Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kanak-kanak 5-11 tahun bentuk kadar jangkitan tertinggi Covid-19: Ye Kung

Feb 09, 2022 | 05:30 AM



KANAK-KANAK berusia lima hingga 11 tahun membentuk golongan usia dengan kadar jangkitan Covid-19 paling tinggi buat masa ini, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.



Justeru itu, hospital sedang menyediakan lebih banyak katil bagi pesakit kanak-kanak untuk memastikan ia mencukupi, sedang gelombang Omicron melanda Singapura.



Ini kerana varian tersebut dilihat menjangkiti lebih ramai kanak-kanak berbanding varian Delta.



Berkata demikian, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mendedahkan, kadar jangkitan bagi kanak-kanak dalam golongan usia tersebut ialah sekitar 67 bagi setiap 100,000 orang.



Ini diikuti dengan orang muda berusia antara 12 dengan 19 tahun, dengan kadar jangkitan sebanyak 55 bagi setiap 100,000 orang.



"Ini bukan keadaannya dengan varian Delta di mana orang dewasa yang lebih tua yang kebanyakannya dijangkiti," kata Encik Ong.



"Dengan lebih ramai kanak-kanak dan orang muda dijangkiti, kita mesti memastikan terdapat katil yang mencukupi bagi (hospital) untuk menguruskan kes-kes teruk jika mereka perlukan.



"Hospital awam dan privet sedang menyediakan lebih banyak katil bagi kanak-kanak. Kemudahan rawatan Covid-19 kita juga sedang menyediakan lebih banyak katil bagi kanak-kanak dan penjaga mereka," ujar Encik Ong.



Beliau memberi ucapannya itu semasa Anugerah Perkhidmatan Kualiti Kesihatan Singapura 2022 di mana kira-kira 9,000 profesional dan rakan kongsi penjagaan kesihatan dari 41 institusi penjagaan kesihatan awam dan swasta, hospital masyarakat serta agensi dari sektor Penjagaan Masyarakat diberi penghormatan dalam satu majlis di Auditorium Ngee Ann Kongsi, Hospital Besar Singapura (SGH) semalam.



Mujur, kata Encik Ong, kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dek Covid-19 hanya perlu ditahan buat tempoh yang pendek iaitu sekitar dua hingga tiga hari.



"Pun begitu, penting memastikan mereka divaksinasi untuk melindungi mereka daripada risiko jangkitan teruk seandainya mereka terjangkit," tambah beliau.



Penambahan katil hospital kanak-kanak adalah sebahagian daripada tiga aspek yang diberi perhatian oleh pihak berkuasa, berikutan bilangan jangkitan harian yang semakin meningkat dan kesannya.



Aspek kedua ialah vaksinasi dan vaksin penggalak yang "terus menunjukkan perbezaan yang ketara kepada hasil klinikal individu yang dijangkiti", kata Encik Ong.



Dalam kalangan warga emas yang dijangkiti Covid-19, kadar mereka yang memerlukan tambahan oksigen atau rawatan di unit jagaan rapi (ICU) bagi yang sudah menerima vaksin penggalak ialah 0.9 peratus berbanding mereka yang sudah divaksinasi sepenuhnya tetapi belum diberi vaksin penggalak (4 peratus), dan mereka yang belum divaksinasi sepenuhnya (10 peratus).



"Oleh itu, warga emas berusia 60 tahun ke atas yang belum divaksinasi sepenuhnya adalah 10 kali ganda lebih berkemungkinan sakit teruk apabila dijangkiti Omicron berbanding seseorang yang sudah menerima vaksin penggalak.



"Itu sebabnya vaksinasi dan vaksin penggalak, lebih-lebih lagi dalam kalangan warga emas, terus menjadi keutamaan utama," tekan beliau.



Dalam pada itu, akibat bilangan kes harian yang tinggi, kapasiti bahagian hadapan juga harus dipertingkat.



Ini termasuk meningkatkan keupayaan pusat panggilan dengan menambah pengendali panggilan dari luar Kementerian Kesihatan (MOH) dengan melibatkan pegawai perkhidmatan awam lain termasuk daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).



Mengakhiri ucapannya, Encik Ong turut merakamkan rasa terima kasih beliau kepada para pegawai penjagaan kesihatan yang telah banyak berkorban sepanjang pandemik Covid-19.



"Penghargaan saya yang teramat sangat kepada semua 9,000 profesional dan rakan kerja penjagaan kesihatan dari 41 institusi yang mengambil bahagian atas daya tahan dan ketabahan anda," ujar beliau.




"... Pun begitu, penting memastikan mereka (kanak-kanak) divaksinasi untuk melindungi mereka daripada risiko jangkitan teruk seandainya mereka terjangkit...

... warga emas berusia 60 tahun ke atas yang belum divaksinasi sepenuhnya (pula) adalah 10 kali ganda lebih berkemungkinan sakit teruk apabila dijangkiti Omicron berbanding seseorang yang sudah menerima vaksin penggalak. Itu sebabnya vaksinasi dan vaksin penggalak, lebih-lebih lagi dalam kalangan warga emas, terus menjadi keutamaan utama."


- Encik Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan, semasa berucap di majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Kualiti Kesihatan Singapura 2022.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >