Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kin Lian mahu bekerjasama, tiada niat musuhi pemerintah

Aug 24, 2023 | 07:30 PM



Calon presiden, Encik Tan Kin Lian, tiada niat mahu menjadi ‘musuh’ sebaliknya mahu bekerja rapat dengan pemerintah demi melindungi rizab negara dan mengukuh kewibawaan perkhidmatan awam.

Menyampaikan perutusan kempen beliau dalam siaran di televisyen dan radio pada Khamis, Encik Tan berkata sekiranya dipilih sebagai presiden, beliau akan memastikan dua tugas utama tersebut akan dilaksanakan “dengan bersungguh-sungguh, jujur, dan sebaik mungkin”.

“Harus saya perjelaskan bahawa tiada niat saya untuk menjadi musuh kepada pemerintah yang dipilih. Sebaliknya, saya berharap dapat bekerjasama dengan pemerintah untuk mencapai matlamat yang dinyatakan di atas,” kata beliau.

Encik Tan, mantan ketua pegawai eksekutif NTUC Income, antara tiga calon yang bakal bertanding bagi jawatan Presiden. Dua calon lain ialah mantan ketua pegawai pelaburan badan pelaburan negara GIC, Encik Ng Kok Song; dan mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam.

Lebih 2.7 juta warga Singapura akan keluar mengundi pada 1 September untuk memilih Presiden kesembilan negara ini.

Dalam urusan melindungi rizab, Encik Tan berkata selain memastikan rizab masa lalu dilaburkan secara berhemat, beliau berhasrat bekerjasama dengan pemerintah demi memastikan ia digunakan dengan bijak bagi manfaat generasi sekarang dan akan datang.

“Rizab masa lalu kita terdiri daripada jumlah besar yang mungkin mencecah beberapa ratus bilion dolar, dan mungkin lebih.

“Adalah amat penting rizab dilaburkan dengan baik untuk menghasilkan kadar pulangan yang bagus dalam jangka masa yang panjang, meliputi lima tahun atau lebih, dan tidak terdedah kepada risiko tinggi,” kata beliau.

Dalam tugas melindungi kewibawaan perkhidmatan awam pula, Encik Tan menekankan peri penting mempunyai kepelbagaian individu, yang terdiri daripada mereka yang berbakat hingga yang mempunyai pengalaman praktikal, dalam membentuk pasukan yang baik di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Meskipun sumbangan cendekiawan berfikiran cemerlang harus terus dihargai, beliau berkata mereka yang berpengetahuan dan berpengalaman yang telah mendedikasikan bertahun-tahun lamanya di tempat kerja sehingga terbentuk pemahaman yang mendalam juga harus dihargai.

“Saya ingin melihat peluang diberikan kepada mereka yang telah menimba pengetahuan dan pengalaman praktikal melalui dedikasi lama dalam perkhidmatan, agar mereka dapat maju ke jawatan kepimpinan,” kata beliau.

Sekiranya dipilih sebagai Presiden, beliau berkata faktor tersebut akan diambil kira dalam meluluskan cadangan ketika ingin melantik individu ke peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam.

“Dengan pengetahuan dan pengalaman selama 30 tahun sebagai ketua pegawai eksekutif Koperasi Insurans NTUC Income, saya yakin bahawa saya akan dapat melaksanakan dua tugas utama ini dengan baik. Saya berhasrat berbuat demikian untuk kepentingan rakyat Singapura,” kata beliau.

Encik Tan turut berkongsi visinya membangunkan sebuah negara dengan rakyat bersatu padu yang hidup dalam harmoni.

Beliau percaya visi tersebut akan tercapai apabila rakyat rasa terjamin dari segi kewangan dan berupaya melangkaui keprihatinan harian serta memikirkan tentang kesejahteraan lebih besar untuk masyarakat.

“Jika dipilih sebagai Presiden, saya berhasrat untuk terus dekat dengan rakyat. Saya percaya bahawa saya dapat melakukan tugas saya dengan baik jika saya terus dapat memahami mereka.

“Saya meminta sokongan rakyat untuk memberi saya mandat yang kuat supaya saya dapat memberikan perspektif bebas dan bertindak dengan kerjasama pemerintah, untuk menangani cabaran masa depan,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >