Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rapat dalam talian dibatal kerana sumber terhad: Kin Lian

Aug 29, 2023 | 07:46 PM



Calon Presiden, Encik Tan Kin Lian, telah memutuskan untuk membatalkan rapat dalam talian pada Rabu kerana mempunyai beberapa keutamaan yang bercanggah, kata beliau.

Dalam kenyataan yang dikongsi bersama pihak media pada Selasa, Encik Tan berkata pasukan kempen beliau perlu mematuhi dengan formaliti di bawah peraturan pilihan raya.

Disebabkan sumber terhad, beliau membuat keputusan untuk “memberi tumpuan kepada usaha memenuhi peraturan” tersebut, tambah Encik Tan, tanpa memberi butiran mengenai peraturan itu.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua sukarelawan dalam kempen saya, ahli keluarga saya, penyumbang dana dan lain-lain (termasuk pihak media) yang telah bantu saya,” tambah beliau.

Encik Tan pada Isnin mengumumkan bahawa beliau telah membatalkan semua sesi bertemu orang ramai yang telah dijadualkan awal minggu ini.

Awal daripada itu, Encik Tan, yang merupakan mantan ketua eksekutif NTUC Income, telah memberitahu media beliau akan mengadakan kunjungan ke Pusat Makanan Boon Lay pada Isnin dan Pusat Makanan Ayer Rajah pada Selasa.

Namun, pada Ahad malam, pasukan Encik Tan memaklumkan wartawan melalui mesej kumpulan WhatsApp bahawa tiada kunjungan, sesi temu mesra mahupun temu ramah bersama beliau akan diadakan dari Isnin hingga Rabu.

Menyusuli itu, pasukan perhubungan Encik Tan berkata beliau boleh dijangka menyertai beberapa relawan yang mengagih-agihkan risalah kempen kepada penduduk di beberapa estet perumahan dan stesen MRT.

Namun pada Selasa, pasukan perhubungan memberitahu media bahawa Encik Tan tidak akan menyertai kumpulan tersebut.

Sungguhpun demikian, para sukarelawan bagi kempen beliau giat mengagih risalah kepada penduduk, sejajar dengan tumpuan terkini pasukannya dalam usaha pengagihan risalah kempen.

Menurut kenyataan pasukan kempen Encik Tan, pasukannya akan “tumpukan usaha mengedarkan risalah kempen di kawasan perumahan HDB dan stesen MRT di seluruh Singapura” sehingga Rabu sebelum Hari Bertenang, iaitu pada Khamis.

Pada hari tersebut, sebarang kegiatan berkempen tidak boleh dijalankan.

Dengan masa kian suntuk sebelum Hari Bertenang dan menukil laporan The Straits Times, pengurus kempen Encik Tan, Encik Allan Yeo, berkata matlamat kini adalah untuk menjangkau pengundi yang tidak ada media sosial.


Beliau menambah rancangannya adalah untuk mengedarkan 30,000 risalah kepada penduduk yang tinggal di sebelah barat Singapura pada Selasa sebelum beredar ke kawasan lain pada Rabu.

“Kami sedang cuba mencapai kesepakatan: Kami telah lakukan podcast untuk mereka yang berusia lebih muda, pusat penjaja bagi mereka yang lanjut usia.

Risalah sedemikian adalah bagi mereka yang tidak ada media sosial,” jelasnya.

Dalam kenyataannya pada Selasa, Encik Tan turut memohon maaf jika sebarang hujahnya sebelum ini dianggap kurang tertib atau mengecewakan.

“Saya akan bersikap lebih prihatin mengenai apa yang saya lakukan dan katakan di masa depan,” kata beliau.

Di awal kempen ini, beberapa kiriman media sosial yang pernah diterbitkan Encik Tan dikongsi semula oleh warganet, yang mendorongnya berkata ada kempen untuk mencemari namanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, telah mengumumkan secara rasmi sokongannya kepada Encik Tan bagi Pilihan Raya Presiden 2023.

Beliau turut mendapat sokongan Encik Tan Jee Say dan merupakan pencadang bagi kempen Encik Tan Kin Lian.

Encik Tan Jee Say, pernah menyertai Parti Demokratik Singapura (SDP) dan kemudian menubuhkan Parti Singaporeans First (SingFirst atau Warga Diutamakan).

Oleh demikian, Encik Tan Kin Lian telah berjaya mendapat sokongan daripada kededua mereka yang juga calon Pilihan Raya Presiden sebelum ini yang bertanding bersamanya pada 2011.

Pilihan Raya itu dimenangi Dr Tony Tan, yang meraih 35.2 peratus undi atau sebanyak 745,693 undi.

Calon Presiden akan menyampaikan mesej kempen mereka dalam siaran calon presiden kedua pada Rabu.

Lebih 2.7 juta warga Singapura akan keluar mengundi pada Jumaat bagi menentukan Presiden Singapura yang kesembilan.

Ini merupakan Pilihan Raya Presiden pertama yang dipertandingkan sejak 2011.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >