MENGHANTAR surat dan bungkusan sudah menjadi sebahagian tugas seorang posmen.
Namun, Ramadan ini, posmen dari SingPost melaksanakan satu penghantaran istimewa - menghantar sekitar 200 pek penjagaan kepada isi rumah keluarga susah di serata Singapura untuk membantu persiapan Hari Raya mereka.
Usaha ini adalah sebahagian kempen 'Silver Giftings' SingPost, dengan kerjasama empat masjid di sini - Masjid Al-Mukminin, Masjid Assyafaah, Masjid Wak Tanjong dan Masjid Darul Ghufran.
Pek penjagaan yang diagih merangkumi kuih-muih Hari Raya, barang makanan asas seperti beras serta makanan dalam tin dan baucar runcit.
Sekitar 100 kakitangan SingPost terlibat dalam kerja membungkus dan mengagihkan pek penjagaan tersebut, termasuk posmen relawan yang membuat penghantaran pek penjagaan ke depan pintu rumah benefisiari.
Antara posmen yang tampil menyingsing lengan dalam inisiatif itu yang diadakan Sabtu lalu ialah Encik Khairul Nazmi, 33 tahun.
Encik Khairul, yang telah lapan tahun bekerja di SingPost, terdorong untuk turut sama kerana mahu mendekati masyarakat Singapura dan berbakti kepada syarikatnya.
"Saya gembira dapat lihat penerima bantuan ini senang hati selepas menerima habuan daripada SingPost dan juga berterima kasih kepada SingPost kerana memberi saya peluang ini untuk menyebar kegembiraan sempena Hari Raya," tambahnya.
Pengagihan pek penjagaan pada Sabtu lalu itu merupakan inisiatif kedua 'Silver Giftings'.
Sebelum ini, SingPost turut mengagihkan pek penjagaan kepada golongan susah semasa Tahun Baru Cina pada Februari tahun ini.
Pegawai ketua kumpulan jenama dan perhubungan SingPost, Encik Robin Goh, berkata:
"SingPost komited untuk menjaga golongan susah dan rentan dalam masyarakat kita.
"Bagi sesetengah warga emas rentan, keadaan mereka mungkin tidak membenarkan mereka menikmati kemeriahan yang kita anggap biasa misalnya makanan mewah.
"Ada yang perlu bekerja semasa tempoh perayaan ini. Oleh itu, kami ingin memainkan peranan kecil kami dengan membawa keceriaan perayaan kepada mereka."
Encik Goh menambah keempat-empat masjid terlibat dalam usaha itu membantu SingPost mengenal pasti penerima pek penjagaan.
Masjid-masjid ini juga menyarankan kandungan dalam pek penjagaan tersebut.
Ini bermakna terdapat empat pek penjagaan yang unik, yang disusun mengikut saranan setiap masjid, jelasnya.
Naib pengerusi Masjid Al-Mukminin, Dr Subari Sukaini, berkata:
"Kami mengalu-alukan dan sangat berbesar hati dapat bergabung dengan SingPost, sebuah syarikat perkhimatan pos dan kurier, dan dengan ini kami dapat menjangkau lebih ramai lagi penerima zakat pada masa hadapan. Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak SingPost."