Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DANA AMANAH ANAK KEPERLUAN KHAS

Keluarga lega sumber kewangan anak istimewa lebih terjamin

Feb 02, 2019 | 05:30 AM



SEBAGAI seorang ibu, fikirannya runsing memikirkan masa hadapan anak sulungnya yang berkeperluan khas.



Pada usia 16 tahun, Nur Harlina Mohamad Nahar masih tidak mampu bertutur dan harus sentiasa dipimpin ibu atau bapanya apabila berjalan di luar.



Menurut ibunya, Cik Lenny Marlina Kamsani, walaupun dilahirkan sihat secara normal, doktor mendapati perkembangan Harlina agak lambat pada usia enam bulan.



Ibu bapa gadis tersebut kemudian diberitahu bahawa anak mereka itu kurang upaya dari segi intelek.



"Saya bimbang, siapa yang akan jaga beliau nanti apabila kami berdua sudah tiada?



"Beliau tak boleh berbual, jadi agak sukar untuk cari kerja. Kalau tidak bekerja tiada CPF (Tabung Simpanan Pekerja) jadi tidak ada rumah, susah dia nak hidup nanti," kata Cik Lenny Marlina, 34 tahun, sambil mengesat air mata yang mengalir.



Maka itu, Cik Lenny Marlina memutuskan untuk mencari cara bagi memastikan makan, minum dan keperluan anaknya itu tetap dijaga pada masa hadapan, walaupun tanpa kehadiran ibu bapanya.



Apabila mendapat tahu tentang khidmat yang ditawarkan Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC), Cik Lenny Marlina langsung melalui proses membuka akaun dana amanah khusus buat anaknya.



SNTC merupakan syarikat dana amanah tidak mencari keuntungan yang ditubuhkan pada 2008 dengan sokongan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).



Khidmat teras mereka adalah untuk menyediakan khidmat amanah bagi keluarga berpendapatan sederhana atau rendah yang ingin menyediakan sokongan kewangan berterusan kepada anggota keluarga berkeperluan khas.



Enam bulan lalu, Cik Lenny Marlina membuka akaun dana amanah untuk Harlina dan berkata beliau rasa agak lega selepas itu.



Rasa lega itu bertambah apabila diberitahu tentang Skim Dana Amanah Keperluan Khas Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di mana Muis akan menaja sehingga $10,000 bagi setiap individu kurang upaya untuk menggalak ibu bapa atau penjaga memulakan akaun dana amanah.



Sebanyak $1 juta akan disalurkan Muis kepada Skim Dana Amanah Keperluan Khas yang dijangka dimanfaatkan seramai 100 keluarga yang mempunyai anggota berkeperluan khas.



"Dengan wujudnya dana amanah untuk Harlina, kita boleh berusaha kumpul sedikit demi sedikit, kerana memang banyak dana yang diperlukan untuk membiayai keperluan harian beliau.



"Saya tak nak di saat-saat akhir nanti kelam kabut memikirkan anak saya tidak ada orang jaga nanti," kata Cik Lenny Marlina yang bekerja dalam bidang perkapalan.



Suami Cik Lenny Marlina, Encik Mohamad Nahar Johari, 37 tahun, bekerja sebagai pemandu kenderaan 'prime mover' dan secara bersama, mereka berharap dapat menambah jumlah dana dalam akaun tersebut melalui suntikan wang, pencalonan insurans dan CPF.



Langkah yang sama turut dilakukan oleh Cik Zarifah Osman, 45 tahun, dan suaminya Encik Abidin Mahmood, 50 tahun, yang turut prihatin akan masa hadapan anak bongsu mereka, Cik Nazurah yang kini berusia 21 tahun dan kurang upaya dari segi intelek.



Cik Zarifah dan suami telah memulakan akaun dana amanah untuk anaknya itu sejak 2013, antaranya bagi memastikan sesi terapi pertuturan Cik Nazurah diteruskan meskipun setelah mereka meninggal dunia.



Beliau turut mengalu-alukan langkah Muis memperkenalkan skim tersebut.



"Saya berasa gembira dan tersentuh apabila mendengar tentang inisiatif ini kerana dengan ini kita dapat merasakan bahawa masyarakat kita sendiri membantu dan menyokong kita dalam menghadapi keadaan ini," katanya, seorang suri rumah.



Beliau turut menggalakkan lebih ramai keluarga yang menjaga anggota berkeperluan khas agar memulakan akaun dengan SNTC.



"Ramai yang beranggapan kalau nak buka akaun dana amanah perlu bayar wang pendaftaran atau bulanan yang mahal, tetapi sebenarnya harga yang dikenakan SNTC boleh dimampui dan ia dapat membantu usaha kita menjaga kesejahteraan anak-anak kita pada masa hadapan."



Mereka yang berminat menyertai skim tersebut boleh menghubungi SNTC di talian 6278-9598 untuk mengatur sesi janji temu.



Maklumat lanjut boleh didapatkan di laman Muis www.muis.gov.sg dan laman SNTC di www.sntc.org.sg.




CARA SERTAI SKIM DANA AMANAH KEPERLUAN KHAS MUIS



1) Hubungi Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC) untuk mengatur janji temu dengan Pengurus Kes. Hubungi talian 6278-9598.



2) Ibu bapa/penjaga individu berkeperluan khas harus mengunjungi SNTC.



3) SNTC akan mengendalikan penilaian keperluan menyeluruh, mengenal pasti kelayakan skim tersebut dan membentuk Rancangan Penjagaan.



4) Apabila permohonan diluluskan, Muis akan mengagihkan $5,000 bagi setiap akaun dana amanah yang dibuka.



5) Ibu bapa/penjaga menyuntik aset sendiri ke dalam akaun dana amanah tersebut.



6) Muis akan memadankan jumlah yang disuntik sehingga $5,000 bagi setiap akaun berdasarkan jumlah yang disalurkan.



KRITERIA KELAYAKAN:



1) Individu yang bakal meraih manfaat daripada dana amanah itu menepati definisi SNTC berkaitan "individu berkeperluan khas" sepertimana diluluskan oleh Pejabat Pemegang Amanah Awam (PTO) Singapura.



2) Pendapatan keluarga tidak boleh melebihi $8,000 dengan pendapatan per kapita tidak melebihi $2,000.



3) Ibu bapa/penjaga yang akan menyalurkan aset ke akaun tersebut berusia 21 tahun ke atas dan tidak muflis.



4) Penerima manfaat dana amanah beragama Islam.



5) Penerima manfaat dana amanah adalah warga Singapura atau penduduk tetap di Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >