Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kesemua 900 kuota rasmi haji S’pura dipenuhi: Masagos

Jun 19, 2023 | 07:04 PM



Kesemua 900 kuota rasmi haji yang telah diperuntuk kepada Singapura oleh Kerajaan Arab Saudi telah dipenuhi.

Demikian diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa menghantar 234 jemaah haji dari Hahnemann Travel, Jalaluddin Travel dan TM Fouzy Travel di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada Isnin untuk berangkat ke Tanah Suci.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi kerana telah memberikan visa kepada jemaah kami untuk menunaikan ibadah haji.

“Kami akan terus berusaha untuk mendapatkan lebih banyak visa. Bagi mereka yang masih belum terkabul niat mereka untuk menunaikan ibadah haji, insya-Allah akan dapat menunaikannya pada tahun-tahun akan datang.”

Di kalangan 900 jemaah yang akan menunaikan ibadah haji tahun ini, lebih setengah daripada mereka, atau 500, telah berjaya menjalani program kesihatan Get Fit For Haj untuk mempersiapkan diri secara fizikal dan mental bagi menjalani ibadah haji dengan selamat.


Program Get Fit For Haj itu adalah sebuah usaha baru di bawah inisiatif M3 dan dikelola oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) dan ejen penjualan (GSA) pakej haji.


Meskipun ia bukan program mandatori, program tersebut mendapat sambutan yang baik oleh para jemaah. Mengulas tentang program tersebut, Encik Masagos berkata:

“Tahun ini, kita mempunyai suatu usaha yang baru, di mana kita mahu para jemaah semua sihat sebelum mereka berangkat untuk menunaikan ibadah haji. Ini kerana ibadah haji ini sangat fizikal dan juga (mempunyai) tekanan mental dalam hari-hari di Arafah.

“Dan kami telah memberikan GSA dan juga HPB satu misi untuk meningkatkan lagi kesedaran jemaah tentang perlunya kesihatan dan langkah-langkah untuk mendapat kesihatan yang terbaik sebelum mereka berangkat,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan.

Turut hadir untuk menghantar jemaah haji adalah Duta Besar Arab Saudi ke Singapura, Encik Abdullah Mohammed A. AlMadhi; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selaku ketua delegasi haji Singapura, Encik Saat A. Rahman; dan Ketua Eksekutif Muis selaku Ketua Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO), Encik Kadir Maideen.

Encik Saat dan Encik Kadir, yang berlepas bersama jemaah pada Isnin, akan berada di Arab Saudi dari 19 Jun hingga 15 Julai. Seramai 29 anggota SPAO juga dikerah untuk memberikan perkhidmatan perubatan dan kebajikan kepada jemaah haji Singapura di sana.

Mengulas tentang keprihatinannya sebagai ketua delegasi haji Singapura, Encik Saat berkata beliau akan menumpukan lebih banyak perhatian kepada jemaah yang lebih berumur dan yang mempunyai penyakit kronik supaya mereka akan dapat menjalankan ibadah haji dengan selamat.

“Bagi saya, ini suatu tanggungjawab yang besar kerana kita mempunyai bilangan jemaah yang besar tahun ini, dan ramai di antara mereka adalah warga emas. Namun demikian, SPAO, khususnya pasukan perubatan kami, akan terus memantau kebajikan mereka.

“Saya gembira ramai jemaah telah menyertai program kesihatan prakeberangkatan untuk mempersiapkan diri secara fizikal dan mental. Jemaah juga lebih prihatin tentang kesihatan mereka dan akan berjaga-jaga,” kata Encik Saat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >