Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Mohamed Sharael Mohd Taha

Jurutera gigih pacu perubahan agar esok lebih baik dari hari ini

Naib presiden strategi dan pejabat pengurusan projek SAESL turut terdorong ajak masyarakat berjinak-jinak dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik
Mar 29, 2020 | 05:30 AM



PERANAN yang beliau mainkan sejak memulakan kerjaya sebagai jurutera sekitar 15 tahun lalu melibatkan usaha memacu perubahan dalam syarikat yang disertainya.



Namun, Encik Mohamed Sharael Mohd Taha, 38 tahun, sebenarnya sudah 'disiapkan' bagi peranan itu oleh ibu bapanya sejak kecil lagi.



BERJINAK-JINAK DENGAN TRANSFORMASI



Semasa membesar di Pasir Ris dan Bedok Reservoir, anak kedua daripada keluarga tiga beradik itu sering melihat bapanya, Encik Mohamed Taha Mohamed, 72 tahun, bertukang membuat perabot atau menggodek-godek peralatan di rumah seperti lampu walaupun ia tidak bermasalah.



"Ayah saya selalu berkata esok harus lebih baik daripada hari ini. Jadi, ini sudah sebati dalam diri saya... untuk mencapai peningkatan berterusan, menjadikannya lebih baik setiap hari," kata naib presiden strategi dan pejabat pengurusan projek di Singapore Aero Engine Services Ltd (SAESL) itu.



Ibunya, Cik Zubaidah Saad, 68 tahun, pula berkhidmat sebagai jururawat sebelum ini dan berkhidmat di barisan hadapan semasa wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) pada 2003.



"Saya melihat beliau gigih menjaga pesakit dan ini menimbulkan keinginan saya untuk turut menyumbang meninggalkan kesan kepada orang lain," ujarnya.



Membesar dalam sekitaran itu mendorong Encik Sharael berfikir bagaimana beliau boleh mencapai peningkatan dan memacu perubahan untuk menjadikan esok lebih baik daripada hari ini sehingga meninggalkan kesan pada orang ramai.



Peranan inilah yang dimainkannya sejak Lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universiti Oxford itu menyertai bidang kejuruteraan.



MEMACU PERUBAHAN



Semasa berkhidmat dengan Blastech Abrasives, sebuah unit perniagaan Keppel Shipyard Ltd misalnya, Encik Sharael dan pasukannya bertanggungjawab menubuhkan satu loji mengitar semula produk sampingan yang dihasilkan dari pengekstrakan tembaga.



Ini membolehkannya digunakan sebagai pengganti pasir dan sebagai bahan yang digunakan dalam industri limbungan kapal untuk antara lain menghapuskan cat lama dan melicinkan permukaan tepi kapal.



Sebelum dipinjamkan Rolls-Royce kepada SAESL - sebuah usaha sama antara Rolls-Royce dengan SIA Engineering Company - beliau bertanggungjawab bagi projek di tujuh kilang penghasilan enjin pesawat termasuk di Canada, Jerman, Britain dan Singapura.



Beliau antara lain memainkan peranan memperkenal keupayaan baru kepada prasarana itu.



Usaha ini melibatkan dua elemen iaitu teknologi baru yang boleh dimanfaatkan serta bagaimana ia dapat membantu individu yang terlibat.



"Peranan jurutera ialah untuk meningkatkan kehidupan orang. Begitulah caranya kita dapat mencapai peningkatan daripada hanya berjalan dahulu kepada menggunakan kuda sebagai pengangkutan dan kemudian kereta dan pada masa akan datang, kereta elektrik.



"Oleh itu, kita tidak boleh sekadar memperkenal teknologi baru, sebaliknya perlu memikirkan bagaimana teknologi itu boleh meningkatkan kehidupan," kata Encik Sharael.



Berdasarkan pengalamannya yang meluas serta melihat bagaimana penduduk di negara lain memanfaatkan teknologi dan memacu perubahan untuk meningkatkan kehidupan orang ramai, beliau kini ghairah menyumbang kepada usaha transformasi industri di Singapura.



INDUSTRI 4.0



Namun menurutnya, usaha transformasi yang diperlukan untuk merubah Singapura sepanjang 10 hingga 15 tahun akan datang harus berbeza daripada usaha yang dijalankan untuk merubah Singapura sepanjang 10 hingga 15 tahun lalu untuk mencapai tahap sekarang.



Ini lebih-lebih lagi dengan teknologi yang berkembang pesat zaman ini.



Meskipun sesetengah orang mungkin bimbang pekerjaan mereka akan diganti robot dalam usaha menuju ke arah Industri 4.0, Encik Sharael berkata usaha ini sebenarnya bertujuan memberi tumpuan kepada manusia agar mereka dapat melakukan tugas yang ditambah nilai berbanding melakukan tugas yang sama berulang kali, yang boleh dilakukan mesin dan teknologi.



Ini memerlukan orang ramai meningkatkan kemahiran dan meraih kemahiran baru serta mengamalkan budaya belajar sepanjang hayat.



Oleh itu, beliau terdorong mendekati masyarakat, khususnya golongan muda, untuk menjinak-jinakkan mereka dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) menerusi rangkaian M Kuasa Tiga (M³) - merangkumi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).



Encik Sharael dan beberapa jurutera Melayu daripada Rolls-Royce turut menyertai Pesta Pembelajaran sebagai sebahagian kempen Bulan Raikan Ilmu Yayasan Mendaki tahun lalu untuk mendedahkan golongan muda di acara itu kepada bidang kejuruteraan aeroangkasa.



Sebelum ini, beliau juga giat berkongsi pengalamannya dan tentang Industri 4.0 di beberapa institusi pendidikan dan dengan golongan pekerja.



Tambahnya, beliau juga ghairah untuk terus menyumbang semula kepada masyarakat, khususnya untuk mendedahkan lebih ramai anak muda kepada bidang Stem dan memacu transformasi tenaga kerja Singapura, khususnya di kalangan masyarakat Melayu/Islam setempat.




"Ayah saya selalu berkata esok harus lebih baik daripada hari ini. Jadi, ini sudah sebati dalam diri saya... untuk mencapai peningkatan berterusan, menjadikannya lebih baik setiap hari... Saya melihat beliau (ibunya pula, seorang bekas jururawat) gigih menjaga pesakit dan ini menimbulkan keinginan saya untuk turut menyumbang meninggalkan kesan kepada orang lain."
- Encik Mohamed Sharael Mohd Taha, naib presiden strategi dan pejabat pengurusan projek di Singapore Aero Engine Services Ltd (SAESL).




BIODATA



Nama: Mohamed Sharael Mohd Taha
Usia: 38 tahun
Status Rumah Tangga: Sudah berkahwin. Isteri Noreen Azli, 36 tahun, suri rumah
Anak: Marsya Nayli, 12 tahun; Sarah Naimah, 8 tahun; Mohamed Zafir Iman, 5 tahun



KERJAYA:



- Naib Presiden, Strategi dan Pejabat Pengurusan Projek , Singapore Aero Engine Services Ltd (SAESL) (sekarang)

- Eksekutif Program, Pengurus Operasi dan Pengurus Peningkatan Perniagaan, Rolls-Royce

- Perunding Strategi, O2 (Telefonica UK)

- Pengurus Operasi dan Penolong Pengurus, Blastech Abrasives, sebuah unit perniagaan Keppel Shipyard Ltd



PENDIDIKAN:



- Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dengan Kepujian, Universiti Oxford

- Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Kejuruteraan Mekanikal), Universiti Nasional Singapura

- Sekolah Victoria




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >