Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ketua Hakim kepada peguam: Pastikan piawaian profesional dan etika tidak merosot

Jan 10, 2023 | 05:30 AM



PERBUATAN melanggar piawaian profesional dan etika oleh peguam jelas telah bertambah dan profesion itu perlu bertindak bersama untuk memastikan piawaian itu tidak akan merosot, kata Ketua Hakim, Encik Sundaresh Menon.



Berucap di satu upacara tahunan untuk menandakan permulaan tahun perundangan semalam, Encik Menon berkata:



"Kemerosotan piawaian profesional dan etika boleh bertambah teruk jika kita tidak giat memupuk nilai yang harus membentuk profesion kami.



"Kemerosotan dalam piawaian tidak boleh dan tidak akan diterima. Oleh itu, kami harus bertindak bersama untuk mengelak ini daripada berlaku."



Upacara tersebut berlangsung di auditorium Mahkamah Agung, dengan sekitar 300 anggota masyarakat perundangan menghadirinya secara fizikal selepas ia berlangsung dalam talian dan dalam bentuk hibrid bagi dua tahun sebelum ini.



Encik Menon menarik perhatian jumlah tribunal disiplin yang kian bertambah, dengan 12 tribunal disiplin dibentuk pada 2018 untuk menyiasat aduan terhadap peguam secara rasmi, 13 tribunal pada 2019, 16 pada 2020, 28 pada 2021 dan 25 pada 2022.



Tambahnya, adalah penting peguam berpegang kukuh pada nilai kejujuran, kewibawaan dan bakti, di tengah-tengah perubahan yang menjejas profesion itu.



Beliau turut menarik perhatian tiga trend yang tampil daripada kes disiplin itu, termasuk piawaian yang merosot dari segi menjaga anak guam.



Dalam banyak kes, beliau berkata peguam bertindak berbeza daripada arahan anak guam, gagal memastikan anak guam mereka termaklum tentang prosiding sewajarnya, atau bertindak tidak mengikut kepentingan anak guam.



Trend kedua yang dilihatnya ialah piawaian profesional yang lemah, dengan antara kes termasuk peguam yang gagal mematuhi peraturan untuk mengendali firma guaman, memberi bukti palsu bagi pelaksanaan dokumen, serta sengaja melanggar ikrar peguam.



Encik Menon turut menarik perhatian trend sifat tidak mempedulikan proses mahkamah, lebih-lebih lagi dalam bidang keadilan jenayah, dengan peguam yang meminta berulang kali untuk membuka semula kes yang membawa hukuman mati atas sebab yang tidak tepat pada saat-saat akhir.



Tambahnya, beliau telah meminta Hakim, Cik Valerie Thean, dan Peguam Kanan, Encik Jimmy Yim, untuk menerajui pasukan yang akan membangunkan strategi untuk kembali menarik perhatian kepada piawaian moral serta nilai profesion perundangan bagi mereka yang baru dan sudah lama berkhidmat.



Encik Menon berkata beliau juga ingin kumpulan tersebut mempertimbang kesan perubahan yang timbul sepanjang tiga tahun lalu, daripada perspektif kesejahteraan profesional dan etika profesion itu.



"Profesion undang-undang ini bukan sahaja cara meraih pendapatan. Sebaliknya, ia seruan untuk menyertai dalam proses pentadbiran keadilan," ujarnya.



Tambahnya, beliau juga telah merenungkan hal ini apabila mendengar tentang kes sekumpulan peguam pelatih yang didapati menipu dalam beberapa kertas peperiksaan bagi Bahagian B peperiksaan Peguam mereka pada 2020.



"Saya rasa kita perlu menekankan hakikat yang tidak dapat dielak bahawa keputusan menjadi peguam melibatkan juga pilihan untuk hidup dengan nilai kejujuran, kewibawaan dan bakti baik dalam kerjaya individu kita mahupun kes yang dikendali atau semasa menduduki peperiksaan," kata Encik Menon.



Di upacara semalam, beliau turut mengumumkan dua Peguam Kanan baru.



Mereka ialah pengarah kanan di Divisyen Jenayah Pejabat Peguam Negara (AGC), Encik Wong Woon Kwong, serta timbalan rakan kongsi pengurusan dan ketua timbang tara antarabangsa di firma guaman Rajah & Tann Singapore, Encik Kelvin Poon.



Dalam pada itu, Presiden Persatuan Guaman Singapura, Encik Adrian Tan, berkata keahlian persatuan itu telah menguncup buat kali pertama dalam lima tahun.



Antara 2017 dengan 2021, beliau berkata keahlian persatuan itu bertambah hingga mencapai 6,333 ahli pada 2021.



Namun tahun lalu, jumlahnya merosot hingga mencapai 6,273 ahli.



Ini antara lain disebabkan peguam muda yang meninggalkan kerjaya tersebut selepas kurang lima tahun.



Tambahnya, kajian antarabangsa menunjukkan bahawa kemerosotan jumlah peguam itu bukan masalah yang unik kepada Singapura.



Namun menurut Encik Tan, persatuan itu juga telah mengarahkan satu kajian dijalankan untuk menyiasat sebab di sebalik kemerosotan tersebut.




"Profesion undang-undang ini bukan sahaja cara meraih pendapatan. Sebaliknya, ia seruan untuk menyertai dalam proses pentadbiran keadilan.



...Saya rasa kita perlu menekankan hakikat yang tidak dapat dielak bahawa keputusan menjadi peguam melibatkan juga pilihan untuk hidup dengan nilai kejujuran, kewibawaan dan bakti baik dalam kerjaya individu kita mahupun kes yang dikendali atau semasa menduduki peperiksaan."



- Ketua Hakim, Encik Sundaresh Menon.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >