Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kerja keras dan pengorbanan berbaloi

Dec 19, 2018 | 05:30 AM



Berkat usaha keras dan kegigihan demi pendidikan, sekitar 30 individu telah menerima sijil diploma dan ijazah sarjana muda bidang syariah Islamiah daripada Pusat Pendidikan Jamiyah (JEC) dalam satu majlis konvokesyen baru-baru ini. Berita Harian meninjau perjalanan dua profil lulusan dalam mengecapi kejayaan. Laporan oleh ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg).



Kejayaan genggam sarjana muda lebih manis kerana perlu imbangi pelbagai tugas



MENGIMBANGI pengajian di peringkat universiti, pekerjaan sambilan serta kursus pengajian jauh dalam masa dua tahun tentunya mencabar bagi Cik Sharifah Bebe Hasan Bashar.



Tetapi hasil kegigihan, kemanisan akhirnya dikecapi Cik Sharifah, 25 tahun, apabila beliau akhirnya menggenggam ijazah sarjana muda.



Meskipun dengan pencapaian itu, lulusan bidang hukum daripada Universiti Islam Negeri Sumatra Utara itu masih 'dahagakan' pengetahuan baru.



Lantaran itu, anak bongsu dalam lima beradik itu berharap dapat terus meningkatkan pendidikannya agar dapat menyumbang dengan lebih baik kepada masyarakat.



Cik Sharifah juga baru sahaja tamat pengajiannya bagi sijil pentauliahan peringkat diploma lanjutan dalam bidang hadis menerusi kursus pengajian jarak jauh dari sebuah institusi Canada.



Semasa dihubungi, Cik Sharifah yang mengajar sambilan di Masjid Al-Mawaddah, menyifatkan pemerolehan ijazah sarjana muda sebagai satu kejayaan yang signifikan.



"Kejayaan ini memang bermakna sebab saya memang suka belajar dan menimba ilmu.



"Saya sedar bahawa lebih banyak yang dipelajari, lebih banyak yang saya sebenarnya tidak tahu.



"Keinginan untuk terus meluaskan pengetahuan dan terus mengikuti perkembangan ini bertambah penting dalam konteks Singapura," ujar beliau yang akan meneroka peluang kerja di Mahkamah Syariah atau bidang pendidikan.



Justeru, Cik Sharifah berharap untuk tidak putus meningkatkan pengetahuannya dalam bidang lain - seperti hadis dan Al-Quran - agar dapat mengasah pemahamannya, sekali gus dapat membantu masyarakat dengan lebih baik.



Menceritakan tentang cabaran yang dihadapi dalam perjalanan universitinya, Cik Sharifah berkata beliau harus bijak mengatur masa.



Ini kerana jadual hariannya yang padat diisi dengan tugasan sebagai pendidik dan melanjutkan pendidikan.



"Bak kata-kata hikmah yang saya pegang daripada Imam Syafie - jika kita tidak merasa kepahitan semasa belajar, makanya kita tidaklah belajar.



"Disebabkan saya bekerja pada siang hari dan menjalani pengajian universiti pada waktu malam di samping kursus jarak jauh yang mengikut waktu Canada, saya harus bijak menguruskan masa.



"Pada masa yang sama, saya juga perlu membahagikan masa untuk keluarga, terutamanya menjaga kedua orang tua saya yang sudah agak berusia," jelas beliau.



Apabila ditanya apakah inspirasi beliau di sebalik usaha mengejar kejayaan, Cik Sharifah berkata beliau mengagumi cendekiawan di zaman dahulu, yang harus mengembara demi menimba ilmu. Pengorbanan mereka demi mengisi dada dengan ilmu menjadi pembakar semangatnya.



"Kita melihat perbezaan besar di antara cendekiawan dahulu dan sekarang.



"Di zaman dulu, mereka harus bergerak dari satu tempat ke satu tempat, semata-mata mengesahkan kesahihan sesuatu dan ini kadangkala mengambil masa berbulan.



"Cabaran yang harus dilalui tidak dapat kita bayangkan. Ini yang menjadi motivasi saya di samping guru dan keluarga," tambahnya.




"Disebabkan saya bekerja pada siang hari dan menjalani pengajian universiti pada waktu malam di samping kursus jarak jauh yang mengikut waktu Canada, saya harus bijak menguruskan masa. Pada masa yang sama, saya juga perlu membahagikan masa untuk keluarga, terutamanya menjaga kedua orang tua saya yang sudah agak berusia."
- Cik Sharifah Bebe Hasan Bashar.




Pengalaman buru diploma bidang syariah buka hati mahu khidmat pada masyarakat



BIDANG syariah mungkin bukan 'cinta pertama' Encik Muhammad Syafiq Mohd Soupie.



Tetapi apabila beliau mendalami bidang itu semasa melanjutkan pelajarannya di peringkat diploma, Encik Muhammad Syafiq, 22 tahun, mula menyedari keindahannya.



Malah, ia telah memupuk minat mendalam terhadap bidang syariah dalam diri bekas pelajar Sekolah Ugama Radin Mas itu, didorong iltizam untuk berkhidmat kepada masyarakat.



Encik Muhammad Syafiq, yang meraih diploma dalam syariah Islamiah daripada Pusat Pendidikan Jamiyah (JEC), menceritakan beliau pada mulanya memilih melanjutkan pendidikan dalam bidang Al-Quran.



"Namun akhirnya saya terpaksa mengambil bidang syariah dan ia telah membuka mata saya bagaimana bidang itu saling melengkapi bidang Al-Quran dan sebenarnya tidak boleh dipisahkan.



"Saya lebih memahami bagaimana syariah itu merangkumi semua aspek kehidupan dan betapa pentingnya bidang ini.



"Pengalaman juga menunjukkan bahawa apa yang saya belajar ini sebenarnya bukan sahaja penting untuk diri sendiri tetapi untuk masyarakat umum di luar sana.



"Dengan lebih memahami syariat Islam, saya juga dapat memberi pemahaman lebih baik kepada orang lain sebagai seorang asatizah," ujarnya yang merupakan imam dan bilal sambilan di Masjid Kassim dan Masjid Abdul Aleem Siddique dan mengajar Al-Quran di rumah-rumah.



Malah, pengalaman tersebut telah membuka hatinya untuk menceburi bidang kaunseling dan sokongan keluarga pada satu hari nanti.



Harapan Encik Muhammad Syafiq ialah untuk ke menara gading dan melanjutkan pengajiannya ke peringkat universiti dalam masa setahun dua ini.



"Matlamat saya pada masa depan adalah untuk memberi sokongan kepada keluarga Melayu/Islam kita, menerusi khidmat seperti kaunseling.



"Sebab saya perhatikan memang ada banyak keluarga memerlukan khidmat seperti ini, dan saya boleh menyumbang dalam hal ini," terang anak keempat dalam keluarga lima beradik itu



Berhubung peri-pentingnya menimba ilmu daripada sumber yang sahih, Encik Muhammad Syafiq berkata ini semakin penting di dalam era Internet hari ini.



"Daripada pengalaman menjalani Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), saya sedar pentingnya untuk kita memastikan anak muda mendapat bimbingan agama yang betul.



"Ini agar fahaman ekstremis tidak berleluasa, dan ini amat penting khususnya dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Singapura," tegasnya.



Dalam berkongsi panduan mencapai kejayaan, Encik Muhammad Syafiq menekankan bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya dan "seseorang itu perlu ada minat dan keinginan yang ikhlas untuk belajar".




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >