Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Kejar rasa khayal dengan gas butana

Perbuatan sekumpulan remaja cetus prihatin; gas butana boleh jejas pertuturan, cetus halusinasi dan bawa maut, kata pakar
Jul 01, 2023 | 05:30 AM



Dengan setiap sedutan dari kanister gas butana, khayalan ‘Junior’ (bukan nama sebenar) semakin melayang di awang-awangan.

Remaja berusia 15 tahun itu mula berjinak-jinak dengan tabiat itu sekitar pertengahan Mei 2023 semasa meluangkan masa bersama teman-temannya.

Pada waktu itu, dia diajak untuk mencubanya dan menikmati ‘keasyikan’ yang terhasil selepas menyedut gas tersebut.

“Jika anda baru-baru ambil atau tak biasa, memang selepas mengambilnya akan rasa mual atau tekak rasa sakit tetapi selepas itu anda rasa khayal,” ujarnya

‘Junior’ menambah tabiat itu sering dilakukan di kawasan terpencil seperti pondok taman awam atau bumbung tempat letak kereta bertingkat – adakalanya sisa kanister tersebut dibiarkan begitu sahaja di tempat-tempat sedemikian.

Sisa-sisa yang dipercayai angkara tabiat itu dijumpai Encik Jamsairi Kamaruddin, yang lebih mesra dikenali sebagai Bob Senget.

Dalam satu hantaran video di Facebook, beliau mendakwa terjumpa apa yang dipercayai sisa-sisa kanister gas butana yang kosong di bumbung tempat letak kereta di sebuah kejiranan di kawasan tengah Singapura.







Ketika ditemui, beliau berkata: “Kebetulan saya baru habis latihan tarian singa di kawasan berhampiran dan dapati ada kanister-kanister gas yang terbiar di lantai.”

Beliau berkata ia bukan kali pertama beliau terjumpa sisa kanister gas sedemikian terbiar merata-rata.

Bahkan, ada kalanya beliau mendakwa melihat sendiri kumpulan remaja menyedut kanister gas sedemikian – yang katanya sering disembunyikan di dalam jaket atau beg galas kecil – dan pernah menegur mereka.

“Apabila saya tegur, mereka dalam keadaan khayal dan ada yang bertindak agresif,” jelasnya.







Pemeriksaan Berita Harian (BH) menunjukkan gas butana boleh dibeli dalam bentuk kanister dan berharga serendah $2.50 bagi kanister 300 mililiter (ml). Ia boleh dibeli di kedai runcit di kejiranan dan juga menerusi wadah dalam talian.


Ini bermakna ia mudah dimampui dan boleh disalahgunakan kerana boleh beri kesan euforia atau khayalan sama seperti penghidu gam, menurut pakar.

Menjawab pertanyaan BH, Perunding Kanan Jabatan Perubatan Kecemasan di Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Madya Suresh Pillai, berkata:

“Butana mudah disalahgunakan kerana kesan euforia sama seperti penghidu gam biasa yang menyalahgunakan bahan kimia yang mengandungi toluene”.


Beliau menambah toluene terdapat dalam gam, pencair cat dan sebagainya.


TABIAT MENCETUS KEPRIHATINAN


Pemeriksaan BH di kawasan yang dinamakan oleh Encik Jamsairi pada dua hari berasingan pada Jun mendapati seramai enam hingga lapan orang dalam lingkungan usia remaja berkumpul di pondok.

BH tidak dapat pastikan sama ada kumpulan itu menyedut kanister gas butana kerana keadaan amat gelap. Tinjauan BH juga tidak dapat memutuskan perbuatan menghidu kanister gas ini satu trend yang kian diikuti remaja.

Namun, perbuatan ini tetap mencetus keprihatinan dan ia telah mendapat perhatian rakan pendamping, atau Peer Leader, bersama Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana), Encik Mohammad Hairul Borhan.


Rakan pendamping itu merupakan bekas penagih dadah yang memainkan peranan memberi sokongan moral dan emosi serta semangat kepada penagih dadah lain mengubah haluan hidup mereka.

Encik Hairul menjelaskan beliau telah dimaklumkan tentang tabiat menyedut gas butana di kalangan belia daripada rakannya baru-baru ini.

Menurutnya, tabiat ini adalah sesuatu perkara baru dan masih terlalu awal untuk mendapatkan sebarang perincian.

Beliau kini sedang dalam perancangan mencipta kandungan menerusi media sosialnya bagi meningkatkan kesedaran di kalangan ibu bapa terhadap tabiat ini agar mereka dapat awasi anak-anak mereka.

Dalam satu respons kepada BH, jurucakap Khidmat Pengurusan Ketagihan Kebangsaan (Nams) menyatakan ia jarang menerima laporan kes penyalahgunaan bahan inhalan, yang secara amnya termasuk menyedut gas butana.

Biro Narkotik Pusat (CNB) pula menyatakan butana mempunyai penggunaan industri dan komersial yang sah.

Ia menambah butana bukanlah bahan terkawal yang disenaraikan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) atau Akta Bahan Memabukkan (INSA).

Sungguhpun demikian, CNB memberi peringatan bahawa penyalahgunaan mana-mana bahan selain daripada tujuan penggunaan yang dinyatakan “mungkin mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan seseorang”.

BAHAYA BUTANA


Profesor Madya Suresh berkongsi bahawa penyedutan butana bukanlah sesuatu perkara biasa dan ia lumrahnya disebabkan pendedahan berlebihan kepada gas petroleum cecair (LPG) secara tidak sengaja.

Beliau menambah jika butana disedut secara berpanjangan, ia boleh menimbulkan kesan dan komplikasi kepada tubuh.

Katanya, kesan akut awal adalah pada aspek neurologi iaitu kekeliruan, pertuturan tidak jelas, cara jalan tidak stabil, halusinasi, sawan atau koma.

Beliau turut menjelaskan kesan akut boleh mengancam nyawa yang menjejaskan sistem kardiovaskular.

Ini menyebabkan jantung berdebar-debar, degupan jantung tidak teratur, tachycardia (denyutan jantung terlalu cepat), dan dalam kes-kes yang parah, aritmia mengancam nyawa (denyutan jantung tidak normal).


Komplikasi dan kesan kronik jangka panjang, iaitu lebih tiga bulan, juga boleh berlaku – antaranya degenerasi dan atrofi otak, neuropati periferal, kekeliruan, gaya jalan tidak normal, hilang ingatan dan demensia awal.

“Dalam senario paling teruk, ini boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, hepatitis, (menjadi) buta dan pekak,” tambah beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >