Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Keadaan beransur baik berbanding dahulu, namun perkauman masih wujud: Lawrence Wong

Jun 26, 2021 | 05:30 AM



DALAM forum IPS-RSIS mengenai Kaum dan Perkauman di Singapura Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengambil kesempatan mengadakan dialog bersama peserta. Berikut sedutan dialog itu:



Soalan: Saya memahami aspirasi dan usaha yang kita sedang lakukan, namun dalam perbincangan media sosial berkaitan kejadian baru-baru ini, saya mula tertanya-tanya. Anda menyentuh tentang kes tertentu - pasangan berlainan bangsa yang dilontar kata-kata berbaur perkauman oleh seorang rakyat Singapura berbangsa Cina… Pada masa yang sama, anda sendiri katakan pegawai pemerintah telah menunjukkan kita telah membuat kemajuan besar dalam isu kemajuan kaum. Apakah pandangan anda? Adakah kita sebenarnya menuju ke arah yang betul?



Encik Wong: Saya rasa kita harus lihat pada konteks lebih luas. Jika anda bertanya adakah kita dalam keadaan lebih baik hari ini berbanding 20, 30 tahun yang lalu atau apabila Singapura merdeka, saya rasa jawapannya jelas iya. Tanya saja sesiapa yang telah mengalami tempoh pertikaian kaum dan masyarakat di Singapura. Ibu bapa saya dari generasi itu...dan mereka akan beritahu anda, sesiapa dalam generasi itu akan beritahu anda, kita telah jauh maju ke depan… Namun, adakah ia bermakna kita sempurna sekarang? Tentunya tidak. Adakah perkauman masih wujud di Singapura? Iya, masih. Dan sememangnya, kejadian baru-baru ini adalah satu keprihatinan. Kita harus benar-benar prihatin tentang ini kerana kita tidak boleh menganggap bahawa kemajuan akan sentiasa bergerak dalam satu arah. Akan selalu terdapat risiko bahawa kita akan mundur, dan kita bergerak ke belakang. Dan oleh itu, kita perlu memainkan peranan, perkukuh komitmen, berusaha lebih gigih dalam menangani isu perkauman apabila ia timbul, menilai tingkah laku kita, memeriksa dan menyemak semula dasar.



Soalan: Rencana Lianhe Zaobao telah mendapat pelbagai komen daripada masyarakat dan juga ahli akademik… Saranannya adalah apa yang berlaku baru-baru ini sebahagiannya disebabkan rasa tertekan dek Covid-19, media sosial, dan dibawa pandangan dan konsep dari Barat, termasuk teori kaum kritikal. Adakah ini kesimpulan tentang apa yang sedang berlaku? Adakah anda setuju atau tidak?



Encik Wong: Saya telah membaca rencana Zaobao itu dengan teliti. Mereka dengan jelas membuat pendirian bahawa mereka menolak perkauman, dan mereka mendapati kejadian berbaur perkauman itu tidak boleh diterima. Tiada keraguan tentang itu. Mereka memberikan penjelasan tentang mengapa kejadian itu boleh berlaku. Saya tidak fikir mereka berniat bagi penjelasan itu bersifat menyeluruh, atau penjelasan itu akan membuat kita tidak perlu melakukan lebih banyak usaha. Tentunya tidak. Secara jelas, kita semua mahu mendalami isu ini, melakukan lebih banyak usaha, untuk memahami sebab-sebab di sebalik perkauman di Singapura, dan menanganinya pada akarnya. Oleh itu, kita semua mesti bekerjasama langkah demi langkah. Ia memerlukan kita melihat pada perkara dengan teliti, berdasarkan konteks, keadaan, realiti kita, memahami apakah isu-isunya, dan kemudian, melihat apakah perkara dan bidang yang boleh diperbaiki. Ia mungkin menerusi dasar, ia mungkin menerusi tingkah laku, ia mungkin menerusi institusi. Namun, walau apa pun keadaannya, lihatlah untuk sentiasa membuat peningkatan. Saya fikir itu mesti menjadi mustahak dan saya pasti itulah objektif dan tujuan rencana Zaobao.



Soalan: Mengapakah seorang individu daripada kaum minoriti tidak boleh jadi perdana menteri? Tidakkah ini bertentangan dengan meritokrasi seperti yang kita fahami?



Encik Wong: Sesiapa yang mahu menjadi perdana menteri akan perlu membina hubungan dengan pengundi dan menggerakkan rakyat Singapura dan memimpin parti untuk menang pilihan raya. Ini dikenakan ke atas sesiapa, tidak kira kaum. Tinjauan IPS menunjukkan sebilangan besar rakyat Singapura lebih selesa dengan perdana menteri bangsa mereka sendiri. Ia merentasi rakyat Singapura dalam kumpulan etnik berbeza. Inilah yang ditunjukkan tinjauan itu. Saya berharap ia tidak begitu, tetapi dapatan tinjauan adalah sebagaimana adanya. Oleh itu, minoriti yang mahu menjadi perdana menteri perlu sedar akan sikap ini. Ini tidak bermakna beliau tidak boleh jadi perdana menteri, tetapi ini adalah kenyataan dalam masyarakat. Saya juga harus mengatakan bahawa ia tidak bermakna kita harus menerima sikap ini seadanya. Kita tidak harus menerima sikap ini. Sebaliknya, kita harus bekerja keras untuk mengubahnya. Dan saya pastinya akan menantikan hari ketika Singapura mempunyai perdana menteri minoriti.



Soalan: Saya ingin mengetengahkan isu…tentang menegur tingkah laku perkauman yang kita lihat sejak kebelakangan ini… Ini kerana dalam sesetengah situasi, terutamanya di luar negara, tindakan menegur ini membawa kesalahan yang baru ?



Encik Wong: Saya rasa kita harus jelas bahawa apa jua bentuk perkauman tidak boleh diterima. Kita harus membuat pendirian yang amat jelas, dan apabila kita melihatnya, kita harus menegurnya. Namun, cara melakukannya adalah penting. Jika tingkah lakunya dengan jelas bersifat diskriminasi, melukai perasaan, saya rasa kita perlu mengambil pendirian tegas. Tidak harus ada keraguan tentang itu. Namun, mungkin terdapat tingkah laku yang tidak disengajakan, tidak jelas, dan dalam menegur, saya rasa kita tidak harus bergegas menganggap perkara yang terburuk dalam individu itu. Ini kerana ia boleh dengan mudah membawa kepada salah faham dan menyebabkan keadaan bertambah buruk tanpa perlu. Akhirnya, ia mengenai sikap dan pemikiran, bagaimana kita menangani isu seperti ini. Dalam mana-mana masyarakat berbilang kaum, akan terdapat ketidaksempurnaan, masalah, kelemahan… Kita perlu mencari cara menanganinya, tetapi melakukannya dengan semangat muhibah.



Soalan: Bagaimanakah harus kita menangani isu guru yang mungkin atau mungkin tidak secara terang-terangan bersikap rasis, membuat sindiran dan komen tentang bangsa, agama dalam cara yang negatif atau rasa benci ?



Encik Wong: Jika dakwaan ini adalah benar, saya rasa ia harus dikemukakan. Ia boleh dikemukakan menerusi pengetua sekolah, ketua sekolah, kepada kementerian. Dan tentu sekali, kita akan menanganinya. Semasa saya di Kementerian Pendidikan (MOE), kami pernah menangani kejadian seperti itu. Kami akan mengambil tindakan susulan. Dan ia kembali kepada apa yang saya katakan sebelum ini. Kita lihat pada tingkah laku itu. Beberapa kejadian mungkin tidak jelas atau tidak sengaja. Mungkin individu itu tidak sedar, kerana hakikatnya, kita semua ada kelemahan dan ada berat sebelah. Dan oleh itu, mungkin cara menangani isu itu adalah dengan memberi kaunseling kepada guru atau dengan memberi kaunseling kepada pelajar, dan kita boleh bergerak ke depan. Namun, ada kejadian yang lebih daripada itu dan ada yang jauh lebih mengejutkan. Atas apa alasan pun individu itu mungkin berniat bersifat diskriminasi, dan mereka mungkin mempunyai pandangan sebegitu secara peribadi, tidak begitu jelas dilihat kepada orang ramai sebelum ini, tetapi ia berlaku sekali dalam kelas atau dalam persekitaran sekolah. Dan jika kita melihat perkara ini, dan kita tahu bahawa ini berlaku, maka dengan jelas, kita perlu mengambil pendirian tegas terhadap individu itu, biar siapa pun orang itu.



Soalan: Model CMIO (Cina, Melayu, India dan lain-lain) membantu dalam peruntukan rangka kerja sebagai alat dasar sosial, intervensi sosial, kategori kaum, tetapi bagaimanakah kita dapat mencegah penggabungan rangka kerja CMIO daripada alat dasar yang diperlukan?



Encik Wong: Saya memahami keprihatinan yang ditimbulkan. Dan kadang kala orang membuat anggapan bahawa dasar-dasar yang mengambil kira kaum akan menjejas dasar berbilang bangsa. CMIO sering ditukil sebagai contoh. Anda membuat saya lebih sedar tentang identiti etnik saya, dan oleh itu, ini menjejas apa yang kita sedang cuba capai, iaitu masyarakat berbilang kaum ideal. Saya menghargai pandangan itu. Apa yang saya akan katakan ialah pertimbangkan perkara ini: jika kita membuang CMIO, adakah ia bermakna orang ramai akan mula lupa tentang identiti etnik mereka atau beri kurang perhatian pada identiti etnik mereka? Adakah itu akan berlaku? Jika kita mengabaikan perbezaan kaum, adakah ia bermakna perbezaan itu tidak wujud? Ia tidak begitu jelas bagi saya. Malah, saya akan katakan bahawa dasar kita yang mengambil kira kaum, sama ada CMIO atau Dasar Integrasi Etnik (EIP), telah membantu memperkukuh keharmonian kaum kita. Dalam banyak cara, ia telah membantu kita menjadi kurang sedar dari segi kaum. Contohnya, hakikat bahawa dalam estet perumahan kita, kita boleh membesar bersama dan berinteraksi antara satu sama lain dengan bebas, termasuk di sekolah. Oleh itu, kita perlu pertimbangkan perkara ini. Namun begitu, seperti saya katakan dalam ucapan saya, dasar-dasar kita boleh berubah dan kita terus menyemaknya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >