Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Keinginan mendalam bantu anak keluarga pincang, pendapatan rendah

Aug 22, 2018 | 05:30 AM



Latar belakang keluarga yang susah kadang-kala menghambat anak-anak kecil untuk menerima pendidikan prasekolah sedangkan pendidikan awal amat penting bagi membentuk asas pengetahuan anak itu. Menyedari kepentingan itu, rangkaian kumpulan tajaka, Busy Bees Singapore telah memperkenalkan Dana Tuisyen Prasekolah agar anak-anak itu dapat mengikuti pendidikan yang baik di enam jenama prasekolah Busy Bees serta rakan kerjasama mereka. Bagi memperkasa keluarga yang susah, Dana Pekerjaan dan Peningkatan Kemahiran diperkenalkan bagi membiayai ibu bapa dilengkapi dengan kemahiran pendidikan awal dan penempatan kerja. NORHAIZA HASHIM (norhaiza@sph.com.sg) menemuramah CEO Busy Bees, Cik Jummaida Rusdon mengenai inisiatif terbaru syarikat itu.



MELIHAT ibu bapa dari golongan keluarga pincang dan berpendapatan rendah yang tidak menghantar anak-anak mereka ke tadika membuat hati Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Busy Bees Singapore, Cik Jummaida Rusdon luluh.



Dengan keinginan mendalam membantu mereka, wanita yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak terdorong memperkenalkan program Akses Pengetahuan bagi membolehkan kanak-kanak itu mendapat pendidikan prasekolah bermutu di samping berintegrasi dengan kanak-kanak lain.



Program itu memberi peluang pendidikan dan subsidi kewangan agar kanak-kanak dapat bersekolah di rangkaian 62 tajaka milik Busy Bees di Singapura yang meliputi enam jenama termasuk Small Wonder, Learning Vision dan Pat's Schoolhouse yang berhampiran dengan rumah mereka.



Di bawah Dana Tuisyen Prasekolah, Busy Bees memberi subsidi sehingga 42 peratus secara purata bagi menampung yuran sekolah kanak-kanak itu tetapi jumlah itu boleh ditingkatkan jika terdapat keperluan.



"Kami amat prihatin apabila Timbalan Perdana Menteri Encik Tharman Shanmugaratnam dan Presiden Halimah Yacob menimbulkan mengenai ketidaksamaan sosial di prasekolah. Kami berbincang dengan rakan-rakan dan memikirkan cara untuk kami menyokong pemerintah kerana kami merupakan pakar dalam bidang prasekolah, mempunyai sumber dan kepakaran bagi memberi pendidikan bagi kanak-kanak ini," kata Cik Jummaida, ketika ditemui di pejabat Busy Bees di bangunan Interlocal Centre di Pasir Panjang Road baru-baru ini.



Dengan enam jenama tajaka di Singapura meliputi Small Wonder yang mengenakan yuran bulanan sebanyak $800 hingga Odyssey The Global Preschool yang mengenakan yuran $2,300 sebulan, beliau berkata ibu bapa boleh membayar maksimum yuran sebanyak 10-11 peratus.



Jadi, jika kanak-kanak dihantar ke tajaka Small Wonder, ibu bapa hanya perlu membayar $20 setelah mengambil-kira subsidi diberikan Busy Bees serta subsidi lain diberikan pemerintah termasuk Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda).



"Kami akan memberi subsidi 42 peratus dan bersedia memberikan lebih jika terdapat keperluan. Malah, kami tidak akan menolak sebarang kanak-kanak disebabkan ibu bapa mereka tidak dapat membayar yuran itu. Kami akan menerima mereka untuk mengikuti kelas kami dan kemudian menguruskan bantuan atau subsidi lain bagi membantu mereka," tambahnya.



Berdasarkan subsidi 42 peratus diberikan untuk 500 tempat di tajaka, Cik Jummaida menganggarkan jumlah diperlukan bagi membiayai kanak-kanak itu mencapai $5.2 juta.



Untuk mengenal pasti kanak-kanak yang memerlukan itu, Busy Bees telah mendekati pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam seperti Mendaki, Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan Pemuda Pemudi Islam Singapura (PPIS).



"AMP dan PPIS juga mempunyai tadika dan tajaka. Jika kita gabungkan prasekolah itu, kita akan dapat merangkumi seluruh Singapura. Misalnya, jika terdapat keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di Jurong West, mereka boleh menghantar anak mereka di tajaka PPIS kerana kami tidak mempunyai tajaka di kawasan itu dan kami akan memberikan subsidinya," tambah beliau.



Pengurus Kanan AMP, Cik Hameet Khanee, menyambut baik kerjasama itu bagi membolehkan keluarga kurang berkemampuan memanfaatkan rangkaian tajaka Busy Bees yang bermutu.



"Ia amat penting khususnya ibu-ibu tunggal atau wanita yang perlu bekerja untuk menyara kehidupan keluarga dan memerlukan tempat di tajaka secepat mungkin. Kanak-kanak ini akan meraih manfaat dengan mendapat pendedahan awal dalam pendidikan yang berupaya mempengaruhi perkembangan mereka di hari muka," jelas Cik Hameet.



Mendaki juga sudah bersetuju memberi sokongan kerana mereka mempunyai pangkalan maklumat keluarga pincang dan berpendapatan rendah yang dapat meraih manfaat dari program Akses Pengetahuan, kata Ketua Pegawai Pembangunan Busy Bees, Cik Rabiatul Adawiah.



Cik Jummaida juga mengalu-alukan kerjasama dengan badan berkanun seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) atau badan-badan lain jika mereka ingin sama-sama membiayai sebahagian kos subsidi itu, misalnya, dengan menggunakan duit zakat atau merujuk kanak-kanak yang memerlukan.



Buat permulaan, seramai lapan kanak-kanak sudah dikenal-pasti untuk menyertai program itu, kata ketua tanggungjawab korporat sosial (CSR) Busy Bees, Cik Marlina Sarkan.



"Selain memberikan akses kepada kanak-kanak mendapat pendidikan awal, matlamat kami juga memberi mereka pendedahan dan pengalaman belajar dalam tajaka premium seperti Oddysey yang berpandukan program International Baccalaureate, membolehkan mereka berintegrasi dengan kanak-kanak dari latar belakang berbeza. Ia seumpama memberi biasiswa belajar di universiti terkemuka dunia seperti Yale yang boleh membawa perbezaan dalam kehidupan mereka di hari muka," tambah Cik Rabiatul.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >