Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kin Lian ingin kerjasama dengan pemerintah, bentuk hidup lebih baik bagi warga

Aug 30, 2023 | 09:00 PM



Calon Presiden Encik Tan Kin Lian berkata beliau ingin menyampaikan keprihatinan warga kepada pemerintah – terutama sekali berkaitan isu kos kehidupan – demi membantu membentuk kehidupan lebih baik bagi warga Singapura jika dipilih sebagai Presiden.

Semasa menyampaikan perutusannya dalam siaran calon presiden kedua pada Rabu, Encik Tan menekankan beliau sedar bidang kuasa Presiden agak terhad, namun berharap dapat bekerjasama dengan pemerintah dalam mencapai matlamat tersebut.

“Saya akan bertindak secara bebas daripada pemerintah dan melakukan sedaya mungkin untuk menyampaikan pandangan warga kepada pemerintah dan membantu pemerintah mencari jalan bagi memastikan kehidupan yang lebih baik bagi warga Singapura.

“Saya sedar Presiden tidak mempunyai kuasa eksekutif berkaitan perkara-perkara ini. Meskipun demikian, saya percaya matlamat ini boleh dicapai menggunakan pengaruh tidak langsung dan prestij jawatan Presiden.

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan pemerintah dalam mencapai matlamat bersama demi kebaikan Singapura,” kata beliau.

Menurutnya, kehidupan sukar yang pernah dilaluinya sebelum ini membantu beliau memahami keprihatinan serta masalah yang dihadapi warga Singapura.

Katanya, keprihatinan tersebut telah disampaikan kepadanya semasa beliau membuat kunjungan dan bertemu penduduk semasa berkempen.

“Saya telah bertemu ramai penduduk yang memberitahu saya tentang kesukaran yang mereka hadapi disebabkan kos kehidupan yang meningkat sejak kebelakangan ini.

“Ramai warga lebih muda juga memberitahu saya bahawa mereka tidak merancang untuk berkahwin disebabkan kos perumahan tinggi dan kesukaran yang mereka hadapi dalam mencari pekerjaan yang memberikan gaji yang lebih baik,” katanya.

Encik Tan turut menekankan pengalaman serta pengetahuan yang diraih selama bertugas – termasuk khidmatnya selama lebih 30 tahun di NTUC Income – dapat membantunya menjalankan tugas utama sebagai Presiden dalam memelihara rizab negara.

Mengulas lanjut, Encik Tan berkata di bawah kepimpinannya, beliau berjaya mempengaruhi keputusan yang dapat memberi manfaat kepada orang biasa, terutama sekali untuk membantu mereka menghadapi masa sukar.

“Presiden perlu mengutamakan keperluan negara dan warga. Beliau juga perlu komited terhadap tugas dan tanggungjawab dalam jawatan tinggi ini, memahami keperluan orang biasa dan berkhidmat tanpa rasa takut dan sikap berat sebelah.

“Presiden juga bertanggungjawab dalam memelihara rizab negara.Untuk melakukan demikian, beliau perlu berupaya berfikiran bebas, memiliki pengetahuan kewangan yang baik dan integriti serta rasa bertanggungjawab terhadap warga,” kata Encik Tan.

Menyentuh tentang kehidupan peribadinya pula, Encik Tan berkata beliau amat menghargai kehadiran keluarganya – termasuk isteri, tiga anak dan lima cucunya – dan akan memainkan peranan sebagai Presiden yang akan terus menegakkan nilai keluarga yang penting yang menjadi teras masyarakat.

Encik Tan menambah bahawa beliau seorang yang aktif dan peramah dan gemar berkongsi tentang aktiviti hariannya serta pengamatannya mengenai kehidupan harian, namun meminta maaf jika apa yang pernah dikatakan sebelum ini menyinggung perasaaan.

“Saya tidak pernah bermaksud untuk menyinggung perasaan sesiapa yang saya temui. Kepada semua yang mendapati apa yang telah saya katakan sebelum ini menyinggung perasaan atau tidak sesuai, saya benar-benar minta maaf.

“Saya akan lebih berhati-hati dengan apa yang saya katakan pada masa hadapan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan semua penyokong saya yang memahami dan memberi sokongan mereka,” ujarnya semasa menyampaikan mesej kempen yang disiarkan di televisyen dan radio pada Rabu.

Siaran politik pada Rabu itu dimulakan Encik Tan, disusuli Encik Tharman Shanmugaratnam dan kemudian Encik Ng Kok Song.

Sebelum itu, setiap calon presiden juga telah menyampaikan mesej kempen mereka melalui satu siaran politik pada 24 Ogos.

Lebih 2.7 juta warga Singapura akan keluar mengundi pada 1 September untuk memilih Presiden kesembilan negara ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >