

Menyentuh tentang AGM tersebut, Encik Farid berkata sebanyak 33 pencalonan diterima bagi keseluruhan 16 tempat dalam lembaga pengarah Dewan.

Ini merupakan jumlah pencalonan tertinggi sepanjang tempoh perkhidmatannya, kata beliau.

“Sebenarnya saya tak jangka seramai ini akan menyerahkan pencalonan, tapi ini satu kejutan baik bahawa lebih ramai orang mahu tampil ke hadapan.

“Bagi saya, ini petanda baik bahawa orang lebih mengetahui tentang DPPMS dan mereka mahu terlibat sama dalam apa yang telah kami lakukan selama ini.

“Saya pun gembira melihat muka-muka baru (dalam pencalonan),” ujar Encik Farid.

 CABARAN DAN PENCAPAIAN

Cabaran tidak pernah putus selama beliau memegang pucuk pimpinan Dewan.

Apakan tidak, pandemik Covid-19 yang melanda mengakibatkan tunggang terbaliknya dunia perniagaan.

Berkongsi lebih lanjut, Encik Farid berkata antara cabaran utama yang beliau hadapi ketika mengambil alih kepimpinan DPPMS sekitar empat tahun lalu ialah kurangnya pengetahuan orang ramai terhadap Dewan.

“Ramai orang tak tahu DPPMS ini apa, mereka anggap kami ini tak relevan terhadap masyarakat Islam… ada banyak perkara negatif (yang dikaitkan dengan DPPMS) ketika itu.

“Perlahan-lahan, kami berusaha… dan sekarang saya rasa orang semakin tahu apa yang kami lakukan,” katanya.

Selain itu, semasa pandemik Covid-19, DPPMS perlu berunding dengan pemerintah untuk membantu banyak peniaga – antaranya peniaga dari rumah (HBB) yang pada ketika itu tidak dibenarkan menjalankan perniagaan mereka.

Semasa industri perkahwinan berdepan dengan banyak sekatan, DPPMS juga telah membantu berunding dengan pemerintah, kata Encik Farid.

Malah, semasa pandemik tersebut, beliau telah menghabiskan tiga suku masanya di pejabat DPPMS untuk menyelesaikan masalah dan cabaran yang timbul, di samping menguruskan syarikatnya sendiri.

Cabaran bagi pasukan seterusnya, tambah beliau, ialah DPPMS mesti kekal fokus dan komited.

“Terdapat pengorbanan yang mesti mereka sedia lakukan, kalau mereka di sini hanya untuk touch and go, tak boleh, mereka mesti komited kepada organisasi ini.


“Matlamat mereka harus jelas iaitu untuk membantu masyarakat Melayu/ Islam dan bantu masyarakat perniagaan,” tegasnya.

PENGORBANAN PERIBADI

Masa – itulah antara pengorbanan terbesar yang telah dilakukan Encik Farid sepanjang menerajui DPPMS, malah sebelum itu juga, setelah berdekad bertugas dalam industri perkapalan.

Itu juga antara sebab mengapa beliau memutuskan tidak meneruskan sebagai presiden Dewan setelah selesai tempoh perkhidmatannya kali ini.

“Kasi orang lain pula lah,” seloroh beliau.

“Saya pun nak luangkan lebih banyak masa dengan isteri saya, kami pun dah semakin tua, saya dah 68 tahun sekarang!

“Ramai yang tanya saya, lepas ini nak buat apa pula?

“Saya jawab, saya nak pulang ke rumah,” ujar bapa dua anak dan datuk dua cucu itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >