Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

COVID-19 DAN KANAK-KANAK

Komplikasi Covid-19 libat kanak-kanak jarang berlaku

Namun ibu bapa perlu amal sikap berjaga-jaga, galak anak pakai pelitup dan jaga jarak
Jul 23, 2022 | 05:30 AM



DENGAN subvarian Omicron yang mudah berjangkit menjejas lebih ramai orang termasuk kanak-kanak, akan terdapat peningkatan setara dalam bilangan kanak-kanak yang terjejas teruk akibat Covid-19.



Bagaimanapun, komplikasi di kalangan kes Covid-19 melibatkan kanak-kanak jarang berlaku.



Tetapi ibu bapa dinasihatkan agar terus mengamalkan sikap berjaga-jaga dengan menggalak anak mereka memakai pelitup, duduk di rumah atau berjumpa doktor jika tidak sihat, serta mengamalkan langkah pengurusan selamat.



Demikian pandangan beberapa doktor dan pakar penyakit berjangkit kanak-kanak yang dihubungi Berita Harian baru-baru ini menyusuli kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun Ahad lalu ekoran Covid-19.



Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), budak perempuan itu meninggal dunia akibat pneumonia atau radang paru-paru.



Ia kematian kedua dalam masa kurang sebulan melibatkan kanak-kanak bawah umur 12 tahun.



Pada 27 Jun lalu, seorang budak lelaki berusia 18 bulan meninggal dunia selepas mengalami komplikasi akibat Covid-19.



Perunding Kanan, Perkhidmatan Penyakit Berjangkit, Jabatan Pediatrik, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Profesor Madya Thoon Koh Cheng, berkata kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 menunjukkan gejala biasa yang serupa dengan pesakit dewasa, termasuk demam, simptom jangkitan saluran pernafasan seperti batuk atau selesema, muntah, cirit-birit, sakit tekak, hilang deria bau, sakit otot dan kelesuan.



Pesakit juga mungkin tidak menunjukkan gejala.



"Komplikasi dalam kalangan kes Covid19 pediatrik jarang berlaku. Beberapa contoh termasuk radang paru-paru, miokarditis (keradangan otot jantung) dan keradangan otak dan tulang belakang," katanya.



Menurut pakar perubatan keluarga, Klinik Banyan@JW, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 tidak mempunyai masalah mengatasi penyakit itu.



Namun sekitar 5 peratus kanak-kanak mengalami radang paru-paru dan kurang 1 peratus daripada golongan itu mengalami radang paru-paru yang serius.



"Lebih ramai orang dijangkiti virus ini maka lebih ramai kanak-kanak akan juga dijangkiti dan angka mereka yang mengalami komplikasi akan meningkat.



"Kadangkala perubahan (pada keadaan anak) boleh berlaku dengan cepat dan tidak mudah untuk dipastikan pada peringkat awal.



Ini terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak yang mungkin tidak dapat berkomunikasi dengan jelas," kata Dr Zuraimi.



"Namun, komplikasi seperti ini amat jarang berlaku. Sebahagian besar kanak-kanak hanya mengalami demam, sakit tekak, selesema dan batuk," tambahnya.



Pakar penyakit berjangkit, Dr Leong Hoe Nam, dari Rophi Clinic di Hospital Mount Elizabeth Novena, menasihatkan ibu bapa agar tidak terlalu risau tentang kemungkinan anak mereka mengalami komplikasi ekoran Covid-19 yang membawa maut kerana ia sangat jarang berlaku.



Tetapi beliau menggalakkan agar ibu bapa cuba mengurangkan pendedahan anak-anak kepada virus itu.



"Satu hipotesis untuk penyakit teruk ini ialah lebih banyak virus dipindahkan, semakin teruk penyakit itu.



"Memakai pelitup dan menjaga jarak sosial akan mengurangkan penularan beban virus," katanya.



Dr Zuraimi pula menasihatkan ibu bapa agar tidak mengambil ringan gejala Covid-19 yang dialami anak mereka.



"Bawa jumpa dengan doktor keluarga secepat mungkin. Usah cuba rawat sendiri di rumah. Pastikan anak mengambil ubat, dapat makan, minum, kencing dan aktif seperti biasa.



"Jika anak anda hilang selera makan, tidak aktif, asyik tidur atau susah bernafas, bawa semula ke klinik keluarga atau buat panggilan ke klinik untuk mendapatkan nasihat lanjut.



"Jika klinik tutup atau keadaan anak tenat, terus bawa ke jabatan kemalangan dan kecemasan (di hospital) atau telefon ambulans," nasihatnya.



Profesor Thoon berkata kanak-kanak harus mendapatkan vaksin Covid-19 apabila disyorkan secara nasional.



"Vaksinasi boleh melindungi kanak-kanak daripada risiko komplikasi yang teruk walaupun mereka dijangkiti. Ia juga boleh membantu melindungi anggota keluarga yang mudah terdedah dan tidak layak untuk vaksinasi (seperti adik-beradik) dan mereka yang mungkin berisiko lebih tinggi untuk sakit teruk jika mereka dijangkiti (seperti datuk dan nenek atau anggota keluarga dengan keadaan perubatan kronik tertentu)," katanya.



Dr Zuraimi berkata kajian masih dijalankan di Singapura untuk mengenal pasti sama ada vaksin Covid-19 selamat untuk diberikan kepada kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun.



"Kita perlu sabar menunggu keputusannya dan apabila telah diluluskan, saya amat menggalakkan agar golongan ini mendapatkan suntikan Covid-19 dengan segera," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >