Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Juara dunia debat bahasa Arab: Pelajar S’pura setanding pasukan Arab

Sep 07, 2023 | 06:37 PM



Bahasa Arab bukan bahasa Ibunda bagi empat anak tempatan yang menyertai pertandingan debat bahasa Arab peringkat antarabangsa.

Namun mereka mampu menyaingi para peserta dari negara Arab dan akhirnya bergelar juara dalam pertandingan yang berlangsung di Qatar itu.

Pasukan dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah menjuarai kategori Arab sebagai Bahasa Asing (AFL) dalam Kejohanan Debat Sekolah Antarabangsa Qatar 2023, yang berlangsung dari 2 hingga 4 September lalu itu.

Mereka membawa pulang piala dan pingat emas atas kemenangan tersebut.

“Kami tak jangkakan kami boleh bertanding dengan mereka (Qatar) pada tahap itu,” kata salah satu anggota pasukan tersebut, Nur Wanie Azmi, 18 tahun, seorang pelajar Prauniversiti Dua.

“Pada awalnya kami segan dan takut kerana mereka penutur asli bahasa Arab. Namun sewaktu bertanding, kami rasa, kami berupaya berdebat dengan mereka tanpa sebarang hambatan besar,” tambahnya ketika ditemui Berita Harian di sekolahnya pada Rabu.


Nur Wanie, disertai sama tiga rakan sepasukannya yang lain, Sofiyyah Mohd Amirullah, 16 tahun (Menengah Empat); Nurwada’ah Mohamed, 17 tahun (Prauniversiti Satu); dan Sharifah Muneerah Sheik Nawaz, 18 tahun (Prauniversiti Dua).







Pertandingan edisi keenam tahun ini, anjuran Debat Qatar oleh Yayasan Qatar melibatkan 40 negara dan pusingan kelayakan diadakan pada 6 dan 7 Mei secara dalam talian.

Singapura berjaya melangkah ke pusingan melibatkan 16 pasukan terbaik di Qatar, selepas bertemu Belgium, India, Afrika Selatan, Kazakhstan dan Qatar dalam pusingan kelayakan itu.

Di Qatar, setiap pasukan perlu bertemu dengan tiga pasukan lain sebelum diberi ranking kedudukan. Topik bahas hanya didedahkan 20 minit sebelum setiap pusingan selanjutnya bermula.

Selepas bertemu dengan Kazakhstan, Qatar dan Indonesia, Singapura ditempatkan dalam kedudukan ke-10 sementara Indonesia di tangga kelapan. Indonesia dan Singapura ditemukan lagi untuk merebut juara kategori AFL.

Sementara itu Kuwait muncul juara kategori terbuka selepas menewaskan tuan rumah, Qatar.

Ini juga merupakan kali pertama Singapura berjaya beralih ke peringkat final dan bergelar johan sejak peraduan itu pertama kali dianjurkan pada 2012. Ia mula melibatkan peserta dari luar negara Arab pada 2014.

Nurwada’ah, yang juga seorang peserta kelab debat di sekolahnya berkata Qatar dianggap pesaing utama mereka.







Apabila Singapura bertemu negara hos itu dalam 16 pasukan terbaik, topik yang diberikan adalah: “Dewan ini setuju dengan gaya kehidupan ‘Digital Nomad’ (orang bekerja bebas dari mana sahaja lokasi dan tidak tertakluk kepada pejabat atau negara tepat).”

Singapura yang merupakan pasukan pembangkang tewas di tangan Qatar, yang juga pencadang bagi topik itu. Namun Singapura tetap menduduki 10 pasukan terbaik.

“Pasukan Qatar lebih fasih dan biasa menggunakan bahasa Arab dan terdapat juga kosa kata yang kami sukar faham,” kata Nurwada’ah.

Selepas pusingan itu, pihak juri memberitahu, jurang mata antara pasukan Singapura dengan Qatar tidak jauh.

“Apabila kami dimaklumkan keputusan itu, kami rasakan, kami telah lakukan dengan terbaik meskipun kami bukan berasal dari negara Arab,” kata Sofiyyah yang juga dinobat tempat ketiga dalam kalangan lima pembahas terbaik pertandingan itu.







Apabila tibanya untuk menghadapi Indonesia di pusingan akhir, keempat-empat pelajar itu terus membuat persiapan rapi.

“Kami telah bertemu dengan Indonesia sebelum ini dan kami tahu gaya perbicaraan mereka. Jadi kami bersedia masuk gelanggang dengan penuh keyakinan apatah lagi kami dinilai setanding dengan pasukan Qatar yang merupakan satu pencapaian membanggakan,” sambung Sharifah Muneerah.

Kemenangan itu juga adalah kemenangan pertama bagi Munazarah SG sebuah pertubuhan tidak meraih keuntungan ditubuhkan tahun lalu yang merupakan penyelaras bagi pertubuhan-pertubuhan pidato bahasa Arab untuk mencari peserta bagi pertandingan antarabangsa.

Munazarah SG juga telah melatih pasukan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >