Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kepercayaan warga S’pura kekal tinggi, PAP perlu belajar dari kesilapan: DPM Wong

Aug 14, 2023 | 07:49 PM



Kepercayaan warga Singapura terhadap pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) kekal di tahap tinggi meskipun susulan beberapa kejadian yang “mengganggu” kedudukan parti tersebut kebelakangan ini, menurut Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini memandangkan hubungan antara warga dan pemerintah Singapura mula dijalin dengan asas kepercayaan tinggi, kata Encik Wong dalam satu dialog pada Isnin.

Dialog tersebut merupakan sebahagian daripada sidang Reinventing Destiny yang diadakan di Pusat Ekspo & Konvensyen Singapura Marina Bay Sands bagi memperingati ulang tahun ke-100 Perdana Menteri Pengasas Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew.


Menurut Encik Wong, keutamaan parti itu kini adalah untuk mengekalkan serta mengukuhkan keyakinan warga Singapura terhadapnya apabila tiba Pilihan Raya.

Beliau berkata demikian dalam respons terhadap pertanyaan moderator dialog tersebut, Dr Fareed Zakaria, yang juga hos program Fareed Zakaria GPS di CNN.


Dr Fareed bertanya sama ada beliau mampu membersihkan imej PAP bagi “memastikan parti itu mengembalikan kuasanya yang hampir menyeluruh” di Singapura, terutama sekali susulan beberapa kejadian yang menjejas kedudukan parti itu.

Menekankan PAP tidak memiliki kuasa hampir menyeluruh di Singapura, Encik Wong – yang juga Menteri Kewangan – berkata persaingan politik semakin meningkat dan ini sesuatu yang sudah dijangkakan.

PAP perlu muhasabah, belajar dari kesalahannya dan bangkit lebih kukuh daripada pengalaman itu serta melakukan sedaya mungkin bagi mengekalkan keyakinan dan kepercayaan warga Singapura, tambahnya.

“Saya percaya kita bermula dengan asas kepercayaan tinggi antara warga dan pemerintah PAP, dan tahap kepercayaan itu masih wujud.

“Keutamaan saya kini adalah untuk melihat bagaimana saya mampu memperkukuh kepercayaan dan modal sosialnya, untuk memastikan kita dapat kekalkan keyakinan mereka (terhadap parti) apabila tiba Pilihan Raya,” ujarnya.

Menyentuh tentang pengajaran yang diraih daripada kejadian-kejadian tersebut, Encik Wong berkata kesilapan serta kegagalan yang dialami seharusnya menjadi dorongan untuk melakukan yang lebih baik.

“Apabila semua berjalan lancar dan kita dipuji terbaik, nombor satu, penting untuk kita tidak terlalu lalai dengan pujian. Keadaan tidak akan terus berjalan lancar, pasti akan ada kesilapan, dan bila ia berlaku kita perlu belajar dari kejadian itu,” kata Encik Wong.

Menyentuh tentang pendekatan populis yang diambil banyak negara, Dr Fareed bertanya sama ada Singapura mungkin perlu melakukan perkara sama dan melakar ‘dasar populis’.

Encik Wong berkata tekanan untuk berbuat demikian terus wujud.

Ini terutama sekali dalam dunia di mana maklumat begitu mudah diperolehi, dan “semua orang merasakan mereka boleh menjadi pakar”.

“Kita kini berada dalam persekitaran di mana lebih banyak idea bertentangan timbul bagi setiap keputusan yang diambil berkaitan dasar baru. Semakin sukar untuk kita melakar dasar yang diterima semua.”

Namun, Encik Wong menekankan sebagai pemimpin pasukan ‘4G’ PAP, beliau perlu memikirkan yang terbaik bagi Singapura untuk jangka masa lebih panjang dalam melakar dasar.

Menjawab pertanyaan peserta dialog itu berkaitan usaha membina kepercayaan dan keyakinan di peringkat domestik dan antarabangsa, Encik Wong berkata Singapura terkenal dengan cara serta tindakannya yang konsisten, berprinsip dan boleh dipercayai.

Di Singapura, kepercayaan dibina apabila pemerintah dapat memastikan setiap penduduk, tidak kira latar belakang, dapat meraih manfaat daripada kejayaan negara, katanya.

Ini selain memastikan semua warga berasa mereka dapat menyumbang kepada pembentukan masa depan Singapura.

Katanya: “Ini yang kami usahakan kini secara konsisten. (Pemerintah) kini menyemak dasar untuk melihat bagaimana kita dapat memperkukuh keyakinan warga Singapura.

“Ini dilakukan melalui inisiatif Forward Singapore (Melakar Hala Tuju Singapura) untuk memperbaharui kompak sosial dan membuat perubahan pada dasar sosial bagi tujuan itu.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >