LULUSAN sekolah menengah baru-baru ini akan mengetahui sekolah mana mereka bakal ditempatkan pada 2 Februari ini, apabila keputusan Pendaftaran Kemasukan Bersama (JAE) dikeluarkan.
Keputusan latihan penempatan sekolah itu, di mana lulusan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' ditempatkan mengikut pelbagai institut posmenengah seperti maktab rendah, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan dikeluarkan mulai 9 pagi, umum Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan semalam.
Pelajar boleh mendapat keputusan mereka melalui SMS atau laman web JAE, ujar MOE.
Pada 12 Januari, kira-kira 23,684 pelajar menerima keputusan GCE peringkat 'O' mereka. Daripada jumlah itu, 23,625 - atau 99.8 peratus - meraih satu atau lebih kelulusan.
Pelajar yang ditempatkan di maktab rendah atau Institut Millennia (MI) mesti melaporkan diri ke institusi masing-masing pada pagi Jumaat, 3 Februari.
Pemohon harus melihat laman web sekolah baru mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut seperti butiran laporan dan pembelian pakaian seragam, kata MOE.
Mereka yang ditempatkan ke politeknik atau ITE akan menerima e-mel atau pakej melalui mel mengenai butiran pendaftaran pada akhir Februari.
Pelajar yang ingin membuat rayuan pertukaran ke maktab rendah lain harus menghubungi sekolah secara langsung, manakala mereka yang ingin bertukar antara politeknik atau ITE perlu menggunakan portal rayuan dalam talian.
Mereka yang tidak ditempatkan ke mana-mana kursus juga digalak mengemukakan rayuan melalui portal sama, tambah kenyataan itu.